Persatuan pengguna: Haramkan mainan kejutan elektrik

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan alat permainan “shock chewing gum” iaitu sejenis mainan kejutan elektrik yang boleh membahayakan pengguna terutama kanak-kanak.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata tinjauan dilakukan CAP mendapati produk itu dijual dengan harga RM6 satu dan ia boleh dibeli di pasar malam serta kedai menjual alat permainan.

“Bentuknya seakan gula-gula getah jenis Wrigley’s dan kepingannya (gula-gula getah) menjulur ke luar untuk ditarik, apabila seseorang menariknya (kepingan gula-gula getah) ia akan mencetuskan suis menghantar arus elektrik melalui tangan mangsa dan orang berkenaan akan merasa kejutan elektrik melalui tangannya.
“Berdasarkan tinjauan, kami juga mendapati alat permainan itu turut terdapat dalam bentuk pen dan pistol mainan dan mereka yang menggunakan pen atau memetik picu pistol itu akan merasa kejutan elektrik,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata alat permainan itu mampu mencederakan mangsa kerana mereka terkena kejutan elektrik akan mengalamai kesakitan malah arus berkenaan juga berbahaya kepada mereka yang bermasalah kesihatan.

Mohamed Idris berkata berikutan itu, pihaknya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya mengambil tindakan segera dengan merampas serta mengharamkan semua produk permainan seperti itu yang dijual di pasaran kerana hanya membawa keburukan.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatian, pihaknya juga mendapati alat permainan diimport dari luar negara itu tidak mempunyai logo MC iaitu pematuhan standard KPDNKK yang diwajibkan bagi setiap produk permainan sebelum boleh dipasarkan kepada pembeli.

Beliau berkata pihaknya juga pelik bagaimana alat permainan berbahaya, boleh menyebabkan seseorang mengalami trauma dan kesakitan akibat kejutan elektrik itu boleh dijual secara terbuka di kedai sekitar Pulau Pinang dan pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan.

“Alat permainan seperti itu diharamkan di beberapa daerah di Amerika Syarikat kerana memberi kesan terutama kepada kerosakan saraf tangan… jadi CAP menggesa kerajaan kita turut mengharamkannya berikutan kesannya lebih teruk jika seseorang mangsa itu turut mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan