PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mengkritik pandangan suram bekas
perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ekonomi negara sebagai
terburu-buru dan berpunca daripada perspektif yang sempit.
Terlalu awal untuk menjangka kesan dasar Pakatan Harapan (PH) ke atas
ekonomi, kata Dr Barjoyai Bardai, seorang profesor ekonomi di
Universiti Tun Razak.
Bagaimanapun katanya, kerajaan baru itu memang perlu mengetengahkan rancangan ekonomi yang jelas dan dasar yang meyakinkan.
Dalam temu bual baru-baru ini, Najib merujuk kepada
semakan menurun Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas unjuran pertumbuhan
negara dan mengaitkannya antara lain kepada pembatalan projek
infrastruktur yang “sangat diperlukan” dan pembayaran perlahan kepada
pembekal kerajaan.
Najib juga bercakap tentang peningkatan kadar eksport, pengaliran
keluar modal selepas pilihan raya 9 Mei dan “baki tunai yang banyak”
yang ditinggalkan oleh pentadbirannya di BNM, Petronas dan Khazanah
Nasional.
Barjoyai mengakui “kebenaran” beberapa kenyataan Najib itu, tetapi
menolak andaian bahawa projek mega akan sentiasa mnghasilkan pertumbuhan
mapan dan berkata, sesetengah projek itu juga mungkin tidak berdaya
maju.
“Itu model suntikan modal di mana projek mega menjadi pemangkin
pertumbuhan ekonomi,” katanya. “Strategi sama pernah digunakan Dr
Mahathir bagi menghadapi kemelesetan pada 1990-an dulu. Ia berguna
seketika untuk menggerakkan ekonomi, tetapi tidak boleh bertahan.”
Tentang aliran keluar modal, Barjoyai berkata, ia disebabkan
pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), dan turut memberi kesan ke atas
negara lain. “Ekonomi AS kini tumbuh pada kadar 4% setahun dan ini
menyebabkan ramai pelabur asing membawa masuk modal ke sana.”
Merujuk kepada baki tunai yang ditinggalkan oleh kerajaan BN dalam
beberapa institusi, beliau berkata, ia tidak bermakna terdapat dana yang
mencukupi untuk membiayai perbelanjaan semasa.
“Perlu diingat bahawa kita juga membaca laporan tentang
sekurang-kurangnya RM35 bilion wang bayaran balik cukai tidak
dikembalikan kepada rakyat,” katanya. “Itu jumlah wang yang besar,
selain pembayaran balik hutang 1MDB.”
“Selain itu, walaupun BNM, Petronas dan Khazanah dimiliki oleh
kerajaan, ia tidak boleh dilihat sebagai ATM Putrajaya. Rizab itu perlu
diuruskan oleh mereka sendiri.
Barjoyai berkata, kerajaan perlu merangsang keyakinan pelabur dengan
dasar yang jelas dan rancangan ekonomi untuk mengimbangkan pertumbuhan
dengan pengagihan, selain mengambil kira tentang kemungkinan berlakunya
kemelesetan ekonomi.
Ali Salman dari Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi berkata,
anggapan bahawa pertumbuhan janaan pembangunan infrastruktur sentiasa
baik untuk ekonomi adalah salah, terutamanya jika ia tidak dibuat
berdasarkan perkiraan ekonomi yang mantap dan “diselubungi misteri”
pula.
“Kita memerlukan dasar ekonomi yang memandang ke depan untuk
memberikan mesej kestabilan dan kebolehjangkaan kepada sektor
perniagaan,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan