Oleh Khalid Samad
Perbahasan berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui
(Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 atau Akta 164 selesai
beberapa hari lalu. Yang terlibat membahasnya di dewan rakyat memahami
sebab mengapa pindaan itu dikemukakan.
Malangnya sehari dua selepas selesai perbahasan, timbul pula berbagai
tafsiran dan dakwaan dari yang tidak terlibat. Kononnya kepentingan
Islam terjejas dengan pindaan yang telah diluluskan.
AMANAH pula dikutuk kerana tidak menolak pindaan tersebut.
Jika ditolak maka yang sedia ada akan kekal. Baik sangatkah yang
sedia ada? Syariie sangatkah yang sediada sehingga pindaan yang dibawa
wajib ditolak?
Hakikatnya yang sedia ada banyak sangat kelompangannya dan walaupun
pindaan yang dibawa tidak sempurna, namun ia dianggap mampu menghasilkan
keadaan yang lebih adil dari yang sedia ada.
Kelompangan sedia ada
Pokoknya pindaan ini bertujuan untuk mengatasi masalah yang timbul
apabila salah seorang dari pasangan suami isteri memeluk agama Islam.
Asalnya kedua-dua mereka tidak beragama Islam.
Apabila salah seorang dari mereka memeluk agama Islam, maka dia sudah
tidak boleh ke mahkamah sivil kerana dia beragama Islam. Sedangkan
perkahwinannya pada zaman dia bukan Islam dan didaftarkan di mahkamah
sivil. Ia perlu dibatalkan di mahkamah sivil.
Sekiranya perkahwinannya tidak dibatalkan di mahkamah sivil ia akan terus dianggap sah oleh mahkamah sivil.
Maka segala persoalan yang terbabit dengan perceraian yang telah
berlaku, sama ada berhubung harta sepencarian, penjagaan dan kos
tanggungan terhadap anak-anak sekiranya ada, dan sebagainya tidak boleh
dituntut atau ditetapkan oleh mahkamah sivil.
Perkahwinan itu akan tetap
dianggap sah oleh mahkamah sivil.
Sekiranya perkahwinan itu dibatalkan di mahkamah sivil oleh pasangan
yang kekal dengan agama asalnya, maka mahkamah sivil akan dituntut
membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman berhubung segala isu berkaitan
perceraian tersebut tanpa kehadiran pasangan yang telah memeluk agama
Islam.
Sudah pasti mahkamah sivil tidak mampu menentukan semuanya secara adil kerana hanya dapat mendengar dari satu pihak.
Pada masa yang sama, pasangan yang telah memeluk agama Islam akan ke
mahkamah syariah. Dia mendaftarkan dirinya sebagai orang Islam dan
dengan sendirinya perkahwinan sivilnya dibatalkan sekiranya pasangannya
tidak turut memeluk agama Islam. Akan tetapi pembatalan perkahwinan
sivil oleh mahkamah syariah tidak diambil-kira oleh mahkamah sivil.
Pasangan
yang kekal dengan agama asal tidak boleh pula dibawa ke mahkamah
syariah untuk menyelesaikan persoalan yang timbul hasil perceraian
mereka!
Ini adalah kerana dia tidak beragama Islam! Maka segala persoalan
berhubung perceraian mereka terpaksa diputuskan oleh mahkamah syariah
tanpa kehadiran bekas pasangan yang bukan Islam.
Sepertimana mahkamah sivil, mahkamah syariah juga tidak mampu
menjamin keadilan kerana hanya dibenarkan mendengar dari satu pihak.
Akhirnya yang beragama Islam ke mahkamah syariah dan yang bukan islam
ke mahkamah sivil. Dua mahkamah ini dengan bidang kuasa dan peraturan
mereka masing-masing dan tidak saling berhubung satu sama lain.
Maka timbullah keadaan di mana mahkamah syariah memutuskan sesuatu
dan mahkamah sivil memutuskan sesuatu yang lain. Kedua-dua mahkamah
bertindak berdasarkan dakwaan hanya satu pihak.
Apabila hanya sebelah pihak sahaja didengari, sama ada oleh mahkamah
sivil atau syariah, tidak mungkin keadilan terjamin. Hakikat ini
difahami semua. Ia keadaan yang bercanggah dengan tuntutan syariah.
Malahan ia tidak syariie sama sekali.
Dalam keadaan sebegini, amat malang kalau ada yang ingin terus mempertahankan kelompangan perundangan yang sedia ada ini.
Mereka yang ingin mempertahankan kelompangan sedia ada ini tidak
mengutamakan keadilan mahupun kewajipan menegakkannya. Sedangkan Islam
menuntut supaya keadilan ditegakkan! Amat aneh apabila mempertahankan
kelompangan ini dibuat atas nama Islam.
Tujuan pindaan
Pindaan dibuat dengan tujuan membenarkan pasangan yang memeluk agama
Islam hadir ke mahkamah sivil untuk membatalkan perkahwinannya dan
menyelesaikan tanggung-jawabnya secara sebaik mungkin.
Maka melalui pindaan ini kedua-dua pihak dapat hadir di hadapan hakim
untuk menceritakan keadaan masing-masing. Dalam keadaan ini barulah
hakim mampu membuat satu keputusan yang lebih adil dan tepat kerana
dapat mendengar kedua-dua pihak.
Ada yang bertanya, mengapa ke mahkamah sivil dan tidak ke mahkamah syariah?
Jawapannya adalah perkahwinan mereka didaftarkan di mahkamah sivil. Oleh itu ia mesti dibatalkan di mahkamah sivil.
Kedua, mahkamah sivil adalah di bawah kerajaan persekutuan di mana
Parlimen ada kuasa menentukan undang-undang berhubung dengan
perjalanannya sedangkan mahkamah syariah adalah di bawah bidang kuasa
negeri masing-masing. Ianya bukan di bawah Parlimen.
Isu pindaan 88(A)
Ada juga yang menimbulkan isu pindaan 88(A). Ia telah ditarik balik oleh kerajaan maka ia tidak dibahas.
Kami sememangnya berminat untuk membahas pindaan 88(A) tetapi apabila
ia ditarik balik maka tiada makna ia dibahas secara panjang lebar.
Hanya ada beberapa Ahli Parlimen meminta penjelasan mengapa ia ditarik
balik sedangkan pernah dijanjikan sebaliknya.
Pindaan
88(A) bertujuan untuk menentukan, bagi pihak mahkamah sivil, kaedah
untuk menetapkan agama anak-anak pasangan yang bukan Islam selepas salah
seorang dari mereka memeluk agama Islam.
Pada dasarnya 88 (A) mencadangkan supaya anak-anak itu dianggap kekal
dalam agama asal, iaitu tidak memeluk agama Islam, kecuali dipersetujui
oleh kedua-dua ibu bapa mereka.
Dalam erti-kata lain, anak-anak berkenaan akan hanya dianggap sebagai
memeluk agama Islam sekiranya pasangan yang tidak memeluk agama islam
itu turut membenarkannya.
Walaupun ada banyak hujah berkenaan agama anak-anak yang berada dalam
keadaan seperti ini yang hendak kami sampaikan, termasuk perbezaan
pandangan ulama muktabar zaman lampau dan semasa mengenainya, namun oleh
kerana ia telah ditarik balik, maka perbahasannya tidak diberikan
keutamaan.
Namun demikian, yang perlu difahami ialah ia isu ijtihad dan bukan
hukum yang qat’ii. Dan ijtihad yang dilakukan ulama zaman dahulu
bertujuan menjamin keadilan bagi semua dalam keadaan dan suasana politik
pada ketika itu.
Dorongan
utama ulama lampau, sepertimana juga ulama semasa, semestinya adalah
untuk menegakkan keadilan untuk semua apabila ditetapkan sesuatu hukuman
atau pandangan.
Ini adalah supaya keadilan Islam akan terserlah. Bukan untuk
menegakkan ketuanan sesuatu bangsa atau ummat ke atas bangsa atau umat
yang lain.
Kesimpulan
Tulisan yang mendakwa kelulusan pindaan Akta 164 adalah bala yang
menimpa umat Islam boleh diabaikan. Amat jelas penulis keliru dan tidak
memahami isu sebenar.
Tiada yang berbahas di dewan membuat dakwaan-dakwaan seperti mana
didakwa dalam penulisannya. Yang ditimbulkan sekadar apa yang dilihat
sebagai percanggahan dengan artikel tertentu dalam perlembagaan dan akta
mahkamah syariah.
Itu pun mengikut pandangan mereka sahaja. Sejauh mana ia benar-benar
bercanggah perlu dikaji dan akhirnya diuji di mahkamah sekiranya ia
dilihat isu penting.
Namun bagi saya, penyelesaian kelompangan itu adalah lebih
diutamakan. Ini adalah supaya memungkinkan keadaan yang lebih adil
terhasil. Oleh itu tiada sebab AMANAH perlu menolaknya.
KHALID SAMAD adalah anggota parlimen Shah Alam yang mewakili parti AMANAH.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan