Kerajaan PH pastikan agenda pembangunan awam diteruskan, kata Anwar

KLANG: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan agenda pembangunan awam diteruskan bagi membawa perubahan yang positif kepada negara, kata Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan baru ini juga akan terus bermuafakat supaya dasar yang baik dapat dilaksanakan.

“Keadaan dah berubah, permulaan baru. Kita kini ada tanggungjawab untuk betulkan kesalahan (kerajaan) yang lama.

“Kerajaan sekarang juga pada masa sama perlu memastikan tidak memiliki sifat kerajaan lama yang angkuh dan sombong,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran PPBM bahagian Klang di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Anggota Parlimen Klang Charles Santiago.
Mengenai kebimbangan rakyat terhadap Janji 100 hari PH yang gagal dilaksanakan sepenuhnya, Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR berkata: “Sesetengahnya mengambil masa 100 hari untuk dilaksanakan, sesetengahnya mengambil masa setahun dan sesetengahnya 5 tahun”.

Dalam pada itu, Mohamad berkata antara pencapaian besar kerajaan PH sepanjang 100 hari mentadbir negara adalah melantik Ahli Parlimen pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baru.

“Paling penting kita ubah struktur pemerintahan di mana pertama kali akaun dan perjalanan pentadbiran kerajaan hari ini akan diperiksa oleh pembangkang apabila Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik sebagai pengerusi PAC.

“Perkara kedua… antaranya ialah pengisytiharan harta menteri, perdana menteri, timbalan perdana menteri dan Ahli Parlimen kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bukan kepada perdana menteri seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan pentadbiran kerajaan PH akan melakukan yang terbaik bagi memulihkan keadaan ekonomi Malaysia sekali gus meletakkan negara di landasan yang betul.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan