Streram bukan punca PH kalah di Rantau, kata Zuraida

AMPANG: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata, Dr S Streram bukan punca yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Sebaliknya kata beliau, PH tewas kerana rakyat masih berada dalam keadaan “kejutan budaya” berikutan kemenangan PH dalam pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas.

“Pemindahan kuasa belum selesai dan kerajaan PH berdepan dengan banyak PRK. Ini (Rantau) adalah PRK ke-7 dalam tempoh 1 tahun.

“Dan ke-8 akan datang,” katanya merujuk kepada PRK Sandakan yang dijadualkan pada 11 Mei depan.
Zuraida bercakap kepada pemberita selepas melancarkan satu program gotong royong bagi menghapusakan ancaman demam dengue di kawasan Parlimen beliau di sini.

Beliau disoal sama ada Streram, yang merupakan calon PH di situ, merupakan sebab bagi kegagalan parti kerajaan tersebut merampas Rantau daripada Barisan Nasional (BN).

Zuraida sebelum ini membantah keputusan PKR untuk meletakkan Streram sebagai calon, sebaliknya mahukan seorang calon wanita kerana tidak ada wanita yang bertanding mewakili PH di Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau buat kali ke-5 dalam PRK itu yang diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihanraya membatalkan kemenangan beliau di kerusi berkenaan sebelum ini.

Beliau mendapat 10,397 undi, berbanding Streram yang meraih 5,887 undi. Calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin masing-masing mendapat 83 dan 79 undi.

Pada 28 April tahun lepas, Mohamad menang tidak bertanding di situ selepas Streram tidak dibenar masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak mempunyai pas masuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Zuraida berkata, senario PH kalah pilihan raya itu hanyalah “sementara”.

“Berikan sedikit masa sehingga keadaan politik dan Kabinet lebih stabil.

“Rakyat akan dapat lihat perubahan yang dilaksanakan dengan lebih jelas,” katanya dengan menambah bahawa beliau percaya PH dapat bertahan dalam pilihan raya umum ke-15 akan datang.

PH memenangi 4 daripada 7 PRK yang diadakan selepas pilihan raya umum Mei tahun lepas, dengan BN menang 3 daripadanya.

PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan kerusi Parlimen Port Dickson.

BN pula menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih dan Rantau.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan