“KAMI sangat kecewa dengan perbuatan itu seolah-olah mereka lebih
berkuasa daripada polis,” kata Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan,
Datuk Mohamad Mat Yusop berhubung tindakan lima penyokong sebuah parti
yang memeriksa kereta peronda polis (MPV) di hadapan Sekolah Rendah
Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hua, Rantau semalam.
Beliau berkata,
insiden pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Rantau itu pertama kali berlaku dalam negara apabila orang awam
memeriksa kenderaan polis.
“Mereka
sangat melampau, mencabar tugas kami dan memalukan. Tuduhan kami
membawa lebihan kertas undi tidak betul kerana polis sangat
profesional,” katanya.
Dalam
kejadian 6 petang itu katanya, dua anggota MPV mengikuti sebuah
kenderaan lain bagi membawa kertas undi ke pusat penjumlahan di sekolah
terbabit.
Menurutnya, MPV itu tidak memasuki sekolah sebaliknya berhenti di luar pagar bagi mengawal keadaan lalu-lintas dan keselamatan.
“Datang
lima lelaki mendakwa anggota kami membawa lebihan kertas undi. Apa hak
mereka untuk memeriksa MPV polis kerana mereka orang awam,” katanya pada
sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.
Hadir
sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli
Ishak dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan
Ahmad Jamaluddin.
Menurutnya, dua anggotanya sepatutnya tidak membenarkan pemeriksaan namun bagi mengelak berlaku kekecohan mereka membenarkan.
“Apabila dibuka bonet kereta, hanya peti ubat dan keselamatan yang ada. Kami harap tindakan itu memuaskan hati mereka,” katanya.
Beliau
berkata, anggotanya terpaksa berbuat demikian bagi mengelak kejadian
kereta polis diterbalikkan seperti berlaku di Dataran Merdeka, Kuala
Lumpur sebelum ini.
“Saya tegaskan polis hanya mengiringi
kenderaan lain, bukan bawa lebihan kertas undi. Polis juga tidak dapat
melakukan tangkapan kerana jumlah penyokong mereka begitu ramai,”
katanya.
Mohamad berkata, laporan polis sudah dibuat anggotanya
hari ini dan lima lelaki berusia 30 hingga 50 tahun sedang diburu
mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Mereka sudah dikenal pasti
dan akan ditangkap. Walaupun lima lelaki itu ahli parti daripada
kerajaan memerintah, undang-undang tetap dilaksanakan,” katanya.
Katanya, polis sangat profesional biarpun banyak tuduhan dilemparkan termasuk dikatakan bersubahat.
“Polis
ikut undang-undang, kawal keselamatan dan raikan demokrasi bersih.
Lihatlah PRK ini, jumlah pengundian tertinggi iaitu 79.3 peratus
berbanding enam PRK yang lain,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan