Hujung minggu lalu, rakyat menyaksikan peristiwa-peristiwa yang membawa makna penting bagi masa depan negara.
Pada Jumaat, 31 Ogos ialah sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di Putrajaya yang buat pertama kalinya, barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berdiri di atas pentas.
Di akhir acara itu, kelihatan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalam dengan Dr Mahathir.
Pada sebelah petang, perdana menteri mengunjungi Galeri Ilham untuk melihat pameran lukisan Latiff Mohidin, Pago-pago. Galeri Ilham terletak di Menara Ilham, kedua-duanya milik Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin. Mesyuarat CEP diadakan di bangunan itu.
Keesokannya, Sabtu, 1 September, perdana menteri berada di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA).
Anwar pula menyampaikan ucapan penggulungan dan penutup kongres. Menurut beliau, disebabkan tidak memegang sebarang jawatan kerajaan dan bukan juga seorang ahli Parlimen, kehadirannya hanya sebagai penyokong kerajaan PH, tetapi Anwar adalah ketua umum PH dan baru memenangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding.
Kongres itu dimudahcarakan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, timbalan presiden PKR yang sedang dicabar Rafizi Ramli dalam pemilihan partinya. Pengundian akan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober ini.
Para peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai bidang kerjaya Bumiputera, bukan saja ekonomi, tetapi juga politik, ahli akademik, malah sasterawan.
Bukan saja orang Melayu, tetapi Bumiputera Sarawak dan Sabah turut hadir. Mereka juga bukan saja dari kalangan penyokong parti-parti Bumiputera dalam PH, iaitu PKR, PPBM dan Amanah, tetapi juga dari pembangkang serta yang tidak berparti.
Keesokannya, Ahad, 2 September, perdana menteri berlepas untuk lawatan rasmi ke Brunei.
Kepentingan Brunei terhadap kerajaan PH dapat dilihat apabila Sultan Brunei adalah pemimpin luar negara pertama yang bertemu Dr Mahathir, sebaik saja PH memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
Kedudukan Brunei sebagai negara yang bersempadan dengan Sarawak dan Sabah merupakan kepentingan besar dalam hubungan 2 kedua negara.
Itu belum lagi dikira hubungan sejarah kedua-dua negara, yang mana dalam detik-detik cadangan gagasan Malaysia, Brunei pada mulanya adalah salah sebuah wilayah yang dirancang untuk disertakan ke dalam persekutuan bersama Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.
Sambutan Hari Malaysia ke-55 dijadualkan diadakan di Kota Kinabalu yang akan turut dihadiri Dr Mahathir. Ia juga bermakna bagi PH kerana kerajaan negeri diperintah Parti Warisan Sabah yang merupakan sekutunya.
Semasa Kongres Masa Depan Bumiputera, perdana menteri menegaskan kerajaan PH tidak membezakan dasar-dasarnya antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah, umpamanya gaji minimum Sarawak dan Sabah akan serupa dengan apa yang ditetapkan untuk Semenanjung Malaysia.
Perdana menteri juga menyatakan seboleh-bolehnya kerajaan PH akan menepati semua 10 perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963. Beliau menyebut bukan saja terdapat menteri dari Sarawak dan Sabah dalam Kabinet, tetapi mereka lantang menyuarakan kepentingan 2 negeri itu.
Kesaksamaan Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung Malaysia merupakan sebahagian daripada hala tuju bagi kerajaan PH.
Maka, apa yang disebut sebagai Bumiputera tidaklah secara automatik hanya merujuk kepada orang Melayu, tetapi juga suku kaum lain, termasuklah Iban di Sarawak dan Kadazan di Sabah.
Semasa sesi dialog itu, Dr Mahathir menyebut orang Melayu mesti menjalankan perniagaannya sendiri dan tidak menjual kontrak, tender atau permit untuk mendapat keuntungan secara pintas.
Kerajaan PH akan meneruskan dasar-dasar yang membantu perniagaan Bumiputera, tetapi ahli perniagaan Bumiputera perlu bersifat amanah apabila memperoleh peluang.
Beliau mengingatkan Bumiputera jika tidak dapat bersaing dari segi kemampuan ekonomi, maka akhirnya mereka akan berundur ke pinggiran dan pedalaman.
Untuk maju, industri pembuatan dan pengeluaran barangan perlu mendapatkan keuntungan. Dengan merujuk cadangannya mengenai projek kereta nasional ke-3, beliau berkata, ia adalah cara negara memiliki industri yang boleh memberikan pekerjaan dan pendapatan. Semasa permulaannya, industri pula perlu dilindungi.
Mengenai Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang pada awalnya dicadangkan dipecahkan di bawah pelbagai kementerian kerana ia terlalu besar.
Perdana menteri berkata, kerajaan kini berhasrat mengekalkannya sebagai satu agensi, tetapi ia akan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Asalnya, Mara adalah Lembaga Pembangunan Industri Desa atau Rida.
Kesemua ucapan dan jawapan Dr Mahathir dalam sesi dialog menunjukkan hala tuju kerajaan PH berhubung dasar mengenai ekonomi Bumiputera.
Maknanya, usaha untuk membantu Bumiputera akan diteruskan, tetapi bezanya dengan kerajaan dahulu ialah kali ini ia hendak dipastikan tidak berlaku ketirisan, penyelewengan dan juga perniagaan Ali Baba.
Dr Mahathir, Anwar dan Azmin adalah bekas ahli Umno dan faham keperluan ekonomi Bumiputera, tetapi pada masa sama, mereka mengetahui kelemahan kerajaan dahulu berhubung polisi ekonomi Bumiputera kerajaan dahulu yang menyebabkan berlaku banyak penyelewengan yang akhirnya membawa kepada kemarahan rakyat.
Tetapi, PPBM dan PKR bukannya Umno, seperti mana PH tidak serupa dengan Barisan Nasional (BN). PH ada Amanah dan DAP yang tidak pernah mempunyai kaitan dengan Umno. Fahaman Amanah dan DAP terhadap Bumiputera juga adalah berbeza.
Sebab itu Anwar dalam penggulungannya menyebut kalau orang Melayu bimbang terhadap kepentingan mereka dalam PH ini, orang bukan Melayu pula bimmbang apa yang dilakukan BN berhubung Bumiputera akan diteruskan. Jadi, mereka tidak dapat merasakan perbezaan antara 2 gabungan parti itu.
Anwar menegaskan kesaksamaan semua kaum di negara ini. Beliau menyebut kepentingan pertumbuhan ekonomi supaya kekayaan dapat diagihkan dengan luas, lebih-lebih lagi untuk membantu golongan susah.
Beliau memberi contoh ketika banyak tanah dibina bangunan-bangunan tinggi, tempat bagi golongan peniaga kecil hendak berniaga semakin berkurangan.
Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara itu berbeza dengan perbincangan semasa BN berkuasa. Apa yang dinyatakan Dr Mahathir dan Anwar memperjelaskan hala tuju kerajaan PH, sekaligus meredakan kebimbangan sebahagian masyarakat Melayu.
Azmin akan menterjemahkan resolusi kongres itu untuk pelaksanaan kementeriannya. Beliau menyebut kemunculan Bumiputera baru, tetapi cabaran besar adalah pelaksanaannya apabila kerajaan memperkenalkan program berkaitan kelak.
Jika orang Melayu masih meneruskan tingkah laku sama seperti sebelum ini, apa saja usaha kerajaan PH akan menemui jalan buntu juga.
Perubahan kerajaan harus diiringi anjakan mentaliti dan tingkah laku. Perbuatan mesti selari dengan apa yang diucapkan, barulah “kemerdekaan kedua” seperti dinyatakan Dr Mahathir berjaya diisi.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
0 comments:
Catat Ulasan