Oleh Zin Mahmud
Sabtu lalu, tersiar gambar Tengku Razaleigh Hamzah duduk semeja
dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu
majlis perkahwinan berhampiran Tasik Titiwangsa.
Ia hanyalah majlis sosial dan seperti kata Tengku Razaleigh atau Ku
Li, beliau ada kalanya terjumpa juga dengan Dr Mahathir dalam pelbagai
acara dari masa ke masa.
Kehadiran Dr Mahathir, Ku Li dan Muhyiddin sebagai memenuhi jemputan
Zahid Mat Arip, juga seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang
mengadakan majlis perkahwinan untuk anaknya.
Dr Mahathir ialah pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin pula presiden PPBM dan timbalan presiden PH.
Zahid adalah watak politik yang menarik bukan saja di pihak Barisan
Nasional (BN) tetapi pembangkang. Beliau pernah menjadi pegawai khas
bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.
Pertama kali saya berjumpa Zahid adalah pada 2000-an. Seorang aktivis PAS memperkenalkan Zahid sebagai “cucu (Tun) Ghafar Baba”.
Ketika itu beliau aktif menyokong gerakan Reformasi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali kedua saya bertemu beliau adalah pada 2010-an di pejabat Utusan Melayu.
Pada masa itu beliau mempunyai NGO sendiri bernama Tolak Individu
Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI). Jawatan beliau dalam TIBAI ialah
“Mursyidul Am” seolah-olah ia perli PAS.
Beliau kemudian membubarkan TIBAI dan menjadi ahli Perkasa sebelum
menyertai PPBM. Ternyata Zahid mempunyai hubungan dengan pelbagai bekas
pemimpin Umno termasuk Ku Li.
Tetapi Ku Li pada Sabtu lalu turut mempunyai satu acara rasmi yang
tidak kurang penting iaitu merasmikan sebuah forum anjuran G25 bertajuk
“Program Pembaharuan bagi Malaysia yang Progresif”. Beliau menyampaikan
ucaptama yang kandungannya mengkritik kerajaan khususnya mengenai hutang
negara dan ekonomi.
Umumnya, pandangan beliau adalah juga mencerminkan sebahagian apa
yang diperjuangkan oleh G25, sebuah kumpulan yang terdiri daripada bekas
tokoh penjawat awam terkenal dan berpengaruh dalam sekitar tahun
1980-an. Pandangan mereka adalah mahukan negara progresif yang
melaksanakan nilai-nilai demokrasi termasuk sekularisme iaitu dalam
konteks perlembagaan Malaysia.
Pada 1980-an, umumnya mereka berkhidmat di bawah pentadbiran perdana
menteri ketika itu, seperti mana juga Ku Li yang pernah menganggotai
kabinet Dr Mahathir. Mereka kelihatan mendokong sosok asas negara
seperti yang dibentuk oleh perdana menteri pertama Malaysia iaitu Tunku
Abdul Rahman Putra.
Maknanya, fahaman mereka adalah apa yang dipegang oleh Umno pada
peringkat awal iaitu semasa Datuk Onn Jaafar, Tunku, Tun Razak Hussein
dan Tun Hussein Onn.
Dalam hal ini, pada sudut tertentu pandangan mereka adalah berlainan
daripada Dr Mahathir dan Anwar yang membawa dimensi nilai Islam dalam
pentadbiran negara. Maka kalau dilihat dari sudut fahaman, G25 adalah
lebih hampir kepada fahaman Ku Li ketika beliau menentang Dr Mahathir,
baik semasa dalam Umno mahupun selepas menubuhkan Semangat 46.
Tetapi fahaman Dr Mahathir mengenai Islam adalah progresif dengan
caranya sendiri. Sementara fahaman progresif Islam Anwar ketika
menerajui PKR adalah berbeza berbanding semasa beliau memimpin Angkatan
Belia Islam Malaysia (Abim) dan ketika menjadi timbalan presiden Umno.
Ku Li pernah mengetuai barisan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat yag menggabungkan 9 parti politik.
Kini Ku Li adalah seorang ahli politik veteran Umno yang masih menjadi wakil rakyat BN bagi Gua Musang.
Apabila ditanya mengenai Dr Mahathir beliau berkata: “Can a leopard
change his spots? Maybe he can. We dont know.” (Bolehkah harimau bintang
menukar tompoknya? Mungkin ya. Kita tidak tahu).
Maksud beliau, sukar bagi Dr Mahathir hendak berubah iaitu daripada
cara beliau mentadbir selama 22 tahun dahulu. Tetapi mungkin juga beliau
boleh berubah. Tidak ada sesiapa yang tahu.
Ku Li dan Dr Mahathir berada dalam kabinet Tun Hussein; Dr Mahathir
sebagai timbalan perdana menteri dan Ku Li sebagai menteri kewangan.
Beliau juga kemudiannya berada dalam kabinet Dr Mahathir.
Walaupun Ku Li mencabar Dr Mahathir bagi jawatan presiden Umno dan
selanjutnya menjadi pemimpin utama pembangkang dalam pilihan raya umum
1990, tetapi beliau kembali berbaik dengan Dr Mahathir.
Beliau membubarkan Semangat 46 seperti yang dikehendaki Dr Mahathir
dan membawa penyokongnya menyertai Umno Baru membolehkan parti itu
menggugurkan perkataan “baru”.
Menurut Ku Li, ada yang kata kemungkinan akan berlaku “hung
parliament” (parlimen tergantung) yang mana kedua-dua pihak, BN dan PH
memenangi bilangan kerusi yang sama banyak dan tidak ada sesiapa dapat
membentuk kerajaan.
Beliau juga menyebut bahawa banyak halangan bagi Dr Mahathir untuk
menjadi perdana menteri semula. Mana-mana parti yang mempunyai cukup
ahli parlimen untuk menyokongnya mengetuai kerajaan akan dipanggil untuk
menjadi perdana menteri.
Itupun akan ditentukan juga oleh Yang di-Pertuan Agong. Iaitu kesesuaian
seorang calon perdana menteri yang memperoleh keyakinan majoriti ahli
Parlimen.
Maknanya, walaupun sudah dipersetujui oleh PH bahawa Dr Mahathir akan
dipilih sebagai perdana menteri sekiranya gabungan itu menang, tetapi
perkiraan akhir akan juga bergantung pada parti mana yang meraih paling
banyak kerusi, sama ada PPBM atau PKR.
Faktor besar yang menjadi penghalang Dr Mahathir ialah juga usianya yang akan mencapai 93 tahun.
Ku Li yang berusia 81 tahun masih berpengaruh di Kelantan. Umno
negeri itu adalah juga dianggotai oleh penyokongnya yang pernah
bersamanya dalam Semangat 46.
Baru-baru ini dikesan bahawa pendirian Umno Kelantan adalah berbeza dengan Umno Pusat berhubung dengan PAS.
Ketika mana PAS kelihatan mesra dengan Umno pusat, banyak kalangan
Umno Kelantan berasa bahawa pilihan raya akan datang ini adalah peluang
besar bagi mereka mengalahkan PAS. Ini kerana PAS sudah berpecah dengan
munculnya Amanah.
Ku Li berperanan besar memecahkan undi BN bagi memberi kemenangan
pada PAS pada 1990 melalui Angkatan Perpaduan Ummah. Sementara pada
1978, Ku Li berperanan membawa kemenangan pada Umno di atas perpecahan
PAS yang melahirkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Sementara itu G25 pula mengharapkan PH akan membawa agenda progresif
kerana pada masa ini, mereka berasakan kerajaan membawa nilai
konservatif agama hinggakan buku mereka juga diharamkan.
G25 ditubuhkan pada 2015 sebagai reaksi kepada peningkatan
konservatisme agama di negara ini apabila PAS berusaha mengetengahkan
hukum hudud. Usaha PAS itu telah membawa kepada perbalahannya dengan
DAP, merungkaikan Pakatan Rakyat dan akhirnya ia sendiri berpecah dan
melahirkan Amanah.
Tetapi sebelum adanya G25 dan Amanah, Ku Li pada 2011 ada menubuhkan
sebuah NGO bernama Angkatan Amanah Merdeka yang singkatannya juga
Amanah. Penubuhannya diisytiharkan di Memorial Tunku Abdul Rahman dengan
pemahamannya adalah untuk mendokong idealisme Tunku terhadap Malaysia.
Cakap-cakap politik pada masa itu ialah NGO Amanah adalah persediaan
Ku Li memimpin Pakatan Rakyat apabila Anwar tidak dapat bertanding dalam
pilihan raya umum ke-13. Dilaporkan bahawa ada pihak dalam PAS yang
menyokong cadangan itu.
Antara anggota NGO Amanah ini ialah bekas menteri, Tan Sri Abdul
Kadir Sheikh Fadzir. Ada pihak yang menyeru supaya Ku Li menjadikan NGO
itu sebagai parti politik.
Ironinya setahun kemudian, Kadir menubuhkan Parti Ikatan Bangsa
Malaysia dengan lambang Tunku mengisytiharkan kemerdekaan. Parti ini
kelihatan juga memperjuangkan idealisme Tunku, iaitu tidak berbeza
dengan NGO Amanah.
Ikatan dapat didaftarkan pada 2015, ketika itu Pakatan Rakyat sudah
berpecah. Ironinya, Ikatan tidak menyertai PH. Sebaliknya ia menyertai
Gagasan Sejahtera pimpinan PAS. Pegangan politik PAS dan Ikatan adalah
berbeza khususnya dari segi fahaman konservatisme agama.
Tetapi PAS sudah menyatakan bahawa ia akan menjadi “kingmaker” (penentu siapa berkuasa) jika berlaku parlimen tergantung.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan