PRK Balakong: Tempoh kempen panjang satu kelebihan


BANGI - Calon PH bagi PRK Dun Balakong Wong Siew Ki menyambut baik tempoh berkempen yang panjang dan akan memanfaatkannya untuk mengenali lebih mendalam hati dan jiwa pengundi di situ.

Walaupun sudah berkecimpung dalam politik setempat sejak beberapa tahun lalu, Wong yang bertanding  buat pertama kali berkata beliau perlukan lebih banyak masa untuk membolehkan masyarakat  mengenalinya  dan juga agenda yang dibawa.

“Bagi saya tempoh berkempen yang panjang ini satu kelebihan kerana akan membolehkan saya bertemu dengan seramai mungkin pengundi di Balakong.

“Kami juga berhasrat untuk berkunjung dari rumah ke rumah bagi bertemu penduduk dan memperkenalkan diri saya kepada mereka,” katanya selepas berjumpa dengan peniaga dan orang ramai di pasar basah Sungai Chua, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 21 hari bagi PRK Dun Balakong dan Dun Seri Setia yang diadakan serentak, iaitu tempoh berkempen terpanjang yang pernah ditetapkan oleh SPR setakat ini dengan hari pengundian pada 8 Sept.

Wong yang disertai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming serta Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai bersempena sambutan hari kebangsaan.

Wong turut memberi jaminan beliau akan meneruskan kerja dan aspirasi yang ditinggalkan  wakil rakyat  terdahulu mendiang Eddie Ng Tien Chee yang maut dalam nahas jalan raya pada 20 Julai lalu.

"Saya menerima tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan. Setiap tangan yang saya pegang sebentar tadi memang meletakkan harapan yang tinggi terhadap kita (PH)," katanya.

Katanya beliau akan memperkenalkan beberapa agenda baharu kepada penduduk termasuk rancangan memanfaatkan potensi Balakong yang kaya dengan budaya. - Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan