Jabatan Peguam Negara: Tuduhan rasuah Guan Eng gugur kerana bukti baru

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tommy Thomas tidak campur tangan dalam keputusan tidak meneruskan pendakwaan rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, sebaliknya ia dibuat Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Hanafiah dalam kenyataan hari ini berkata, jelas dinyatakan dalam kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan 2 Ogos lalu oleh Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek dan Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be Loth Khan yang Thomas sudah menarik diri daripada semua perbincangan berkaitan kes itu.

Oleh itu, Hanafiah berkata, beliau bertanggungjawab membuat keputusan terhadap representasi yang dikemukakan Lim dan Phang, memandangkan beliau tidak terlibat dalam apa cara sekali pun dalam kes itu sebelum ini.

“Justeru, saya boleh mempertimbangkan perkara itu dalam perspektif baru dan setelah diserahkan tanggungjawab itu, saya meneliti keterangan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukti yang dikemukakan dan telah diuji, dan hasil daripada soal balas ke atas saksi pendakwa setakat ini, bukti yang menyokong pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan telah dilemahkan secara substantif.
“Kesimpulan itu diperoleh berdasarkan keterangan baru hasil daripada pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan.

“Selepas membuat kesimpulan itu, saya berpendapat saya tidak akan dapat menunaikan tanggungjawab saya sebagai timbalan pendakwa raya untuk membiarkan kes ini diteruskan selepas mengetahui kes terhadap Lim dan Phang tidak akan berjaya di akhir kes pendakwaan.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mengemukakan ‘nolle prosequi’ (memberhentikan pendakwaan) terhadap kedua-duanya, Lim dan Phang, mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah (CPC),” katanya.

Hanafiah menjelaskan pada 7.18 pagi semalam, beliau menyampaikan keputusannya itu kepada Datuk Masri Mohd Daud yang juga pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan SPRM yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Katanya, walaupun pihak pendakwaan memohon perintah pelepasan tanpa pembebasan, mahkamah mengeluarkan perintah untuk melepas dan membebaskan mereka berikutan permohonan peguam bela Lim dan Phang mengikut Seksyen 254(3) Kanun Keseksaan.

“Saya ingin mengulangi tindakan untuk mengemukakan ‘nolle prosequi’ bukanlah satu perkara pelik. Tindakan itu telah diamalkan dalam banyak kes selepas menerima permohonan peguam dan selepas ditemui bukti baru atau bukti-bukti dilemahkan semasa pemeriksaan balas.

“Sama halnya dalam kes Lim dan Phang, terdapat keterangan baru yang tidak diambil kira sebelum ini. Perlu ditegaskan bahawa keputusan sama ada meneruskan pendakwaan atau memberhentikannya adalah prerogatif dan kuasa pendakwa raya.

“Dalam kes ini, saya merahsiakan keputusan saya sehingga saat akhir dan tidak membincangkannya dengan agensi penyiasat kerana bimbang rahsia itu mungkin bocor dan menyebabkan kebimbangan tidak wajar.

“Malah, saya merahsiakannya sehinggakan saya baru sahaja memaklumkan keputusan saya itu kepada peguam negara pada 9.44 pagi semalam.”

Katanya, beliau juga ingin menegaskan keputusan itu dibuat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Hanafiah menambah, beliau menerima sepucuk surat daripada firma guaman yang mewakili pengadu dalam kes itu, yang membantah apa-apa fikiran untuk menarik balik pendakwaan dalam kes Lim dan Phang itu.

“Saya telah menjawab surat itu saya akan membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang ada dan mengikut apa yang diperuntukkan undang-undang, dan itulah yang saya lakukan tanpa takut atau berpihak. Keutamaan saya adalah keadilan.”

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail Hakim melepas dan membebaskan 2 tertuduh berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang.

Hadhariah berkata, beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan, bermakna pihak pendakwaan boleh meneruskan pertuduhan sama terhadap tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu ketua menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town, di sini, pada 18 Julai 2014.

Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga 5 kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim juga menghadapi pertuduhan ke-2, iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta yang beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah ketika itu, iaitu RM4.27 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang pula didakwa bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga di bawah nilai sebenar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan