Oleh KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
Saya telah terbaca tulisan saudara bertajuk “Entah Apa Yang
Merasukimu” oleh calon Doktor Falsafah (Sejarah Politik Malaysia)
Universiti Sains Malaysia (USM), Nor Azizuddin Abdul Manan yang telah
tersebar di media sosial.
Saya sungguh terguris, terganggu dan amat kecewa dengan tulisan
tersebut kerana ia ditulis dengan dorongan perasaan yang buruk terhadap
saudara seagama. Bagi mencapai justifikasi, saudara menggunakan hujah
yang simplistik iaitu berhujah dengan sandaran yang tidak teliti dan
cetek malah direka-reka. Hasilnya, tulisan itu mencermin wajah kandungan
yang dangkal dan telah mencemarkan institusi akademik yang saudara
wakili.
Penulisan yang menggunakan hujah simplistik satu kaedah yang ditegah
dalam kajian keilmuan. Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan ke
Amerika Syarikat (AS) selepas dibebaskan semasa zaman Pak Lah sebagai
PM, itu tidak sepatutnya saudara jadikan justifikasi bahawa Anwar
terkait dengan segala agenda jahat antarabangsa yang saudara senaraikan
sebagaimana terkandung dalam surat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
(TGHH) seperti “Anwar Ibrahim” disokong oleh “Amerika Syarikat”,
“Eropah”, “Singapura”, “Freemason”, dan “Zionis”.
Ia tambah mengguriskan apabila saudara cuba mengaitkan keputusan
Anwar ke AS bagi menyara hidup keluarganya selepas keluar dari tahanan
penjara sebagai sebahagian daripada maksud yang ingin disampaikan
menerusi analogi “tikus yang mempunyai kuman yang merbahaya”,
“hantu-hantu penjajah”,”kuda kayu yang ditunggang” dan “potongkan
tangan-tangan yang melambai makhluk asing untuk mengacau negara kita”,
dalam ucapan oleh TGHH di pemasyhuran Muafakat Nasional pada 14
September 2019 di PWTC.
Sampai hati saudara mengaitkan seseorang yang ingin memperoleh nafkah
yang halal dan mencari ketenangan setelah sekian lama hidup terseksa
dengan istilah-istilah yang amat berat untuk ditanggung oleh seorang
Muslim seperti Anwar. Begitu busuk sekali hati saudara.
Bumi ini adalah milik Allah SWT. Hambanya boleh ke mana sahaja untuk
mengubah kehidupan mereka. Anwar telah mengikuti sunnah itu dengan
berhijrah ke AS. Malah, ramai lagi umat Islam yang telah mengambil jalan
yang sama dari pelbagai pelusuk berhijrah ke negara itu bagi mencari
kehidupan baru.
Tuduhan saudara itu seumpama saudara mengaitkan umat Islam di AS yang
ramai itu juga adalah agen-agen musuh. Astagfirullah. Anwar berhak ke
mana sahaja apabila rezekinya dibuka sebagai seorang ahli akademik di
universiti di negara itu.
Persahabatan yang dijaga dengan ramai kenalan Muslim dan bukan Muslim di
Amerika Syarikat membuka rezeki untuk kehidupan beliau. Sepatutnya
saudara mengucap syukur seorang hamba telah dilepaskan dari kesempitan
hidup yang telah lama menderita kerana perjuangan mulia.
Pemikiran simplistik saudara ini amat berbahaya. Sanggupkah saudara
menuduh dan mengaitkan seseorang Muslim yang berkunjung ke negara Iran
misalnya sebagai telah berfahaman Syiah? atau umat Islam yang menetap di
negara-negara Eropah beerti mereka telah bertukar kepercayaan kepada
agama Kristian?
Hujah cetek sebegini amat bahaya dan ia mendukacitakan sekirannya
diamalkan oleh seorang calon pelajar kedoktoran seperti saudara.
Saya dapati juga saudara amat anti dengan istilah Muslim Moderat dan
mengaitkannya pula dengan Anwar Ibrahim. Malah, hujah cetek saudara
begitu jelas iaitu memandangkan pelbagai institusi antarabangsa yang
mendokong pemikiran moderat seperti Foudation For The Future, The
Brookings Institute, The Rand Corps, The Sasakawa Peace Foundation, The
Asia Foundation, Konrad Adenauer Stiftung dan Friedrich Naumann
Foudation, maka Anwar juga tergolong dalam gerakan itu.
Ini satu lagi dakwaan yang menggambarkan betapa simplistiknya pemikiran saudara.
Untuk pengetahuan saudara, istilah moderat ini bukan suatu yang asing
dalam dunia ilmiah tentang pola atau trend dalam pemikiran manusia.
Ia dirujuk oleh para pengkaji Muslim sebagai satu aliran yang cuba
mewujudkan keharmonian di tengah-tengah segala kecamukan pemikiran yang
wujud. Sesetengah pengkaji Muslim mengaitkan moderation dengan aliran
tajdid dan islah.
Istilah lain yang serupa dengan moderat ialah reformisme. Ia aliran
yang diterima malah digalakkan dalam tradisi pemikiran Islam masa kini.
Adakah saudara tidak pernah terdedah dengan wacana moderat dan
reformisme ini? Kenapa saudara begitu anti sekali dengan istilah ini
seolah ia seperti virus pembunuh? Dari mana saudara memperoleh kefahaman
cetek ini? Pelik sungguh pemikiran saudara.
Tugas menjayakan tajdid, islah, reformisme ialah tanggungjawab yang
dimainkan oleh ramai ulama dan aktivis Islam sejak penjajahan terjadi di
dunia Muslim. Mereka melaksanakan tugas itu mengikut keupayaan ilmu dan
bakat masing-masing. Golongan reformis atau moderat di dunia Islam
bukan semuanya lahir dari pengaruh Barat.
Kebanyakan mereka lahir dari semangat dalaman agama yang diwarisi oleh
ramai ulama Muslim. Bukan semua golongan moderat adalah berfahaman Barat
Moden sebagaimana yang saudara fahami. Moderat Muslim juga dirujuk
sebagai golongan reformis, musleh dan mujaddid Islam. Saudara sepatutnya
lebih teliti dalam berhujah dan tidak memasukkan semua orang dalam satu
bakul mengikut fahaman dangkal saudara.
Dengan pemikiran cetek itu, saudara terus pula mengaitkan Anwar
dengan aliran pemikiran sekular, plural dan liberal. Sanggup dan sampai
hati saudara menuduh seseorang seperti Anwar yang telah banyak memberi
sumbangan dalam meningkatkan kesedaran Islam di kalangan masyarakat di
negara ini, didokong oleh ramai aktivis dakwah dan gerakan Islam di
Malaysia dan seluruh dunia serta telah banyak menyumbang dalam penubuhan
institusi pendidikan Islam yang kini dimanafaatkan oleh ratusan ribu
generasi muda sebagai seorang yang berfahaman sekular? Nauzubillah. Saya
mendoakan Allah SWT mengampunkan dosa saudara yang berat ini kepada
saudara Muslim yang telah banyak berkhidmat kepada agama dan ummah.
Janganlah dengan sedikit keterbukaan dalam pandangan yang berbeza
dengan tafsiran dan kefahaman yang kita ada menyebabkan kita menuduh dan
menghukum seseorang itu sebagai pluralis dan liberalis. Kenapa
pemikiran saudara begitu jumud sekali sehingga tidak mampu menerima
perbezaan pandangan dan keluasan berfikir yang diizinkan oleh tradisi
keilmuan kita.
Saya ingin menyeru saudara bertaubat atas sikap taasub yang
keterlaluan ini. Perbuatan saudara menuduh membabi buta ini tidak hanya
melibatkan Anwar, malah membabitkan ramai lagi umat Islam.
Anwar dan ramai lagi golongan refomis Muslim ialah kelompok yang
ingin menyumbang kepada kemajuan agama dan ummah dengan cara dan
pendekatannya yang tersendiri. Pendekatan moderat Islam tidak menyalahi
tradisi keilmuan dan pemikiran Islam. Sepatutnya saudara menghormati dan
meraikan cara dan kaedah mereka bukan membuat tohmahan tanpa usul
periksa dan mengguris hati dan perasaan.
Malah, saudara sepatutnya bersyukur kerana terdapat ramai lagi
aktivis Muslim yang bertebaran di dunia yang sedang memperjuangkan agama
dan mengangkat martabat ummah. Mereka mempunyai peranan tersendiri
dalam masyarakat. Saudara sepatutnya berterima kasih.
Untuk pengetahuan saudara, perjuangan membela agama dan ummah oleh
Anwar sejak era sebagai pemimpin ABIM telah mendapat dokongan padu dari
para ulama semasa seperti Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Sheikh Dr Ali
Qaradhaghi, Sheikh Dr Ar Raysuni.
Wujud penulisan, surat dan pengiktirafan pelbagai terhadap Anwar boleh
kita telusuri. Di era perjuangan reformasi, Anwar disokong oleh ramai
bekas pimpinan dan ulama PAS seperti Allahyarham Dato Fadzil Nor dan
Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz. Adakah sejarah ini tidak ditemui dalam
kajian akademik saudara atau saudara sengaja menutup mata?
Disiplin akademik harus dijaga dan bukannya tuduhan dangkal tanpa
asas yang kukuh. Disiplin ilmu dalam mengelompokkan seseorang tokoh
harus berdasarkan kepada disiplin khusus jika kita berhujah dalam
kerangka pemikiran yang tulus.
Sebagai pendidik, menjadi tanggungjawab saudara mendidik anak bangsa
dengan kaedah dan disiplin yang betul dalam mendalami sejarah dan
pemikiran seseorang tokoh seperti Anwar Ibrahim, seorang reformis dan
negarawan Muslim yang dihormati di dalam dan luar negara.
Saya ingin menyatakan sekali lagi iaitu saya amat kecewa dengan
tulisan saudara yang banyak sangka buruk, tohmahan, prejudis dan busuk
hati terhadap sesama Muslim terutama pada Anwar Ibrahim. Saya yakin jasa
saudara terhadap agama dan ummah masih terlalu sedikit berbanding
sumbangan oleh Anwar sepanjang sejarah perjuangannya.
Tulisan saudara ini dari dari sudut penilaian ilmiah, pada pandangan
saya hanyalah karangan ‘salin dan tampal’ (copy&paste) sahaja
walaupun saudara telah mengemukakan sejumlah rujukannya. Apabila tulisan
dihasilkan kerana didorong oleh hati dan jiwa yang buruk, ia tidak
berharga dan bernilai sama sekali.
Catatan pandangan ini adalah respon awal saya terhadap tulisan
saudara, banyak lagi aspek-aspek pemikiran, konsep dan kata kunci
tertentu yang boleh dibahaskan lagi secara ilmiah dan lebih mendalam
pada masa akan datang, InsyaAllah.
Akhirnya, saya ingin menasihati saudara supaya bersikap rendah diri,
tawadhuk dalam dunia ilmu pengetahuan seterusnya mempelajari untuk
menghormati jasa dan peranan orang lain.
Kita tidak mampu menyelamatkan dunia Islam pasca penjajahan ini
seorang diri atau dengan kumpulan kita sahaja. Apatah lagi dengan cara
saudara membuat tohmahan tidak berakhlak terhadap saudara Muslim yang
lain sebagaimana terkandung panjang lebar dalam tulisan saudara itu.
Semoga saudara kembali ke jalan berfikir yang lurus.
*Penulis ialah Timbalan Pengerusi, Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia (APDK).
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Ya, Allah, rahmatilah DSAI sekeluarga serta para penyokongnya yang beragama Islam. Bagi penyokong DSAI yang beragama lain, Kau bukalah pintu hati mereka untuk menuju jalan-Mu. Amin.
BalasPadamSeingat saya Anwar Ibrahim ini seorang tokoh muda Abim telah ikut umno diatas jemputan Mahathir. memang setelah ianya bersama umno banyak suara suara negatif yg mengatakan kepadanya. Disini saya ingin bentangkan jasa yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa iaitu mewajibkan unifom kepada murid sekolah yang berugama Islam samada lelaki atau perempuan, iaitu lelaki kena pakai seluar panjang dan yang perempuan pakai tudung kepala dan memakai kain (bukan lagi skirt).
BalasPadam