Banyak pengajaran yang dapat diperoleh daripada Covid-19 yang menuntut manusia mengubah cara hidup bagi memulakan zaman baru.
Pandemik ini belum berakhir dengan kebanyakan orang di seluruh dunia masih tidak bekerja dan ada di antaranya malah akan hilang pekerjaan. Bila tidak bekerja, pastinya banyak perkara tertangguh dan ia menjejaskan kehidupan seharian. Semuanya menuntut rancangan baru untuk masa depan yang tidak menentu.
Tumpuan sekarang di banyak negara, termasuk Malaysia adalah melawan virus ini dan merintis jalan pemulihan. Ia bermakna perkara lain yang menjejaskan tumpuan ini wajar ditangguhkan, ini termasuklah perbalahan berkaitan politik dan isu tidak mendesak.
Pengajaran pertama yang boleh diambil daripada Covid-19 adalah melihat kembali apa yang berlaku di Wuhan. Penilaian keseluruhan tentang prestasi China pasti dibuat selepas pandemik ini berakhir sepenuhnya di negara itu.
Walaupun keseluruhannya China berjaya mengatasi pandemik itu, tetapi hakikat virus itu terlepas keluar dari Wuhan dan tersebar ke seluruh dunia menuntut penelitian terhadap apa yang sebenarnya berlaku pada detik awal.
Sememangnya banyak negara di luar China tidak bertindak lebih awal dan tegas terhadap virus itu apabila apa yang berlaku di Wuhan diketahui, tetapi sepatutnya virus itu tidak keluar dari Wuhan.
China melalui media antarabangsa milik mereka sentiasa menggambarkan kejayaan dan kebenaran cara mereka mengatasinya.
Walaupun cara mereka ternyata berjaya, tetapi umumnya dunia tidak yakin terhadap laporan dari China kerana budaya republik itu yang mengawal maklumat dan ketiadaan kebebasan media.
Maknanya, budaya autoritarian dan kawalan media menjejaskan keyakinan dunia terhadap China.
Katakan China berkata benar, tetapi ia tetap tidak dipercayai, maknanya maklumat itu menjadi tidak bernilai.
Pengajaran ke-2 mengenai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia dikritik Amerika Syarikat dan disokong sekutunya seperti United Kingdom, Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan yang disifatkan terlalu berorientasikan China. Maknanya, WHO menerima pakai maklumat dari China tanpa membuat pertimbangan teliti dan berkecuali.
WHO mempunyai alasan yang boleh diterima, termasuk hakikat mereka mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik global, ia memberi masa mencukupi kepada negara lain untuk bertindak.
Memang benar banyak negara tidak mengambil amaran WHO secara serius, termasuk AS dan Britain. Antara sebabnya selama ini mereka tidak memandang berat kerja WHO. Ada kalangan pakar di Jerman dan UK percaya kepada kaedah imuniti kelompok dan menolak perintah kurungan serta kuarantin yang dilaksanakan di Wuhan.
Jadi, pengajaran di sini ialah WHO perlu berubah dan sokongan negara anggota terhadapnya juga wajar ditingkatkan. Maknanya jika ada wabak tercetus, WHO dan dunia lebih bersedia, tetapi atas semua itu adalah kerjasama lebih erat sesama manusia dan negara.
Itu membawa kepada pengajaran ke-3. Sejak lewat Februari, kerjasama sesama manusia dan negara sepatutnya lebih erat lagi.
Dari awal lagi kelihatan hubungan tidak baik antara China dan Jepun berhubung Covid-19. Wabak ini merebak cepat ke Iran dan Itali. AS terus mengenakan sekatan ke atas Iran yang menyukarkan negara itu mendapatkan bekalan perubatan.
Kemudian wabak ini merebak ke Itali. Di peringkat ini sepatutnya semua penerbangan antarabangsa dihentikan, sesuatu yang sukar diterima dunia komersial.
Itali utara menerima penangan pandemik ini dengan teruk. Ketika itu, terserlah kekurangan kerjasama antara negara hatta dalam Kesatuan Eropah (EU). Hanya kemudian, baru Jerman bertindak membantu negara Eropah. Wabak itu kemudian melarat ke Sepanyol dan UK.
Bukan saja kalangan EU tidak menunjukkan kurang kerjasama dalam berdepan pandemik ini, pertubuhan serantau lain juga tidak nampak berfungsi.
Dari Afrika, Timur Tengah, Amerika Latin, Asia Selatan sampailah ke Asean, semua negara berfikir untuk diri sendiri sahaja.
Malah, negara Asean tiba-tiba menghadapi ancaman lain yang menjejaskan tumpuan terhadap virus ini. Malaysia mendapati kapal kerajaan China masuk ke Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) miliknya. Ini juga membawa kepada keadaan saling prihatin daripada kapal tentera Malaysia, Vietnam, Filipina, AS dan Australia di kawasan itu.
Selain itu Malaysia juga menghadapi kemasukan pelarian Rohingya yang tiba-tiba muncul di Langkawi. Tentulah peristiwa ini berlaku kerana dunia menghadapi Covid-19 dan ada pihak yang mengambil kesempatan.
Tetapi, dari segi kerjasama antara negara, peranan AS adalah penting sebagai kuasa besar dunia.
AS di bawah Presiden Barack Obama menunjukkan kepimpinan globalnya ketika meledak wabak Ebola di Afrika, tetapi gelagat Presiden Donald Trump bukan saja menyukarkan dunia, malah negaranya sendiri.
Ia bermakna bukan saja rakyat AS perlu lebih bijak memilih presiden, tetapi Parti Republikan juga bertanggungjawab mendapatkan calon baik. Ini kerana presiden AS bukan saja perlu memimpin negaranya, dia juga bertanggungjawab terhadap keseluruhan planet bumi.
Perkara ini membawa kepada pengajaran ke-4, iaitu sistem kesihatan di semua negara perlu diperkasa untuk bersedia menghadapi wabak seperti ini. Ia juga menuntut sistem penyelidikan perubatan melibatkan pencarian ubat dan vaksin supaya tidak ditentukan pertimbangan komersial semata-mata.
Pertimbangan adalah terhadap kepentingan seluruh manusia tanpa mengira pendapatan mereka.
Tetapi, tentunya semua ini memerlukan pembiayaan besar. Dunia memerlukan kedudukan ekonomi baik untuk mempunyai sistem kesihatan global lebih maju, sedangkan sistem selama ini masih tidak memberi kemakmuran kepada kebanyakan orang.
Walaupun China ada agenda globalnya, tetapi selama ini ia sebahagian daripada sistem ekonomi yang diketuai AS. Ingatlah sejak 40 tahun lalu, China pembuat dan pembekal konsumer kepada dunia yang diketuai AS.
Covid-19 menyerlahkan penderitaan manusia dan rakyat negara yang jauh tidak berkemampuan. Dunia menuntut sistem ekonomi lebih baik dan adil untuk semua.
Akhirnya, semua ini tidak terlepas dengan pengajaran ke-5. Setakat ini masih tidak diketahui asal-usul Covid-19. Apa yang disyaki ia mungkin berpunca daripada pemerdagangan hidupan liar yang berleluasa di China.
Perlindungan hidupan liar berkait pula dengan pemeliharaan hutan yang seterusnya berhubung dengan alam sekitar dan perubahan iklim. Pemanasan global pula berpunca daripada pertumbuhan ekonomi yang tidak berkesudahan.
Perintah berkurung yang dikenakan di banyak negara menghentikan pertumbuhan ekonomi. Ia memberi kesan kepada udara dan air, serta alam bersih hinggakan haiwan di darat dan laut bergerak ke bandar.
Tetapi, sama ada 5 pengajaran ini akan diambil iktibar oleh manusia untuk mencarta jalan baru setelah Covid-19, tentulah ia boleh diragukan.
Lebih ramai yang mahu kembali kepada cara lama, dengan ketamakan, pembaziran dan mementingkan diri menjadi amalan, walaupun ia tidak mapan dan akan menjejaskan kehidupan generasi akan datang.
Namun, kemungkinannya akan ada sebahagian manusia berubah supaya dunia ini menjadi lebih baik. Jika tiada perubahan, maka tiada pengajaran yang diperolehi daripada Covid-19 dan pengalaman 3 bulan ini sia-sia.
0 comments:
Catat Ulasan