NILAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 13 jenis barangan menerusi Skim
Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina yang disambut
pada 16 dan 17 Februari ini.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata skim kawalan harga itu
berkuat kuasa 12 hari mulai 10 hingga 21 Februari iaitu 6 hari sebelum, 1
hari semasa dan 5 hari selepas sambutan itu diadakan selain pada hari
perayaan.
Barangan yang disenaraikan dalam skim tersebut termasuklah ayam
hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis
bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), bawang
putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar dan daging babi.
“Peniaga diwajibkan menjual 13 barangan itu pada harga lebih rendah
atau tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah
jambu bagi membezakannya dengan barangan lain,” katanya pada sidang
media mengumumkan senarai barangan itu hari ini.
Beliau berkata skim kawalan harga musim perayaan ini membabitkan 91
daerah di Semenanjung, Sarawak (32), Sabah (27) dan satu daerah di
Labuan.
Hamzah berkata mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta
Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 boleh didenda hingga RM100,000
atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya.
Individu terbabit juga boleh dikenakan kompaun hingga RM50,000,
manakala syarikat boleh didenda hingga RM500,000 atau kompaun hingga
RM250,000, jika sabit kesalahan.
“Bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga merah jambu bagi
barangan terkawal, boleh didenda hingga RM10,000 atau kompaun hingga
RM5,000 bagi individu. Manakala bagi syarikat, denda hingga RM20,000
atau kompaun hingga RM10,000,” katanya.
Beliau menegaskan KPDNKK akan melaksanakan pemantauan agresif bagi
melindungi pengguna daripada kegiatan pengambilan keuntungan berlebihan
oleh peniaga tidak beretika.
Pengguna dan peniaga boleh membuat semakan harga barangan pada laman web KPDNKK di www.kpdnkk.gov.my.
Terdahulu, Hamzah melawat Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di
Bandar Enstek, diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.
Beliau berkata lawatan itu bertujuan untuk memahami prosedur yang
dijalankan makmal di MyHAC berkaitan kandungan sesebuah produk.
“Ramai rakyat bertanya kenapa lama sangat masa diambil untuk sesuatu
produk, dan inilah jawapannya iaitu kajian ke atas sesebuah produk
memang mengambil masa. Contohnya bulu babi, ia mengambil masa 7 hingga
10 hari untuk dapatkan butiran produk,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan