Pendirian Amanah kes Indira Ghandi

Oleh Mohamad Sabu

Panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Maknudin telah membuat keputusan sebulat suara bahawa penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Keputusan ini adalah berbeza dengn keputusan mahkamah persekutuan yang sebelumnya menyatakan bahawa penukaran agama adalah sah walaupun ianya dilakukan secara ex-parte atau secara bersendirian tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Keputusan penghakiman terbaharu ini, yang ditulis sepanjang 99 muka surat itu merumuskan bahawa penukaran agama kanak-kanak kepada Islam tidak mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 dan sijil penukaran agama dikeluarkan tanpa persetujuan Indira (ibu) dengan demikian melanggar perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961.

Oleh kerana ianya persoalan penafsiran perlembagaan, maka keputusan sesebuah mahkamah, walaupun mahkamah persekutuan, tidak mengikat mahkamah lain untuk mengemukakan penafsiran berbeza.

Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan punca permasalahan belum lagi diselesaikan dan ada kemungkinan kontroversi ini akan turut dihadapi pada masa akan datang sehingga penafsiran yang muktamad tercapai.

Begitu juga persoalan pertindihan dengan kuasa mahkamah syariah yang perlu juga diselaraskan.
Namun demikian, Amanah berpendapat bahawa semua pihak harus menghormati keputusan mahkamah persekutuan setelah 10 tahun isu ini berlarutan dengan penuh kontroversi.

Kami memahami tahap sensitiviti isu ini tetapi kami yakin bahawa ruang semaksimumnya telah diberi kepada semua pihak untuk menuntut keadilan demi anak-anaknya.

Bagi pihak yang tidak berpuas hati, sama ada dengan keputusan yang terhasil atau pendekatan yang telah diguna pakai, semua cadangan untuk memperbaikinya, dalam kes sebegini, hendaklah diusahakan melalui proses seperti mana yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ianya semestinya melalui proses demokratik dan menjauhi provokasi sentimen agama dan kaum bagi memelihara keamanan dan perpaduan nasional yang perlu diutamakan.

Semua pihak hendaklah memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah asas pembinaan negara dan ia merupakan perjanjian bersama atau kontrak sosial yang perlu dipatuhi oleh semua demi menjamin keamanan dan kestabilan.

Bagi umat Islam, persoalan mematuhi perjanjian adalah satu persoalan besar seperti mana telah dibuktikan Rasulullah (SAW) dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah.

Pendirian berhubung agama anak

Amanah berpandangan bahawa persoalan agama anak-anak apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam adalah satu persoalan ijtihad yang tidak ada ijma (konsensus) mengenainya.

Ini berdasarkan hakikat bahawa wujud perbezaan pandangan ulama mengenainya yang perlu diiktiraf dan diambil kira.

Mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali menetapkan status anak mestilah berpandukan keIslaman mana-mana pasangan.

Pandangan Maliki berbeza dengan menyatakan status agama anak berpandukan nasab (jalur keturunan) maka ia mengikut agama bapa.

Jika ibunya memeluk Islam, anak kekal agama bapa yang bukan Islam. Ini berpaksikan adat dan budaya di mana anak ‘dibinkan’ ayahnya.

Imam Suffian Al Thawri (716–778 AD) berpendapat status agama adalah atas pilihan anak itu sendiri setelah capai umur akil baligh.

Pendapat Al-Thawri bersandarkan sebuah hadith di mana Rasulullah (SAW) meminta seorang anak memilih sendiri antara ibunya yang memeluk Islam dan ayahnya yang kekal dengan agama asalnya.

Walaupun pandangan Imam Al Thawri bukan pandangan majoriti namun kami berpendapat pandangan ini lebih hampir dalam mencapai maksud utama syariat Islam dan dengan melihat realiti kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.

Dengan kata lain keputusan mahkamah tidak semestinya bercanggah dengan pandangan Islam dalam hal ini.

Dari sudut perundangan, perlu juga disebut bahawa Muzakarah Penyelarasan Syariah dan Sivil tahun 2009 menetapkan bahawa status agama anak hendaklah Islam, mengikuti mana-mana pasangan yang memeluk Islam.

Begitu juga dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 25 Jun 2009 memutuskan status anak adalah di atas agama Islam mengikut mana-mana pasangan yang memeluk Islam.

Kami yakin ini adalah keputusan yang bertujuan mengikut pandangan mazhab Syafie tanpa ada apa-apa keinginan untuk menilai kesesuaiannya dalam menghadapi keadaan, zaman dan tempat yang telah jauh berbeza.

Persoalan bersifat ijtihadiah

Amanah berpendirian bahawa dalam persoalan ‘ijtihadiah’ maka sesuatu masalah perlu ditangani dari sudut maqasid syariah yang turut mengambil kira proses perundangan dan kebajikan anak-anak.

Jika ianya tidak ditangani melalui perkara-perkara teras ini, kemungkinan kes lain yang serupa melibatkan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara unilateral akan terus berlaku dan berpotensi menggugat keharmonian hubungan antara agama di negara ini.

Dari sudut maqasid syariah, isu ini perlu dihadapi dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap perkara yang lebih besar dari sentimen dan perasaan iaitu nilai-nilai kerahmatan, keadilan dan karamatul insan (kemuliaan insan).

Semua pihak sama ada suami yang telah memeluk Islam atau isteri yang kekal agama asal, atau sebaliknya, perlu memastikan nilai-nilai di atas menjadi kepentingan bersama dalam melalui proses keadilan dan demi kebajikan anak-anak.

Amat malang jika semua nilai teras kerahmatan dan kemuliaan insan dicerobohi dalam memenuhi tuntutan masing-masing. Lebih malang sekiranya ianya dicerobohi atas kononnya ‘kepentingan Islam’.

Dalam memenuhi tuntutan keadilan yang terkandung dalam maqasid syariah, Amanah berpendapat mahkamah syariah hendaklah membuka pintu dan memberikan hak kepada pasangan bukan Islam untuk didengar di dalam perbicaraan di mana mereka dinamakan sebagai pihak-pihak di dalam perbicaraan atau tuntutan.

Tidak seperti mana sekarang di mana walaupun mereka dinamakan tetapi hak mereka untuk didengar, dinafikan kerana halangan undang-undang.

Hakim-hakim perlu sanggup memberi peluang kepada orang bukan Islam didengar di mahkamah syariah sebagai bukti bahawa Islam adalah adil dan mampu memberikan keadilan kepada semua pihak termasuk yang bukan Islam.

Reformasi institusi mahkamah syariah dalam menetapkan prinsip keadilan rentas kaum dan agama wajar diberi perhatian serius.

Mahkamah syariah wajib mengusahakan keadilan dan bukan memenangkan orang Islam ke atas bukan Islam seperti mana yang difahami sebahagian masyarakat, Islam dan bukan Islam.

Selain keadilan, masalah kebajikan anak adalah paling utama. Keadaan di mana anak-anak membesar dalam suasana konflik mahkamah yang tidak berkesudahan selama 10 tahun perlu dielak dari berulang kembali.

Kasih sayang dan belaian perlu diutamakan dan Islam tidak ingin melihat kasih sayang dan belaian keluarga diabaikan.

Syor tangani permasalahan ini

Kerajaan pernah mengusulkan pindaan pada Seksyen 88 (A) dalam Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (1976) pada tahun 2017.

Namun draf asal dipinda pada saat akhir dengan membuang klausa yang menyatakan bahawa status agama anak bawah umur kekal seperti asal jika tidak mendapat persetujuan salah seorang ibu bapa.

Amanah berpendapat tujuan asal pindaan untuk menangani masalah status agama anak tidak tercapai dan sepatutnya kerajaan meneruskan hasrat pindaan 88 (A) dengan membentangkannya untuk dibahas.

Melalui perbahasan ini akan dapat dirumuskan penyelesaian terbaik dan adil terhadap masalah intepretasi Artikel 12 (4).

Ini akan menjamin tidak berlakunya penafsiran yang berubah-ubah dari satu mahkamah ke satu mahkamah yang lain. Ini akan memberi keadilan kepada anak dan menyelamatkan mereka dari menjadi ‘rebutan status agama’.

Akhirnya mereka akan dibenarkan memilih agama mereka sendiri bila mencapai status baligh atau dewasa.

Amanah turut menyarankan agar umat Islam kembali memahami tujuan utama syariat Islam dihasilkan, iaitu untuk mempertahankan nilai-nilai kemuliaan manusia dan keadilan sejagat.
Dalam kerangka kefahaman sebegini maka reformasi mahkamah syariah perlu disegerakan untuk penyelesaian tuntas di masa-masa hadapan.

Dalam keadaan akan ada ibu bapa yang kekal dengan agama asal yang tidak setuju untuk dihakimi di mahkamah syariah, walaupun setelah reformasi berjaya dilakukan, Amanah berpandangan perlu ada mahkamah khas antara sivil dan syariah untuk menangani keadaan ini.

* Mohamad Sabu adalah presiden Parti Amanah Negara (Amanah)
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan