PKR dedah rakaman audio didakwa manipulasi undi pos Permatang Pauh

PETALING JAYA: PKR hari ini mendedahkan satu rakaman audio yang didakwa cubaan manipulasi atau penipuan menggunakan undi pos di Parlimen Permatang Pauh.

Rakaman itu didakwa merakamkan ucapan seorang pemimpin parti politik peringkat bahagian dalam satu program pemukiman baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata, rakaman tersebut dihantar kepadanya secara peribadi. Bagaimanapun Afif enggan mendedahkan identiti individu yang dirakamkan dan individu yang menghantar rakaman berkenaan.

“Kalau untuk rakaman audio ini saya suka untuk berkongsi dengan media selepas ini. Anda boleh semak dengan rakan anda di Pulau Pinang mereka boleh tahu siapa dalam rakaman berdasarkan audio.

“Saya tak boleh namakan individu (itu) sebab nanti dia akan jadi isu berbeza. Apa isunya ialah kandungan ucapan,” katanya pada sidang media bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di ibu pejabat parti itu hari ini.

Dalam sesi pendengaran rakaman pada sidang media tadi, rakaman itu menyebut tentang “pengundi-pengundi bonus” yang tidak boleh diceritakan kepada sesiapa pun.

Afif berkata dia boleh mengesyaki siapa yang berucap.

“Kalau ikut pergaulan saya dengan orang itu, saya tahu siapa yang bercakap tapi saya bukan pakar suara.

“Saya hanya menerima rakaman suara kecuali ada saksi dalam program berkenaan yang boleh tampil dan kita amat mengalu-alukannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis untuk memberi penjelasan mengenai dakwaan manipulasi menggunakan undi pos di Parlimen Permatang Pauh.
“Kami juga akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang penipuan seperti ini dalam pilihan raya yang mendatang,” katanya.

Mengulas isu itu, Izzah mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan mengenai perkara berkenaan.

“Desakan daripada pusat, jabatan pilihanraya PKR adalah supaya SPRM mentakrifkan kesalahan yang telah ditetapkan iaitu memasukkan kesalahan pilihanraya amalan yang menyalahi undang-undang.

“Sebagaimana dibawah takrif Akta Kesalahan Pilihanraya 1994 memberi kuasa kepada SPRM menyiasat kesemua kesalahan ini.

“Termasuk memasukkan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan sementara dan juga SPR bila berkait manipulasi sempadan kawasan dibawah kesalahan amalan rasuah. Skopnya harus diperluas,” tegasnya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan