Oleh Adrian Lim Chee En
KEGAGALAN terbesar Pakatan Harapan (PH) bukannya kegagalan menamakan calon perdana menteri (PM) mahupun kabinet bayangan.
Kegagalan terbesar PH adalah kesilapan mengikut rentak permainan dan naratif politik Barisan Nasional (BN).
"Pertahanan yang terbaik adalah serangan yang baik” dan BN telah
mempraktikkan konsep ini dengan baik, dari polemik PAS dalam pakatan
pembangkang sehingga isu calon PM PH.
Dari kedudukan pertahanan, BN telah berubah kepada kedudukan menyerang.
Sekiranya Dr Mahathir Mohamad hari ini dinamakan calon PM PH,
percayalah, esok BN akan bertanyakan bagaimana Dr Mahathir boleh jadi PM
tanpa menjadi ahli Parlimen, sebagaimana Anwar Ibrahim diserang.
Serangan bertubi-tubi ini akan diikuti dengan persoalan mengenai calon TPM PH, kemudian kabinet bayangan PH.
PH akan sentiasa berada selangkah di belakang BN kerana terlalu sibuk
menjawab persoalan BN yang tiada hubung kait dengan masalah rakyat,
sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selesai.
Tanyalah rakyat marhaen. Kebanyakannya sudah muak dengan politik disebabkan pergolakan dalaman.
Pergolakan dalaman inilah hasil keghairahan PH menari mengikut rentak BN.
Daripada polemik PAS hingga calon PM, yang bakal disusuli calon TPM
serta kabinet bayangan dan sebagainya. PH terlalu ghairah menjawab
setiap persoalan BN.
Geek teknologi yang tak ambil kisah tentang pilihan raya,
kerani yang tak ambil peduli tentang perkembangan politik, artis solek
yang tak baca berita, golongan profesional yang bersedia berhijrah, anak
muda yang tidak nampak kepentingan mendaftarkan diri sebagai pengundi –
golongan inilah yang menjadi blok undi terbesar anti-BN dalam setiap
PRU.
Mereka tidak membaca berita setiap hari, tetapi merasai beban
kehidupan yang semakin berat. Mereka inginkan perubahan, tetapi tidak
nampak bagaimana satu undi mereka mampu membawa perubahan. Pada tahun
2008 dan 2013, mereka akhirnya memberanikan diri melakukan sesuatu
kerana tersentuh dengan Pakatan Rakyat.
Minggu depan, golongan ini akan terbaca berita dalam akhbar
antarabangsa yang bertajuk: "Pembangkang Malaysia Menamakan Bekas PM
Berumur 92 Tahun Sebagai Calon PM"".
Tak malu jadi bahan lawak dunia?
Bayangkan perasaan golongan pengundi atas pagar yang suatu ketika
dahulu memberanikan diri melakukan perubahan selepas berdekad lamanya
dipujuk para aktivis serta pembangkang, kini mendapat tahu bekas PM yang
dikritik lantang berdekad lamanya diangkat pula sebagai PM pembangkang.
Mereka akan memganggap bahawa pembangkang kini membuat keputusan
mengorbankan perjuangan asal, ganti dengan sosok tubuh yang dilawan
begitu lamanya demi menawan Putrajaya.
Secara tidak langsung, PH sedang mengaku bahawa perjuangan yang
ikhlas, murni dan suci untuk demokrasi, urustadbir baik, prinsip,
menolak kezaliman dan sebagainya selama ini gagal teruk, pembangkang
kini kebuntuan, maka jalan pintas terpaksa diambil demi menjadi tuan di
Putrajaya.
Pemimpin PH sedang memberitahu rakyat Malaysia, HARAPAN telah jadi TIADA HARAPAN.
Sewajarnya PH kembali kepada perjuangan yang berkisar tentang nasib
rakyat, kerana hanya melalui kaedah ini BN akan berada selangkah di
belakang PH. Hanya melalui isu rakyat, lebih ramai akan membuka mata.
PH ulang mansuh tol, BN jawab tidak boleh dan terpaksa mempertahankan sebabnya.
PH ulang mansuh PTPTN, BN jawab tidak boleh dan terpaksa mempertahankan sebabnya.
PH umum akan batal GST, BN jawab tidak boleh dan terpaksa mempertahankan sebabnya.
Apapun alasan yang dikemukakan BN demi mempertahankan kedudukannya akan menyerlahkan kerakusan kuasa serta ketamakan mereka.
Perjuangan pembangkang dan para aktivis sebenarnya lebih besar dari
soal PM. Itulah yang membezakan pembangkang/aktivis dengan BN selama
ini. Perbezaan ini akan lenyap sekiranya kita bermain mengikut naratif
BN.
Maka saya merayu kepada PH, janganlah bermain mengikut naratif BN.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan