“Seorang Demi Seorang Angkat Kaki: Saifuddin Tarik Rayuan, Bersatu Makin Runtuh?”


Bekas menteri Saifuddin Abdullah memutuskan untuk menarik balik rayuannya terhadap pemecatan beliau daripada Bersatu, beberapa jam selepas seorang lagi Ahli Parlimen berbuat demikian.

Dalam sepucuk surat kepada parti itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota tersebut berkata beliau menarik balik rayuan itu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Saifuddin tak menyatakan sebab beliau menarik balik rayuan tersebut.

“Saya memohon lembaga rayuan (Bersatu) mengambil maklum dan menghentikan segala prosiding atau pertimbangan lanjut berkaitan rayuan saya,” katanya.

Saifuddin dipecat daripada parti pada 6 Jan kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaannya. Lembaga disiplin tidak menyatakan secara khusus bentuk kesalahan beliau.

Saifuddin dipanggil oleh lembaga disiplin susulan gesaan beliau supaya presiden Bersatu dan ketika itu pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan turut memutuskan untuk menarik balik rayuannya terhadap pemecatan beliau daripada Bersatu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Wan Saiful berkata beliau telah menghantar surat kepada lembaga disiplin Bersatu bagi memaklumkan perkara tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberitahu FMT bahawa beliau tidak akan merayu pemecatanya dari Bersatu.

“Bersatu sebuah parti yang hampir mati,” kata bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu ketika ditanya sebab beliau tidak merayu.

Wan Fayhsal dipecat pada 13 Feb, bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan dua lagi ahli Parlimen.

Surat daripada pengerusi lembaga disiplin Bersatu Radzi Manan menyatakan ketiga-tiga mereka melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti, peruntukan sama yang dirujuk dalam pemecatan Saifuddin Abdullah. Mereka berhak memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Wan Fayhsal digantung daripada Bersatu pada Oktober kerana terbabit dalam usaha untuk menyingkirkan Muhyiddin sebagai presiden parti.

Beliau turut mengemukakan alasan rayuannya terhadap pemecatan itu kepada lembaga rayuan parti pada 3 Feb.

Share on Google Plus

About Editor Bebas

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan