Cabaran getir, tanggungjawab besar AMANAH di Pantai Timur

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Huraian dan tafsiran terhadap keputusan PRU14 terus diperkatakan dengan penuh minat. Pelbagai sudut menarik dikupas. Ya, selepas 61 tahun, rakyat Malaysia dapat menghirup udara segar pembaharuan dan perubahan. Amalan demokrasi nampak subur menyerlah. Cabang-cabang kuasa mulai dihormati dengan baik.

Pilihan raya 9 Mei penuh debar dan getar itu bukan sahaja merakamkan revolusi senyap, tetapi juga mencetuskan kejutan demi kejutan. Bukan hanya regim Umno-BN tersungkur mudah, parti Islam Pas yang bertanding secara bersendirian, dan dijangka kecundang juga mencatat prestasi membanggakan di Pantai Timur dan Kedah.

Ahmad Lutfi Othman bersama pengulas politik DR MAZLAN ALI, berbicara panjang, dalam beberapa pertemuan berasingan, pada hujung Mei sehingga awal Ogos 2018, untuk berusaha agar lebih memahami fenomena yang berlaku dalam PRU14.

Dr Mazlan, pensyarah kanan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Beliau sering diundang sebagai panelis mengulas perkembangan politik semasa, antaranya di Astro Awani dan TV Bernama. Bidang kepakarannya, polisi awam, politik dan demokrasi.

Ternyata beliau arif tentang pergolakan di akar umbi, termasuk sensitiviti kelompok pengundi Melayu serta kerencaman politik parti Islam, Pas dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Skop analisisnya dalam temubual santai ini begitu luas tetapi tetap agak mendalam dan diharap dapat membantu kita memahami kompleksiti perkembangan siasah Malaysia Baharu.

Berikut adalah sedutan daripada sesi wawancara panjang itu. Interbiu penuh dapat dibaca dalam buku susunan Ahmad Lutfi, Revolusi Tanpa Darah, kini dalam proses pembikinan

AHMAD LUTFI: Jika Pakatan Harapan menang di peringkat persekutuan dan kebanyakan negeri itu dilihat sebagai satu kejutan, maka kemenangan Pas dengan selesa di Kelantan dan Terengganu, serta memperolehi banyak kerusi Dun di Kedah dan Pahang, juga satu kejutan besar. Ramai meramalkan Pas akan kalah teruk jika bertanding solo. Apa pandangan Dr?

DR MAZLAN: Ramai penganalisis dan pemerhati politik menjangkakan sebelumnya bahawa BN mungkin dapat mengekalkan kedudukannya sebagai pemerintah dengan majoriti mudah, malah sesetengahnya terutama penganalisis pro-BN mengatakan BN mungkin mampu mendapat kembali majoriti 2/3 yang hilang sejak PRU12 (2008) yang lalu.

Asasnya mudah, iaitu berlakunya pertandingan tiga penjuru. Keputusan PRK 2016 di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun 2016 dijadikan petunjuk bahawa BN akan mendapat laluan mudah disebabkan perpecahan undi pembangkang disebabkan kedegilan Pas untuk terus kekal sebagai gabungan kuasa ketiga (GS) yang tidak menyokong BN atau Pas.

Pertandingan tiga penjuru menjadikan Umno-BN memandang mudah cabaran PRU14, malah di sesetengah negeri seperti Terengganu dan Kelantan, BN melaungkan amaran akan merampas negeri Kelantan dan menyapu bersih kerusi-kerusi di Terengganu.

Keadaan lebih selesa bagi BN apabila persempadanan baru kawasan pilihan raya yang berjaya diluluskan di Parlimen telah memecahkan kerusi-kerusi campuran dijangka memberi kelebihan kepada BN.

Umum diketahui bahawa persempadanan baru ini adalah satu kaedah manipulasi (gerrymandering) yang sentiasa menjadi senjata BN untuk mencari kelebihan dalam pilihan raya.

Walaubagaimana pun, politik ini bersifat dinamik, dan ia boleh berubah sepantas beberapa jam sebelum pengundian.

Kelebihan yang dilihat berpihak kepada BN mula berubah. Selepas hari penamaan calon, PH mula mendapat momentum baru dengan kempen-kempen politik yang dipimpin oleh Dr Mahathir yang sangat berkesan di bandar dan luar bandar.

Isu-isu seperti 1MDB, GST, kenaikan kos hidup dan manifesto PH yang menarik dilihat berjaya menarik sokongan padu rakyat.

Selain dari kejutan PH yang menguasai kerusi-kerusi di Pantai Barat, Pas pula melakukan kejutan besar apabila mengekalkan negeri Kelantan dengan jumlah kerusi yang bertambah, menawan Terengganu dan memenangi banyak kerusi di Kedah dan Pahang.

Kejayaan luar dugaan Pas ini menunjukkan bahawa trend politik di negeri Pantai Timur dan kawasan-kawasan majoriti Melayu di Kedah dan Pahang mrnunjukkan bahawa isu agama dan kaum masih dominan dan sebagai sebuah parti yang berjuang Islam, Pas dilihat sebagai satu pilihan yang unggul bagi orang Melayu-Islam yang kecewa dengan Umno-BN.

Mereka melihat hanya Pas yang mampu membela Melayu Islam dan PH dilihat sebagai sebuah gabungan politik yang tidak memberi kelebihan kepada Melayu-Islam.

Selain itu, isu yang dibawa oleh Pas dan Umno bahawa mengundi PH bererti mengundi DAP berjaya mempengaruhi orang Melayu Pantai Timur, sebahagian Kedah dan Pahang yang berfikiran tradisional ini untuk menolak PH dan memilih Pas, meskipun ramai daripada mereka tinggal di Lembah Klang atau tempat luar dari negeri mereka.

Pemikiran unik dan berlatarbelakang tempatan ini mengekalkan pola pemikiran politik mereka seperti orang-orang tempatan di tempat asal mereka.

Selain itu, BN juga melakukan kesilapan besar antaranya dalam soal penentuan calon. Sifat BN sebagai sebuah parti yabg dikuasai warlord bahagian dan tempoh tiadanya pemilihan parti dalam parti Umno yang begitu lama menyebabkan calon-calon yang dipilih tidak menepati kriteria-kriteris yang dikehendaki rakyat berbanding Pas yang mengetengahkan calon-calon berkelayakan tinggi di negeri-negeri Pantai Timur ini.

BN Terengganu misalnya menampilkan enam calon lulusan SPM, seorang STPM, satu lulusan sekolah rendah dan tiga calon yg menggunakan kelulusan yang dipertikaikan.

Banyak jaguh Ummno tidak diberi peluang bertanding dan ini mencetuskan bantahan dan sabotaj (cah keting)

Faktor pengundi luar, majoritinya orang muda dan participants, marah dgn tindakan SPR dan taktik Najib mengadakan pengundian hari Rabu.

Strategi ini memakan diri kerana orang muda yang marah bertekad pulang dan janji PH jika menang akan jadikan Khamis dan Jumaat cuti kelepasan am mendorong participant ini pulang beramai-ramai untuk belasah Umno-BN.

Kajian saya tahun 2015 dapati, 75 peratus participants mengundi Pas dalam PRU tahun 2013.
Tindakan SPR ini benar-benar telah “menapis” di mana saya anggarkan 95 peratus pengundi luar yang pulang ini adalah anti-BN.

Kumpulan pengundi luar subjek dan parokial yg biasanya mengundi Umno tidak pulang kerana tidak mahu ambil risiko pulang kerana menyusahkan mereka.

Golongan ini hanya pulang jika dibiayai khusus oleh BN, tetapi tiadanya usaha membawa pulang mereka kerana keyakinan tinggi Umno bahawa mereka telah kuasai pengundi luar bandar akhirnya memakan diri.

Di Kelantan dan Terengganu, AMANAH diberi kepercayaan untuk menerajui PH. Namun ia bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi Dun dan Parlimen, malah ramai calonnya hilang deposit. Mengapa boleh terjadi sedemikian rupa?

AMANAH adalah sebuah parti politik Islam yang sangat baru dalam dunia politik demokrasi di Malaysia.

Kerangka, cita-cita dan hala tuju AMANAH walaupun nampaknya lebih maju dan terbuka daripada Pas, namun AMANAH masih belum mampu memecahkan doktrin politik Islam Pas yang kuat berakar umbi di dua negeri majoriti Melayu Pantai Timur ini.

Sejak sekian lama, orang Melayu Kelantan dan Terengganu hanya mengenali dua bentuk doktrin politik:

1. Doktrin politik Islam yang diterajui Pas.

2. Doktrin politik nasionalisme Melayu-Islam yang diterajui Umno.

Kedua-dua parti ini, Umno-Pas menjadi pesaing tradisi kedua-dua negeri ini sejak merdeka. Parti-parti serpihan lain seperti Islah, Hamim, Berjasa dan Semangat 46 telah lama berkubur dan tidak dapat menyaingi Umno dan Pas dalam pentas politik negeri-negeri Pantai Timur ini.

Walaupun saya menilai AMANAH tidak sama seperti parti-parti serpihan lalu, namun penerimaan masyarakat Melayu Kelantan dan Terengganu masih minima.

Amanah memerlukan masa yang lebih lama untuk bertapak di kedua-dua negeri ini dan dengan syarat, AMANAH mesti bekerja lebih keras pada masa akan datang untuk mengembangkan pengaruh melalui penubuhan cawangan-cawangan yang lebih banyak dan merekrut keahlian yang lebih ramai.

AMANAH dilihat sebuah parti yang sangat berpotensi di kawasan-kawasan bandar yang ramai pengundi-pengundi participant.

Ganerasi muda dan orang berpendidikan adalah pasaran berpotensi bagi AMANAH dan saya menjangkakan kedudukan AMANAH dan PH akan lebih diterima pada masa akan datang.
Di Parlimen Kota Bharu, Naib Presiden AMANAH, Haji Husam Musa walaupun tewas, tetapi undi yang diperolehi agak meyakinkan.

Ini menunjukkan ketokohan calon dan isu-isu yang dibawa oleh parti AMANAH diterima ramai oleh para pengundi di negeri ini.

Di Terengganu, kelihatan pengaruh AMANAH masih terhad, disebabkan pengaruh Haji Abdul Hadi Awang yang masih kuat, di samping sentimen sejarah takfiri yang berleluasa di negeri ini beberapa dekad lalu menyebabkan masyarakat agak takut untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada AMANAH

Dr sendiri membuat kajian khusus di Terengganu rasanya, boleh jelaskan sedikit bagaimana ia agak tersasar dengan keputusan sebenar PRU14.

Saya telah membuat beberapa kajian politik di Terengganu semenjak 2015 menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif.

Pada bulan Disember 2007, saya telah membentangkan satu simulasi PRU14 negeri Terengganu di Hotel Primula, Kuala Terengganu di atas jemputan bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dato Mohd Jidin Shafie.

Data perbentangan (Simulasi PRU14) di Kuala Terengganu itu yang kemudiannya mendapat liputan meluas media adalah berasaskan data yang dikutip pada bulan September 2017.
Saya mengatakan faktor calon dan perubahan-perubahan politik tidak diambil kira selepas tarikh itu (September 2017).

Politik ini dinamik, dan ia boleh berubah sepantas beberapa jam sebelum pengundian. Selepas hari penamaan calon, BN melakukan kesilapan besar, antaranya dalam soal penentuan calon.

BN telah menampilkan enam calon lulusan SPM, seorang STPM, satu lulusan sekolah rendah dan tiga calon yang menggunakan kelulusan yang dipertikaikan.

Banyak jaguh Umno tidak diberi peluang bertanding dan ini mencetuskan bantahan dan sabotaj atau cah keting dari kalangan penyokong dan pemimpin Umno Terengganu.

Faktor pengundi luar – majoritinya orang muda dan participants – yang marah dengan tindakan SPR, yang dibaca sebagai taktik Najib Razak, mengadakan pengundian hari Rabu juga memainkan peranan penting berlakunya perubahan pola pengundian di saat-saat akhir.

Strategi ini memakan diri kerana orang-orang muda yang marah bertekad pulang dan janji PH jika menang akan jadikan Khamis dan Jumaat cuti kelepasan am juga mendorong participant ini pulang beramai-ramai untuk membelasah Umno-BN.

Kajian saya pada tahun 2015 mendapati, 75 peratus golongan participants ini mengundi Pas dalam PRU tahun 2013.

Tindakan SPR ini benar-benar telah “menapis” pengundi luar di mana saya menganggarkan 95 peratus pengundi luar yang pulang itu adalah anti-BN.

Kumpulan pengundi luar subjek dan parokial yang biasanya mengundi Umno tidak pulang kerana tidak mahu ambil risiko pulang kerana menyusahkan mereka.

Golongan ini hanya akan pulang jika mereka dibiayai khusus oleh BN. Namun tiada usaha dilakukan untuk membawa mereka pulang mengundi.

Ini disebabkan keyakinan tinggi Umno bahawa mereka mempunyai kelebihan berbanding Pas dan PH kerana yakin telah menguasai pengundi luar bandar dan kepercayaan ini akhirnya telah memakan diri.

Keputusan PRU14 di Pantai Timur benar-benar di luar jangka para penganalisis kerana keputusan pengundian sangat ditentukan oleh faktor-faktor perubuhan di saat-saat akhir dan ada yang berlaku dalam tempoh 48 jam dari waktu pengundian sebenar.

Kajian Invoke oleh Rafizi Ramli yang dikeluarkan pada bulan Mav 2018 juga sama dengan dapatan kajian saya pada bulan September 2017. Malah Invoke mengatakan Pas bakal mendapat “telur” (kosong) kerusi di semua lapan kawasan Parlimen dan 32 Dun seluruh Terengganu.

Kajian saya pula merumuskan bahawa Pas hanya mampu menang di dua kawasan Dun iaitu Sura dan Paka. Jika pada bulan Mac 2018 pun Invoke tidak dapat mengesan perubahan pola pengundian di Terengganu pada 9 Mei 2018, inikan pula data saya yang lebih awal iaitu bulan September 2017.

Namun di luar Kelantan dan Terengganu, AMANAH dilihat mencatat prestasi membanggakan. Adunnya di Melaka dilantik ketua menteri, manakala di Johor dan Perak, hampir menjadi menteri besar. Hampir semua ahli Parlimennya dipilih anggota pentadbiran kerajaan, menteri dan timbalan menteri. Secara menyeluruh bagaimana Dr menilai pencapaian Amanah dalam PRU14.


Pola pemikiran dan pemilihan politik masyarakat di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung berbeza dengan masyarakat Pantai Timur. Masyarakat di luar Pantai Timur berfikiran lebih terbuka disebabkan banyak faktor atau pemboleh ubah di kawasan ini berbanding di Pantai Timur.

Faktor kepelbagaian budaya dan komposisi kaum di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung telah membuka ruang interaksi yang lebih meluas. Ini secara tidak langsung telah menyemai sifat toleransi antara kaum seperti permuafakatan, kerjasama dan perasaan saling menghormati antara satu sama lain.
Perbezaan budaya dan agama tidak menghalang mereka yang pelbagai kaum bekerjasama dan berkongsi idea-idea politik yang lebih terbuka. Iklim politik sebegini sangat sesuai untuk parti-parti politik bukan perkauman seperti PKR dan AMANAH yang menjadi antara tunjang dalam PH.
Justeru AMANAH, sebagai parti politik Islam yang lebih terbuka dan progresif telah mendapat sokongan padu dari pelbagai kaum berbanding parti-parti berasaskan perkauman dan agama seperti Umno dan Pas.

Situasi keterbukaan ini kurang menonjol di negeri-negeri Pantai Timur disebabkan masyarakat Melayu membentuk hampir 95 peratus daripada penduduknya. Justeru, kurangnya dinamik sosio-politik di kawasan ini, masyarakat Pantai Timur menjadi lebih bersifat kedaerahan dan konservatif.

Dengan itu, isu-isu agama dan kaum masih menjadi ciri-ciri penting dan Umno serta Pas dilihat sebagai parti politik yang lebih diterima oleh kelompok majoriti masyarakat yang masih kuat berpegang kepada ciri-ciri tradisi tempatan.

Idea politik AMANAH yang lebih progresif ditafsirkan sebagai “liberal” dan kempen-kempen yang dijalankan oleh Umno dan Pas bahawa mengundi AMANAH dan PH bererti mengundi DAP dan liberal tampaknya benar-benar berkesan dalam usaha merebut undi rakyat Pantai Timur.

Di Pantai Barat, dinamik masyarakat yang berfikiran terbuka dan peka dengan isu-isu semasa telah menyokong perjuangan AMANAH dan PH yang dilihat sebagai entiti politik alternatif yang berusaha membasmi amalan rasuah, penyelewengan dan kegagalan polisi BN.

Pada kacamata majoriti pengundi Pantai Barat, BN adalah kerajaan kleptokrat manakala Pas tidak lebih sebagai sebuah parti politik yang hanya menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

Dengan pelbagai cabaran getir AMANAH di Kelantan dan Terengganu, bagaimana ia harus memposisikan dirinya sehingga dapat diterima untuk menggantikan Pas?

AMANAH sehingga kini berdepan cabaran getir untuk memposisikan kedudukannya dalam pentas politik di Kelantan dan Terengganu disebabkan struktur masyarakat kedua-dua negeri Pantai Timur ini yang masih di garis paling tradisional di antara negeri-negeri Melayu di Malaysia. Masyarakat kedua-dua negeri ini sangat sinonim dengan budaya dan adat resam tempatan yang sangat dipengaruhi oleh agama dan nilai-nilai setempat.

Faktor kurangnya pengaruh luar disebabkan penduduknya bermajoriti Melayu lebih daripada 95 peratus menyebabkan masyarakat kurang bersikap terbuka dan cenderung mempertahankan pemikiran dan pegangan yang lama.

Oleh kerana Umno dan Pas sudah berakar umbi begitu lama di kedua-dua negeri ini, justeru pemikiran politik masyarakat Pantai Timur hanya mempunyai dua garis iaitu:

1. Garis politik berasaskan semangat nasionalisme yang diterajuu Umno, dan;

2. Garis politik Islam yang diterajui Pas.

Usia AMANAH yang masih baru juga menjadi faktor kekangan kepada parti ini untuk bertapak kerana halangan utama pada masa ini adalah masalah kekurangan tenaga manusia terutama dari segi kepimpinan dan jentera parti.

Dua elemen ini iaitu kepimpinan yang dinamik dan kekuatan jentera parti adalah faktor yang sangat penting untuk mengukuh dan melebarkan pengaruh parti. AMANAH memerlukan lebih ramai pemimpin berlatarbelakangkan agama seperti Nik Omar Nik Aziz untuk menyaingi pengaruh Pas yang begutu kukuh di peringkat akar umbi masyarakat di Pantai Timur.

Pas adalah sebuah parti yang sudah berjaya mendoktrinkan bahawa Pas adalah Islam dan Islam adalah Pas. Doktrin ini sudah sebati, dan masyarakat takut untuk menyatakan sokongan terhadap AMANAH secara terbuka kerana bimbang akan dipulaukan oleh masyarakat yang dikuasai Pas dalam isu kenduri-kendara, khairat kematian dan bantuan sosial.

Menyokong AMANAH bererti mereka merisikokan kehidupan mereka, dan ini menakutkan masyarakat kecuali bagi orang-orang yang memang nekad atau komited untuk menyokong AMANAH.

Selain dari melahirkan pemimpin-pemimpin yang berlatarbelakangkan agama untuk mengimbangi pengaruh Pas, AMANAH juga perlu merekrut lebih ramai jentera parti dan lebih kerap turun padang untuk bertemu dengan rakyat.

Ini sangat penting untuk memperkenalkan AMANAH kepada masyarakat akar umbi di Pantai Timur yang sesetengahnya tidak tahu tentang kewujudan parti AMANAH
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan