Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN
BUDAYA Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) secara
umumnya digagaskan oleh Presiden PAS pada tahun 2015. Tetapi
kriteria-kriteria BPMS sebenarnya telah dicanangkan lebih awal daripada
itu. Fasa pertama dalam mendefinisikan BPMS telahpun selesai. Kini
sedang memasuki fasa kedua iaitu merakyatkan BPMS.
Tetapi masih ada yang belum memahami BPMS secara yang digariskan.
Kebanyakan lebih terpengaruh dengan persepsi yang sengaja dicipta oleh
media. Lebih melabelkan BPMS secara simplistik tanpa mengambil kira
konsep sebagaimana yang diceduk dari al-Quran dan Sunnah.
Persepsi paling popular dilabelkan terhadap BPMS adalah PAS mahu
berbaik dengan Umno. Kononnya PAS sudah tidak menganggap Umno sebagai
musuh politik. PAS dan Umno sudah tiada beza. PAS dan Umno bakal
bersatu!
Persepsi ini paling cepat membentuk di minda pemerhati politik yang
berakal pendek. Ini kerana ia dimainkan oleh media pro PH dan Umno
sendiri. PH mahu menggambarkan PAS mahu bergabung dengan Umno, supaya
dapat menjustifikasikan kenapa mereka melawan PAS sekarang. Umno pula
memang suka kalau PAS bergabung dengan mereka, kerana mahu menumpang
sokongan PAS.
BPMS antara PAS-Umno
Kini timbul dua isu yang membelenggu sebahagian pihak. Pertamanya
berkaitan aplikasi BPMS dalam hubungan PAS dan Umno. Sebenarnya bukan
bermaksud mahu bergabung, tetapi lebih kepada merubah pendekatan PAS
dalam menghadapi Umno.
Kalau dulu kita mengambil sikap menganggap Umno dan seluruh ahlinya
umpama najis, tapi kini kita mendidik ahli PAS terutama supaya melihat
ahli Umno sebagai mad'u.
Bukankah ini ajaran al-Quran yang menyebut tentang cara Nabi Musa menghadap Firaun yang Mahazalim?
Kalau dulu kita menolak semua dari Umno, sehingga popular khatimah
'segala yang baik dari Allah yang buruk dari Umno', kini kita melihat
perkara ini secara lebih rasional. Kalau benar ada yang baik daripada
Umno, kita sokong dan bantu dalam bab tersebut. Titik yang salah kita
tetap lawan.
Bukankah ini yang diajar al-Quran untuk bertolong menolong dalam perkara baik dan taqwa?
Kalau dulu segala tuduhan pada Umno kita percaya terus walau tanpa
bukti, dan kadang-kadang kita mencipta tuduhan palsu, tetapi kini kita
mengutamakan fakta dan kebenarannya. Supaya tidak menjadi penyambung
lidah syaitan.
Bukankah al-Quran mengajar supaya berlaku adil walaupun mereka sudah memiliki rekod jenayah?
Untung rugi BPMS
Perkara kedua yang menjadi pertelingkahan adalah tanggapan kononnya
BPMS tidak sesuai untuk masa depan politik PAS. Kata mereka, walaupun
BPMS secara prinsipnya baik, tetapi secara politik ia merugikan. Ini
kerana mereka menganggap BPMS menyebabkan PAS ditohmah bergabung dengan
Umno. Dan tohmahan ini telah menyebabkan PAS hilang sokongan.
Mereka lebih selesa dengan sikap dahulu. Lawan cacang dengan Umno.
Kebanyakan pandangan ini datang dari mereka yang sudah terbiasa
berperang dengan Umno. Sangat janggal kalau tak kutuk Umno sehari. Rasa
berdosa kalau dekati orang Umno. Macam PAS dah lari dari landasan
perjuangan Islam.
Dakwaan PAS hilang sokongan adalah bercanggah dari realiti. Mengikut
fakta yang ada, sokongan terhadap PAS meningkat drastik sejak mendingin
dengan PR, dan terus meningkat apabila mempopularkan BPMS.
Lihat jumlah pendaftaran keahlian PAS seluruh negara. Yang keluar
masuk PAN tak sampai 100, tapi yang masuk ribu-ribu sebulan. Kalau yang
sanggup menjadi ahli pun sudah bertambah ribu setiap bulan, yang minat
dan menyokong apatah lagi.
Kajian trend sokongan kaum melayu sebagai kuasa politik teras negara
juga semakin meningkat. Terbaru maklumat dari sebuah badan kajian
menunjukkan pertambahan sokongan melayu kepada PAS meningkat lagi,
walaupun beberapa bulan lalu badan tersebut baru sahaja melaporkan PAS
sudah mendahului mana-mana parti yang lain.
Belum lagi diambil kira populariti PAS menerusi undian media sosial.
Walaupun ia bukanlah mekanisme yang kuat, tetapi trend yang kita lihat
adalah berpihak kepada PAS secara konsisten.
Polling di Facebook tak
kira yang dibuat oleh page pro BN, PAN, PKR, DAP, PPBM, atau non
partisan, menunjukkan keputusan yang sama. PAS mendahului! Setidaknya ia
boleh diambil sebagai salah satu petunjuk trend sokongan golongan muda.
Undi teras PAS tidak hilang kerana keahlian semakin bertambah. Undi
atas pagar pula semangkin meningkat berasaskan kajian terkini luar dan
dalam. Jangan dicampur aduk kajian sokongan keseluruhan kaum, kerana
sasaran utama PAS adalah penyokong Islam-melayu.
Perkembangan ini amat menguntungkan PAS terutama di sempadan politik
yang didominasi orang Melayu. 3 Negeri melayu teramai seperti
Terengganu, Kelantan dan Perlis sudah boleh bersedia untuk meneraju
pentadbiran pasca PRU14 nanti.
Hakikatnya, perkara-perkara ini tidak berlaku sebelum BPMS
diperkenalkan. Maka secara konsensusnya, BPMS jauh lebih menguntungkan
PAS dari persepsi yang dicipta sebahagian pihak.
Baju yang cuba ditanggal
Jika diamati, seolah-olah ada cubaan terancang untuk mengganggu trend
sokongan terhadap PAS yang semakin baik ini. Ada pihak sedang merancang
untuk memburukkan BPMS, supaya PAS mengkaji balik pendekatan ini. Saraf
halus sedang dicipta melalui media, dan dipanjang menerusi ejen-ejen
yang tidak bertanggungjawab.
Apa yang dapat dihidu, sebenarnya ia adalah mainan untuk membawa PAS
kembali kepada strategi PRU13, iaitu bersama DAP dan sekutu bagi
menghadapi PRU14 nanti. Digunakan sentimen PAS mahu bergabung dengan
Umno, untuk mencapai matlamat PAS kembali bergabung dengan DAP dan
sekutu.
Waspada dengan jarum halus ini. Bina anti-virus secukupnya. Jangan
sampai termakan dengan hasutan. Kerana jika kembali bersama DAP, akan
mematikan sokongan yang sedang meningkat pada PAS sekarang.
Motif hasutan ini hanya satu, bagi menumpang sokongan PAS untuk memenangkan DAP dan sekutu sahaja!
Jangan masuk lubang sama kali ketiga
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan