Kay Kim: Usah ganggu pelajar sekolah rendah dengan bendera Umno
PETALING JAYA: Alasan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kononnya tindakan pelajar Sekolah Kebangsaan Presint 14 di Putrajaya mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu Umno awal bulan lalu bertujuan memupuk semangat patriotisme dan bukannya kerana kepentingan politik, tidak boleh diterima.
Tokoh sejarawan negara, Tan Sri Prof Khoo Kay Kim berkata, tindakan menggunakan pelajar sekolah rendah mengibarkan dan menyanyi lagu Umno tidak sepatutnya berlaku kerana mereka terlalu mentah untuk diajar berpolitik.
“(Terapkan nilai politik dan patriotik politik) di sekolah rendah mungkin susah dan pelajar akan keliru, mereka tidak faham tapi kalau di sekolah menengah guru boleh buat penjelasan.
“Kita jangan mengganggu murid sekolah rendah (dengan politik) sebab ia kurang sesuai dan had umur mereka juga belum boleh menggundi, sekurang-kurangnya biar mereka belajar sampai sekolah menengah baru kita mula beri penjelasan tentang politik,” katanya
Sebelum ini, Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata tindakan pelajar Sekolah Kebangsaan Presint 14 mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu Umno pada awal bulan lalu tidak dipengaruhi faktor politik, sebaliknya ia bertujuan memupuk semangat patriotisme.
Setiausaha agung Umno itu turut mengakui amalan berkenaan dimulakan sejak 10 tahun lalu di sekolah terbabit dalam usaha menerap rasa kekitaan pelajar kepada Umno.
“Saya lakukan itu sejak 10 tahun lalu. Saya cuba terapkan ‘sense of belonging’.
“Sejarah Malaysia katakan Umno, MCA dan MIC yang merdekakan negara. Apa masalahnya pelajar nak kibarkan bendera?,” katanya.
Mengulas lanjut, Kay Kim berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya parti pemerintah mahu kibaran bendera dan menyanyikan lagu Umno di sekolah terutamanya sekolah menengah kerana mereka diberi kepercayaan majoriti rakyat.
“Saya rasa parti yang memerintah itu boleh diterima rakyat, jadi kalau sekolah kibarkan benda Umno tidak salah, dan ia tidak bertentangan dengan perlembagaan, tapi kalau mereka kibarkan bendara parti pembangkang tidak boleh sebab pembangkang kalah dalam pilihan raya dia bukan parti pemerintah.
“Dalam politik demokrasi ini yang menang itu mesti diterima rakyat walaupun mungkin mereka tidak buang undi menyokong parti pemerintah sebab parti itu menang kerana majoriti rakyat Malaysia pilih mereka, kalau pembangkang nak, mereka kena menang pilihan raya dan mereka boleh cuba setiap 5 tahun bila tiba pilihan raya,” katanya.
Bagaimanapun, Kay Kim berkata, bendera pembangkang seperti PAS, PKR dan lain-lain boleh digunakan dalam sukatan pelajaran melalui catatan dalam buku teks sekolah bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran tentang sejarah politik tanah air.
0 comments:
Catat Ulasan