12 individu angkat sumpah dilantik senator

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR Ismail Yusop antara 12 individu yang mengangkat sumpah sebagai Senator hari ini di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri SA Vigneswaran.

Pelantikan Ismail dan tiga lagi iaitu Anggota Jawatankuasa (AJK) DAP Perak Nga Hock Cheh, Setiausaha DAP Pulau Pinang Lum Hui Ying dan bekas Anggota Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dicadangkan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Lapan lagi diusulkan oleh kerajaan pusat iaitu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu Datuk Razali Idris, Ketua Bersatu Bahagian Gelang Patah Md Nasir Hashim dan AJK Parti Amanah Negara (Amanah) Pusat Raj Munni Sabu.

Turut dilantik kerajaan pusat ialah Pengerusi Parti Warisan Sabah Datuk Theodore Douglas Lind, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong, Pengarah Pendidikan DAP Sabah Adrian Banie Lasimbang serta Ketua Cabang PKR Bera Monalan Mohamad dan bekas Anggota Parlimen Lumut Mohamad Imran Abd Hamid.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa yang sebelum ini dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Senator hari ini ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu dalam ucapannya selepas majlis yang berlangsung pada 10 pagi tersebut, Vigneswaran mengingatkan Anggota Dewan Negara yang baru dilantik agar melaksanakan proses demokrasi berlandaskan keperibadian yang tinggi dengan pemikiran terbuka serta rasional.

“Menjadi harapan saya agar Yang Berhormat yang baharu mematuhi ikrar taat setia seperti mana yang dilafazkan sebentar tadi, terutama berkaitan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara yang menekankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keperibadian mulia yang menjadi amalan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Selanjutnya saya juga percaya bahawa Yang Berhormat pada pagi ini sebagai Anggota Dewan Negara akan membantu ke arah memperkasakan lagi imej Parlimen sebagai institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi di persada antarabangsa,” katanya. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan