PETALING JAYA: Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui ada
di kalangan perwakilan partinya yang tidak puas hati dengan pembahagian
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.
Tetapi, katanya, mereka menyelesaikan hampir semua masalah berhubung pengagihan kerusi sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Tidak ada pertubuhan politik tidak menghadapi masalah, berjaya atau
tidak sesuatu pertubuhan itu bergantung kepada cara mereka selesai
masalah, kalau tak boleh selesai tak payah jadi (parti politik).
“Apabila berlaku perkara yang tidak diingini ini, kita masih boleh betulkan kerana kita masih mempunyai masa.
“Saya yakin apabila PRU diadakan, kita dapat bertanding dan mencalonkan satu calon bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN.
“Jadi, ini bukanlah perkara yang akan menjejaskan parti, sebaliknya
kita merapatkan parti dan bergerak sebagai sebuah gabungan yang boleh
mencabar kerajaan yang ada sekarang,” katanya pada sidang media selepas
mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PPBM hari
ini.
Dr Mahathir mengulas kekecohan yang berlaku pada Konvensyen PH Negeri
Sembilan, Ahad lalu, disebabkan akar umbi PPBM tidak berpuas hati
dengan pengagihan kerusi DUN negeri itu.
Lebih 50 ahli PPBM dilapor melaungkan “ini tidak adil” di belakang
dewan, sejurus Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selesai
berucap.
Menerusi rundingan itu, PKR diperuntukkan 12 kerusi DUN, DAP (11), Amanah (7) dan PPBM (6).
Sementara itu, pengerusi PH itu berkata, sebuah Jawatankuasa Khas
ditubuhkan untuk rundingan pengagihan kerusi di Selangor, susulan
kekeliruan dalam peranan Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor.
“Berkenaan dengan Selangor, terdapat sedikit salah faham tentang
pihak mana yang perlu melihat tentang agihan kerusi. Kami telah
menubuhkan satu Jawatankuasa Khas dan mereka akan mengambil alih dan
masalah itu akan diselesaikan.”
PH sedia kerjasama dengan Warisan
Dr Mahathir berkata, PH tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama
dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi mengelakkan pertandingan
banyak penjuru.
“Di Sabah, kita ada Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, Amanah dan
PKR, tapi mereka telah adakan kerjasama di Sabah dan mereka sedar ada
Parti Warisan di situ, kalau kita bertembung dengan Warisan, kita rugi
dia pun rugi.
“Jadi satu jenis kerjasama mungkin akan dijalankan antara Warisan dengan PH.”
Logo PH belum diluluskan
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, logo PH belum
diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) selepas 7
bulan permohonan dikemukakan.
“Sehingga hari ini tiada jawapan daripada JPPM, jadi kita dapati ini
sengaja dibuat demikian supaya kita habis masa dan tidak dapat buat
persiapan untuk PRU kerana kita tidak tahu sama ada kita punya simbol
diterima atau tidak, dan kita tak tahu sama ada parti kita ini diiktiraf
secara rasmi atau tidak.
“Saya berpendapat tindakan kerajaan macam ini adalah suatu penganiayaan kepada rakyat.”
PH menyerahkan permohonan mendaftarkan simbol gabungan itu pada 28
Julai 2017. JPPM kemudian mengarahkan PH menggunakan nama penuh “Pakatan
Harapan” pada simbol itu bagi menggantikan “Harapan”, dan mereka
membuat pindaan mengikut permintaan jabatan itu.
Pada 31 Oktober lepas, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan
bertulis di Dewan Rakyat berkata, JPPM masih menilai permohonan PH itu.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan