Oleh
ABDUL Hadi Awang yakin PAS boleh jadi penentu kuasa politik di
peringkat persekutuan dan negeri dengan sasaran menang jumlah kerusi
tertentu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, dan penganalisis
politik mula membaca apakah keyakinan beliau itu ada asasnya.
Pada Himpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam, Selangor kelmarin, Hadi
menegaskan keyakinannya apabila mengumumkan PAS akan bertanding 130
kerusi Parlimen "sekurang-kurangnya untuk dapat majoriti mudah”.
“PAS mahu bentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan, bukan
lagi sebagai pembangkang yang lemah selepas PRU,” kata Hadi pada rapat
umum itu, yang menyaksikan beliau mengacung keris melancarkan jentera
pilihan raya PAS Selangor.
Gabungan politik atau parti politik memerlukan paling sedikit 112
daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan
persekutuan.
Keyakinan Hadi itu bukan saja bagi kerusi persekutuan tetapi juga
negeri. Beliau mencongak PAS boleh menang sekurang-kurangnya 13 daripada
56 kerusi dalam pilihan raya negeri di Selangor dan 32 daripada 45
kerusi di Kelantan.
Hadi juga berkata PAS boleh menang 8 daripada 36
kerusi DUN Kedah dan 4 daripada 59 kerusi di Perak, malah boleh
membentuk kerajaan negeri di Perlis.
Tetapi dalam tiga pilihan raya umum yang lalu, parti Islam itu hanya
menang satu daripada 15 kerusi yang ada di dewan undangan negeri (DUN)
Perlis.
Malah anehnya juga, Hadi tidak menyebut bayangan keyakinannya tentang
Terengganu, negeri yang pernah beliau pimpin selama satu penggal pada
1999 sebagai menteri besar, sebelum kalah kepada Umno pada PRU 2004. PAS
sekarang ada 14 daripada 32 kerusi di DUN Terengganu.
Selebihnya, hanya kurang 10% daripada 50,000 ahli PAS di Selangor yang hadir ke Himpunan Fastaqim 2.4 itu.
Jadi, dari manakah datangnya keyakinan Hadi bahawa PAS boleh jadi kuasa penentu pada PRU14 nanti?
Bagaimana membaca Hadi
Menurut penganalisis, keyakinan Hadi ini datang daripada strategi
kempen yang menyerang Dr Mahathir Mohamad, dan bukannya Umno, yang akan
lebih ternampak jelas dalam waktu yang terdekat.
Hadi memusatkan serangan kepada kesilapan masa lalu pengerusi Pakatan
Harapan (PH) itu dan sebaliknya berkendur terhadap Umno, kata Pengarah
Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar.
"Serangannya ditumpukan kepada Dr Mahathir dan bagaimana bekas
perdana menteri itu menghentikan bayaran royalti minyak kepada kerajaan
negeri Terengganu pada 1999 semasa Hadi jadi menteri besar.
"Hadi tidak serang Umno secara langsung kerana strategi terbaru PAS
ialah untuk memenangi undi daripada penyokong Umno," kata Hisommudin.
PAS terpaksa menagih undi Umno kerana ia dijangka akan hilang
sokongan daripada pengundi bukan Melayu selepas parti Islam itu berpisah
dengan parti-parti pembangkang yang kini bergabung dalam PH.
"Jalan kemenangan PAS dalam pertembungan tiga penjuru ialah dengan mengharapkan undi daripada penyokong Umno."
Peneliti politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali
berkata strategi PAS tidak menyerang Umno itu selari dengan cita-citanya
mahu jadi penentu kuasa politik.
Ia juga konsisten dengan pendirian PAS bersetuju atas beberapa dasar
kerajaan persekutuan tetapi menentang dasar yang tidak menguntungkan
rakyat, katanya.
Kuasa ketiga
Kenyataan Hadi itu membalut keyakinan bahawa PAS boleh jadi kuasa ketiga yang mampu menggugat BN dan PH.
"Ini kerana keyakinan PAS pada jentera pilihan rayanya sendiri dan ribuan ahli baru yang didaftarkan setiap bulan," kata Mazlan.
"Tetapi Hadi tidak sebut Terengganu kerana beliau tahu negeri itu
akan kekal dengan BN," katanya yang pernah membuat simulasi keputusan
PRU14 Terengganu.
Kajian Mazlan, yang dibentangkan di Universiti Malaya minggu lalu, menunjukkan PAS hanya boleh menang dua kerusi DUN sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dengan BN dan PH.
Walaupun kehadiran rendah di Himpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam
kelmarin sudah dijangka, Mazlan berkata sokongan kepada PAS di Kelantan
dan Terengganu secara umumnya lebih tinggi berbanding di negeri lain.
"Pengikut PAS di Lembah Klang tidak peduli untuk tunjuk muka pada
majlis-majlis seperti ini, tidak seperti rakan-rakan mereka di Kelantan
dan Terengganu," kata Mazlan.
Satu lagi faktor, menurut Mazlan, perpecahan PAS pada 2015 yang membawa kepada munculnya parti serpihan, Amanah.
"Banyak penyokong PAS di Lembah Klang keliru dengan hala tuju parti dan mungkin memutuskan tidak datang," tambahnya.
Hisommudin berkata Fastaqim 2.4 berjaya menggerakkan jentera pilihan
raya PAS di Selangor dan memberi petunjuk jelas PAS di negeri itu tidak
akan bekerjasama dengan BN mahupun PH.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan