Oleh Zin Mahmud
Baru ini Amanah mengadakan konvensyen nasional tahunan keduanya di
Alor Setar. Tahun lalu, ia diadakan di Shah Alam. Dijangka inilah
konvensyen terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang mungkin
diadakan pada tahun depan.
Terdapat tanda-tanda berlakunya kejenuhan berpolitik. Tidak ada
pengumuman atau kejutan baharu. Mana tidaknya, baru seminggu lalu, lebih
kurang pemimpin yang sama berhimpun di Petaling Jaya dalam hentian
akhir rangkaian jelajah kempen “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi”.
Apa yang hendak dicakapkan sudah dicakapkan. Sekarang, apa yang diperlukan adalah undi rakyat.
Sementara aktivis Amanah sendiri pula sudah bergerak sejak 2 tahun ia
ditubuhkan. Sebelum itu, mereka juga sibuk bekerja untuk PAS dan
Pakatan Rakyat.
Tentu banyak aktivis mengharapkan pilihan raya umum diadakan segera
untuk meraih hasil kempen mereka selama ini. Mungkin juga
menangguh-nangguhkan pilihan raya ini adalah taktik Barisan Nasional
(BN) untuk memenatkan aktivis Pakatan Harapan (PH) supaya habis segala
peluru dan dayanya.
PRU ke-14 ini akan menentukan kedudukan Amanah dalam politik negara.
Sama ada ia akan mengikut jejak parti serpihan dahulu yang hilang
ditelan zaman, atau dapat bertahan dan melakar wajah baharu politik
negara.
Walaupun konvensyen ini tidak menggemparkan dan menarik perhatian
besar rakyat negara ini tetapi ia mempunyai keistimewaan tersendiri,
lebih baik daripada majlis yang sama tahun lalu.
Ini kerana, bersamanya terdapat Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada tahun lalu, PH belum distrukturkan semula dengan Dr Mahathir
sebagai pengerusi. Kali ini ia lebih jelas, padu dan berfokus dengan
Amanah mempunyai peranan penting sebagai parti yang mewakili politik
Islam.
Kedah negeri Amanah
Satu lagi perkara yang istimewa terhadap konvensyen ini ialah ia
diadakan di Kedah, sebuah negeri yang dianggap sebagai salah satu
pangkalan PH. Ini kerana bukan saja Kedah adalah negeri Dr Mahathir, dan
anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai bekas menteri besarnya,
tetapi ia juga negeri Amanah.
Aktivis Amanah Kedah yang pada satu masa merupakan ahli PAS adalah
antara mereka yang memenangi dan memimpin Kedah dari tahun 2008 hingga
2013. Di Kedah inilah juga bibit-bibit asas Amanah muncul dalam bentuk
kumpulan yang kritikal terhadap pucuk pemimpin PAS apabila berlaku
krisis mempertikaikan menteri besar Pakatan Rakyat, Tan Sri Azizan Abdul
Razak.
Golongan inilah yang mula menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera
Malaysia (PasMa) yang mempertahankan Pakatan Rakyat ketika mana PAS mahu
meruntuhkannya melalui perselisihannya dengan DAP. Penyokong PasMa yang
merupakan ahli PAS umumnya kemudian menyertai Amanah.
PAS yang tidak pernah memenangi Kedah hanya mampu mencapainya pada
tahun 2008 kerana antara lain ia bekerjasama dengan DAP dan disokong
oleh PKR. Inilah sering diingatkan oleh golongan progresif PAS dan PasMa
kepada pucuk pimpinan parti itu, tetapi ia tidak diendahkan.
Kalau dalam Pakatan Rakyat dahulu, PAS merupakan parti utama dan
dapat menerajui negeri itu, tetapi Amanah tidak akan dapat kedudukan
seumpama itu. Ini kerana PPBM yang akan menjadi parti utama.
Pada perkiraan awal ketika ditubuhkan pada tahun 2015, Amanah melihat
dirinya sebagai pengganti PAS dalam PH. Maknanya ia akan bertanding di
kawasan yang PAS tanding dahulu ketika dalam Pakatan Rakyat.
Maka kalau dahulu, PAS diperuntukkan kerajaan negeri Kelantan, Kedah,
Terengganu dan Perlis, tetapi kedudukan itu tidak boleh diwarisi oleh
Amanah. Malah di Selangor, yang sepatutnya kerajaan Pakatan Rakyat
diubah menjadi kerajaan PH pun tidak berlaku.
Ini kerana harapan supaya separuh daripada PAS menyertai Amanah tidak
menjadi kenyataan. Ia tinggal harapan dengan Amanah menjadi lebih
kecil.
Ditambah lagi dengan kehadiran PPBM, Amanah tidak boleh mewarisi PAS
dengan begitu saja. Ia harus menerima PPBM dan perkara ini menjadi
ketara di Kedah.
Mungkin Amanah boleh mengharapkan Perlis, negeri Setiausaha Agung
Amanah, Anuar Tahir. Perlis juga mempunyai seorang mufti yang dilihat
sebagai seorang ulama “progresif”.
Amanah sememangnya tidak mempunyai harapan di Terengganu, negeri
Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mana beliau pernah menjadi menteri
besarnya. Amanah mempunyai harapan di Kelantan tetapi untuk
memenanginya, ia akan mengalami pertarungan sengit dalam pilihan raya
negeri.
Dengan pertandingan 3 penjuru, BN juga mengharapkan kejayaan di atas perpecahan PAS.
Amanah ada peluang menerajui Johor. Tetapi jika negeri itu jatuh ke
PH, parti utama yang menerajui negeri itu mungkin adalah PPBM.
Johor adalah negeri presiden PPBM yang pernah menjadi menteri besar
negeri itu. Kedudukan Johor adalah seperti Kedah bagi Amanah.
Tetapi PPBM adalah seperti Amanah yang mana PRU ke-14 ini akan menentukan sama ada ia dapat kekal lama dalam politik Malaysia.
Imej serpihan Amanah
Dalam sejarah Semenanjung Malaysia, parti serpihan sukar bertapak. Namun begitu, ada juga yang dapat bertahan lama.
PAS, Gerakan dan PKR adalah contoh parti serpihan yang bertahan lama.
PAS adalah parti serpihan Umno walaupun penyertaan aktivis Hizbul
Muslimin dan pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mengubah
fahamannya.
Gerakan merupakan parti pecahan MCA. Tetapi penyertaan bekas aktivis Parti Buruh mengubah perwatakannya.
Begitu juga dengan PKR. Ketika awal penubuhannya, Parti Keadilan
Nasional menampung banyak aktivis yang bukan Umno. Dengan gabungan
bersama Parti Rakyat Malaysia, PKR muncul sebagai parti berbeza daripada
Umno.
Tentunya antara persoalan yang timbul ialah sama ada Amanah akan
dapat mengadakan Konvensyen Nasional Ketiga tahun depan, iaitu selepas
pilihan raya, iaitu sekiranya ia gagal bertapak di mana-mana kawasan.
Andaikata ia gagal, adakah ahli-ahlinya akan menyertai PAS semula?
Jika pembubaran berlaku, adakah sebahagiannya akan menyertai PKR.
Ini kerana ada pihak menyatakan bahawa dasar PKR dan Amanah tidak
berbeza. Malah semasa penubuhannya, ada tokoh penyokong pembangkang
menyatakan tidakkah wajar golongan progresif PAS menyertai saja PKR dan
tidak perlu menubuhkan parti baharu.
Tokoh yang menguruskan pendaftaran Keadilan dahulu adalah orang yang
sama dengan orang yang menguruskan pendaftaran Amanah iaitu Anuar Tahir.
Malah dikatakan dasar asal PKR adalah apa yang ada pada Amanah pada
hari ini.
Tetapi Amanah adalah parti pecahan yang berbeza daripada yang lain.
Seringkali parti pecahan ditubuhkan atas dorongan seorang tokoh popular
seperti PPBM dengan Dr Mahathir, PKR dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Semangat 46 dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Berjasa dengan Datuk Muhamed
Nasir dan Hamim dengan Datuk Asri Muda.
Namun Amanah ditubuhkan bukan kerana ketokohan presidennya, Mohamad
Sabu atau penasihatnya, Ahmad Awang. Ia ditubuhkan atas kesepakatan
bersama golongan progresif yang melihat kepimpinan PAS menjejaskan jalur
perjuangan Islam.
Bukan pada tokoh
Oleh kerana ia tidak berorientasikan pada seorang tokoh, maka
pendokongnya lebih ditarik pada fahamannya, iaitu politik Islam
progresif. Slogannya ialah “Rahmatan Lil Alamin”, Rahmat Islam untuk
sekelian alam. Istilah progresif ini sebenarnya tidak perlu. Tetapi ia
digunakan bagi membezakannya daripada PAS.
Asalnya pun, Amanah hendak mendaftarkan dirinya sebagai Parti
Progresif Islam. Nama Islam itu yang dipercayai menjadikannya ditolak.
Tetapi progresif ini tidak bermaksud sederhana atau moderat seperti yang
dipegang oleh kumpulan liberal Malaysia, G25. Ataupun konsep wasatiyyah
yang dipegang oleh Umno.
Progresif Islam ini adalah pemikiran politik Islam pasca-Islamisme.
Iaitu fahaman yang mengambil kira pengalaman yang dilalui oleh gerakan
Islam sejak berlakunya Revolusi Islam Iran, pemerintahan Parti Keadilan
dan Pembangunan (AK) di Turki serta pergolakan Arab Spring yang
menubuhkan pemerintahan Islam demokratik di Tunisia dan Ikhwanul
Muslimin di Mesir untuk beberapa ketika.
Maka Amanah mempunyai peranan bersejarah bagi mendorong terwujudnya
negara Islam yang moden dan progresif selaras dengan kehendak Islam,
iaitu bersifat inklusif, kepelbagaian, demokratik dan ramah.
Ia merupakan parti yang boleh menghalang negara daripada terjerumus
kepada ekstremisme, reaksioner, konservatif, parokial, asabiah kelompok
dan sekular terbalik.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan