Oleh Rahman Imuda
Saya berpeluang menghadiri sebuah forum membincangkan perniagaan
pertanian yang berkiblatkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Panel
forum tersebut terdiri daripada seorang ahli akademik, seorang usahawan
tani dan seorang politikus.
Saya tidak ada masalah dengan hujah ahli akademik dan ahli perniagaan
pada forum kali ini, rasa tidak puas hati saya lebih tertumpu kepada
hujah dikeluarkan politikus berkenaan topik yang diberikan.
Sepanjang forum, beliau kerap mengkritik masalah sikap yang ada pada
masyarakat bumiputera dan graduan yang dikatakan tidak mengambil peluang
atau berfikiran simplistik untuk “makan gaji” berbanding memulakan
perniagaan.
Hujah ini dimainkan berulang-ulang sehingga saya terfikir kita nak
ubah sikap macam mana lagi? Kita memang sedang menghadapi banyak
masalah, dan tidak adil jika kita salahkan “sikap” semata-mata.
Sikap menjadi kambing hitam
Hujah “menyalahkan sikap” ini mengingatkan saya kepada satu forum di
RTM berkenaan Bajet 2018, seorang ahli akademik “dikelaskan” pakar
ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkenaan “kontrak sosial” penyediaan
universiti.
Ahli akademik itu juga konsisten menyalahkan sikap graduan yang
didakwa “kurang kemahiran insaniah” dan memberi prespektif kerajaan
tidak boleh disalahkan, jika negara menghadapi peluang pekerjaan yang
kurang.
Sebenarnya sikap siapa yang ada masalah? Melalui forum ini juga
politikus tersebut menyatakan contoh graduan yang memilih kerja sebagai
guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) sebagai contoh “masalah sikap
ingin makan gaji” yang kita hadapi.
Saya berpandangan hukuman seperti ini tidak adil, ramai graduan
memilih untuk bekerja pada kadar gaji lebih rendah daripada kelayakan
mereka bukan sebab masalah “sikap”, tetapi peluang pekerjaan yang
kurang.
Seharusnya sebelum kita berbicara tentang sikap, kita harus melihat realiti yang sedang berlaku pada hari ini.
Bukan sikap graduan atau anak muda yang salah semata-mata, tetapi
sikap mereka yang mempunyai kuasa juga harus dipersalahkan. Sikap
menafikan “tekanan-tekanan” yang menyebabkan graduan/anak muda
berkelakuan di luar norma.
Revolusi Industri 4.0
Saya ingin bertanya berkenaan peranan kerajaan dalam menyediakan
petani/pengusaha produk berasaskan pertanian menghadapi Revolusi
Industri 4.0 pada forum ini, malangnya masa tidak mengizinkan.
Pada hemat saya, sewajarnya isu inilah yang menjadi topik utama forum
kerana ia melibatkan satu sudut pandang yang jauh ke depan, seiring
TN50.
Apabila kita berkata tentang TN50 dan industri pertanian, sepatutnya
sudah banyak instrumen yang sejajar Revolusi Industri 4.0 untuk
membolehkan produk pertanian diniagakan dengan lebih laris.
Saya tidak nafikan instrumennya sudah ada, sebagai contoh Agro Bazar.
Namun, perlu juga difikirkan untuk peniaga di kampung atau kawasan
pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada internet atau teknologi.
Saya fikir daripada kita asyik memetik masalah sikap dalam
mengeneralisasikan punca masalah, lebih baik kita menyediakan platform
atau polisi untuk menghadapi masalah tersebut.
Platform dan polisi yang ditawarkan pula sepatutnya “up-to-date”
dengan generasi TN50, dengan cara ini, ia akan menarik minat golongan
muda yang didakwa menghadapi masalah sikap.
Adakah kita serius mengubah sikap?
Katakanlah kita bersetuju dengan kelompok yang mengatakan kebanyakan
graduan dan anak muda menghadapi masalah sikap dan kurang kemahiran
insaniah, seserius mana kita ingin menangani masalah ini? Dan dari
peringkat mana kita ingin mendidik rakyat untuk menghindari masalah
sikap dan kekurangan kemahiran insaniah ini?
Sebagai contoh, apabila profesor pendidikan yang dijemput RTM untuk
membincangkan Bajet 2018 berkata, graduan ada masalah kemahiran insaniah
(soft skill), sebab itu mereka sukar mendapat pekerjaan.
Adakah beliau boleh lepas tangan begitu sahaja tanpa mengakui
institusi di bawah seliaan beliau juga menyumbang kepada kegagalan untuk
menyediakan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi? Atau
perlukah kita pergi ke bawah lagi; sekolah menengah, sekolah rendah dan
tadika? Soalan-soalan seperti itu harus dijawab dengan konkrit.
Jika kita ingin menjelang 2050 majoriti rakyat Malaysia bebas
daripada masalah “sikap”, kita harus meneliti pada peringkat mana “sikap
baik” itu harus dipupuk.
Wajib juga kita bertanya adakah sistem pendidikan kita (bermula dari
prasekolah sehingga pendidikan tinggi) berada pada landasan betul untuk
membentuk sikap didambakan.
Memberi teguran tentang sikap segelintir masyarakat kita tidak salah,
tetapi memukul rata tanpa melihat kondisi sebenar adalah satu tindakan
terburu-buru dan tidak adil. Umpama seseorang yang sedang tidur di atas
timbunan beras menghukum pencuri yang kelaparan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan