Mencari - Cari Calon 'Winnable'PH UNtuk Dun Rantau Negeri Sembilan

Oleh HAYAR HASSAN

Seusai Pilihanraya Umum(PRU) 14, politik Malaysia telah menyaksikan empat Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) di Selangor dan dua PRK Parlimen. PRK Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan telah dimenangi oleh Pakatan Harapan. PRK Parlimen Cameron Highland ,Pahang pula dimenangi oleh calon BN.

Kecuali PRK DUN Semenyih, kalau kita amati, kerusi-kerusi tersebut telah dimenangi oleh calon-calon parti penyandang. Tiada kejutan besar. Yang berbeza, cuma orang-orang yang memenangi nya sahaja.

Terakhir, tetapi mengejutkan, PRK DUN Semenyih, Selangor telah dimenangi oleh Barisan Nasional(BN). Penyandang kerusi tersebut selepas PRU 14 adalah calon PPBM yang mewakili Pakatan Harapan(PH). Ini yang mengejutkan serta cukup menghairankan dan ramai pihak memberikan sebab musabab kenapa PH tewas di PRK DUN Semenyih dan PRK Parlimen Cameron Highland.

Namun demikian , kemenangan calon BN pada PRK Parlimen Cameron Highland adalah suatu yang cukup menarik untuk diperhalusi. Bagi saya, kemenangan BN di PRK Parlimen Cameron Highland adalah disebabkan oleh dua faktor utama.

Faktor utama adalah calon BN itu sendiri. Keberanian pimpinan baru UMNO/BN menukar calon mereka daripada daripada seorang ahli MIC kepada seorang pesara pegawai polis berketurunan Orang Asal(Orang Asli) dan beragama Islam adalah ternyata tepat. Dikhabarkan Ahli Parlimen baru Cameron Highland Yang Berhormat(YB) Ramli Mohd Nor bukan pun seorang aktivis tegar UMNO. Namun demikian perlu diingat bahawa Parlimen Cameron Highland mempunyai sekitar 54 % pengundi Melayu/Islam !

Keberanian dan kebijaksanaan Dato’ Mohammad Hassan(DMH), Timbalan Presiden UMNO yang sedang menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO dan seterusnya Ketua Barisan Nasional(BN) meletakkan calon BN yang beragama Islam dan berketurunan orang Asal@Asli adalah suatu langkah strategik yang menghasilkan kemenangan kepada BN dengan majoritlei yang lebih besar jika dibandingkan dengan PRU 14.

Berlainan pula dengan Pakatan Harapan(PH), calon yang diletakkan adalah berbangsa India yang telah kalah dalam PRU 14 yang lalu di Parlimen Cameron Highland. Perlu diketahui bahawa pengundi India adalah hanya sekitar 20 % sahaja.

Sebab kedua kekalahan calon PH di PRK Cameron Highland adalah kerana sentimen pengundi Melayu/ Islam yang amat terguris atas kematian anggota Bomba, Mohammad Adib di trajedi rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nobember 2018. Jelasnya pemilihan calon PH daripada DAP yang beragama Hindu sukar diterima oleh pengundi-pengundi Melayu/Islam ! Ini adalah suatu kredit untuk kepimpinan DMH.

Secara kebetulan juga, selepas ini akan diadakan pula Pilihan Raya Kecil(PRK) DUN Rantau. Dikhabarkan calon UMNO/BN adalah DMH sendiri. Kemenangan tanpa bertanding DMH dalam PRU 14 lalu telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Dikhabarkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) telah menetapkan bahawa hari penamaan calon adalah 30 Mac 2019. Hari pembuangan undi pula adalah 14 April 2019.

Persoalan besar yang menjadi tajuk hangat semasa kepada penyokong-penyokong PH adalah, “ Mampukah PKR menampilkan calon hebat PH yang boleh memberikan kemenangan , setelah kekalahan di PRK Cameron Highland dan PRK Semenyih ?”

Ternyata Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) sebagai Presiden PKR mempunyai tugas yang amat berat dalam memberi kata putus terhadap pemilihan calon PH untuk PRK Rantau ini.

PKR sendiri telah memaklumkan bahawa mereka mempunyai berbelas-belas ahli-ahli PKR yang merupakan anak tempatan yang layak dan mampu membawa kemenangan kepada PH.

 Calon PKR/PH yang digagalkan untuk bertanding dalam PRU 14 dulu, Dr S Streram telah membayangkan bahawa dia bersedia untuk TIDAK dipilih semula sebagai calon dalam PRK ini.

Beliau memberikan sepenoh kebebasan dan kepercayaan kepada pucuk pimpinan PKR dalam membuat keputusan. Beliau akan akur kepada sebarang keputusan pucuk pimpinan PKR.

Terdapat suatu analisa yang cukup menarik yang telah dibuat oleh seorang penulis yang perlu diketahui oleh pucuk pimpinan PKR dalam soal memilih calon untuk PRK Rantau ini.
Penulis berkaitan telah memaklumkan bahawa dalam PRU 14 lalu, untuk pertandingan kerusi Parlimen Rembau dimana DUN Rantau adalah merupakan satu daripada DUN-DUN nya, BN telah kalah !

Ini bermaksud, PH masih mempunyai peluang yang amat cerah untuk memenangi PRK DUN Rantau ini. Diharapkan dapatan daripada analisa penulis tersebut benar-benar menjadi kenyataan.

Pastinya PKR yang telah begitu lama berada dalam kancah politik Malaysia mempunyai jentera pilihan raya yang mantap, tersusun rapi dan mempunyai strategi-strategi yang ampoh untuk menempa suatu kemenangan yang cukup diidamkan oleh penyokong-penyokong PH.

Kredibiliti DSAI sebagai Presiden baru PKR dan bakal Perdana Menteri Malaysia ke 8 pastinya akan dipersoalkan seandainya PH kalah lagi dalam PRK DUN Rantau ini ! Kekalahan ke 3 dalam siri-siri PRK amat sukar untuk diterima oleh penyokong-penyokong PH.

Semoga PKR/PH tidak silap lagi dalam memilih calonnya untuk PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan ini. Kemenangan PH dalam PRK DUN Rantau ini akan memudahkan lagi langkah-langkah DSAI ke pejabat Perdana Menteri Malaysia ke 8.


















Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan