Mari lawan saya di Langkawi, Dr M cucuk Khairy
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencucuk Khairy Jamaluddin agar bertanding dan menewaskannya di Langkawi.
Ia selepas ketua Pemuda Umno itu mendakwa Dr Mahathir boleh berjasa pada Langkawi kerana bantuan dan sokongan Barisan Nasional (BN).
“Suruh dia bertanding dengan saya di Langkawi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan perayaan Hari Ponggal peringkat Kapar hari ini.
Khairy dilaporkan berkata meskipun Dr Mahathir dianggap banyak berjasa kepada pembangunan Langkawi, kemajuan itu tidak mungkin berlaku tanpa sokongan Umno dan Barisan Nasional.
“Bayangkan kalau BN tidak ada kuasa, tidak ada peruntukan, Langkawi tidak akan membangun,” katanya, dan menambah rakyat Langkawi masih merasai nostalgia pentadbiran Dr Mahathir.
Dr Mahathir, kelahiran negeri Kedah, memerintah negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 dan memberi tumpuan khas pada Langkawi sejak mula menjadi perdana menteri.
Beliau menubuhan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) untuk merancang pembangunan di pulau itu, dan memberikan status bebas duti kepada pulau itu.
Beliau kini mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan.
“Kita kenang dan berterima kasih kepada Dr Mahathir tetapi untuk 10 hingga 30 tahun akan datang, kita perlu memberikan sokongan kepada pemimpin parti yang mampu untuk terus membawa kemajuan kepada rakyat kita,” katanya, di satu program di Langkawi semalam.
Dr Mahathir dikatakan bakal bertanding di Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya, dan menjadi calon perdana menteri PH bagi pilihan raya umum akan datang.
Ditanya sama ada anaknya, Datuk Seri Mukhriz akan bertanding di Selangor, Dr Mahathir mendakwa tidak mengetahui perkara itu.
“Saya tidak tahu soal dia bertanding di Selangor,” katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pimpinan kerajaan Selangor dan Pakatan Harapan negeri.
0 comments:
Catat Ulasan