PAS: Tiada lagi rundingan dengan PKR, individu wakili PH

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS pusat menegaskan parti itu tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan PKR atau mana-mana pihak yang membawa imej Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, PAS hanya akan bekerjasama dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera yang telah dibentuk sebelum ini.

“Tak ada lagi sebarang rundingan kerjasama politik untuk pilihan raya dengan mana-mana pihak kecuali menerusi Gagasan Sejahtera. Termasuk atas nama individu sekalipun selagi ia membawa imej PH,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan rundingan kerjasama dengan PAS bukan inisiatif peribadi, tetapi sebenarnya keputusan parti.

Beliau juga menegaskan penglibatannya dalam rundingan dengan PAS itu sebagai mewakili PKR.
“Saya mesti tegaskan sekali lagi…mereka selalu kata rundingan itu inisiatif saya, tetapi sebenarnya bukan inisiatif peribadi saya. Rundingan itu keputusan PKR. Saya mewakili parti,” katanya.

Beliau juga menegaskan rundingan itu rundingan “tidak rasmi” dan hanya melibatkan PKR dan PAS.

Azmin merupakan penyokong terkuat kerjasama antara PH dan PAS, walaupun semasa pimpinan lain dalam gabungan pembangkang berputus asa untuk membentuk kerjasama dengan parti itu.

Meskipun Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada Khamis mengecam rancangan PAS bertanding di kerusi PKR di Selangor, Azmin menganggapnya sebagai perkara “biasa” untuk mana-mana parti politik.

Jun lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, partinya masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan semua parti termasuk PKR dan PPBM, tetapi bukannya Amanah dan DAP.

Katanya, pelawaan itu terbuka kepada PKR dan PPBM, jika mereka hendak memutuskan hubungan dengan Amanah dan DAP untuk menjatuhkan BN pada PRU14.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sedia berdepan saingan pelbagai penjuru pada PRU14.

Pada muktamar 2015, PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Ia juga berkeras tidak akan bekerjasama dengan parti serpihannya, Amanah.

Pada 12 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menutup pintu kerjasama dengan PPBM dengan alasan parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Tiga bulan kemudian, Majlis Syura Ulama PAS mengambil keputusan menamatkan kerjasama hampir 18 tahun dengan PKR seperti yang diluluskan perwakilan pada Muktamar PAS ke-63.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan