Kes Guan Eng tak jejas peluang PH di Seri Setia


PETALING JAYA - Calon PH bagi PRK Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar yakin sokongan pengundi di Dun itu tidak akan berubah terhadap parti diwakilinya.

Beliau berkata, setakat ini tidak wujud sebarang persepsi atau cerita buruk dalam kalangan pengundi mengenai perkara yang berlaku melibatkan kerajaan PH ketika ini.

Halimey berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Georgetown semalam yang membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

"Ini adalah kes mahkamah dan mahkamah sudah menentukannya. Saya merasakan perkara ini tidak memberi kesan kepada pengundi (Dun Seri Setia)," katanya dalam sidang media hariannya, di sini hari ini.

Bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon Pas Dr Halimah Ali pada PRK itu Sabtu ini, yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi Dun berkenaan, Prof Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Mengenai tempoh berkempen yang memasuki hari ke-18, Halimey memberi jaminan akan memastikan setiap pusat jagaan dan taska di Dun Seri Setia berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.

"Saya amat prihatin dengan beberapa kes penderaan sehingga membawa kepada kematian yang dilaporkan kebelakangan ini melibatkan petugas dan taska yang tidak berdaftar serta berkemahiran.

"Sehubungan itu, saya bercadang melaksanakan pemantauan dan menubuhkan pangkalan data serta audit untuk memastikan semua taska (di Dun Seri Setia) mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya. - Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan