PAS-Umno akan berkerjasama hingga kiamat

PAS tidak menetapkan tempoh masa bagi kerjasama politik dengan Umno dan kedua-dua parti tidak membuat perjanjian untuk kerjasama itu, kata ahli jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Aziz.

Namun anak kepada bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat itu berharap kerjasama itu berpanjangan dan bukan hanya sehingga Pilihan Raya Umum ke 15.

“Sebab itu saya kata biarlah sampai kiamat,” kata Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Bachok dalam satu wawancara

Kerjasama itu terbentuk secara rasmi apabila kedua-dua parti membentuk jawatankuasa teknikal bagi membincangkan hala tuju dan strategi hubungan politik mereka pada bulan lalu.

Bagaimanapun, ia hanyalah kerjasama politik bagi meraih sokongan rakyat bagi menumbangkan Pakatan Harapan dan kedua-dua parti tidak akan bergabung, tegas Nik Abduh.

Parti itu masih bimbang Umno akan melakukan pembelotan sekali lagi seperti yang berlaku dalam dekad 70-an.

Malah tinjauan The Malaysian Insight ke lubuk sokongan parti itu di Kelantan pada bulan lalu menunjukkan akar umbi parti tersebut masih was-was dengan kerjasama tersebut.

Mengulas lanjut, bekas ketua Pemuda PAS itu berkata, PAS tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan kerjasama baharu ini sekiranya berlaku pembelotan sekali lagi.

“Kalau kita nak keluar itu mudah, sebab kita tak ikat kemas (kerjasama). Kalau pecah sekarang lagi senang kita keluar.”

Menyentuh mengenai penerimaan akar umbi pula, beliau mengakui bukan mudah untuk menjelaskan kerjasama itu pada awalnya namun kini ahli PAS menerima perkara itu dengan positif.

“Memang akar umbi ada banyak bertanya sebelum PRU14 dan apatah lagi selepas PRU 14.

“Yang serius bertanya Terengganu dan Kelantan, tapi itu kita dah selesai saya tak kata seratus peratus tapi semakin hari mereka faham apa tujuan PAS,” katanya.

Menurut beliau, ahli akar umbi di kedua-dua negeri itu kritikal terhadap kerjasama tersebut pada peringkat awal kerana merasakan mereka tidak memerlukan Umno.

Namun jika dulu ahli PAS dan Umno bermusuh sehingga tidak boleh duduk semeja, kini sikap itu semakin terhakis, katanya.

“Semakin positif, bahkan hubungan baik itu melebih-lebih pula dari pemimpin. Mereka gembira sebab kampung semakin besar.

“Dulu kalau kata (sesebuah kampung) ada 100 buah rumah tapi diasingkan, 50 rumah parti itu 50 rumah pengikut PAS, tapi sekarang tak berlaku,” katanya.

Beliau berkata di peringkat awal usaha kerjasama itu, PAS mempergandakan usaha mengadakan ceramah penjelasan kepada akar umbi.

Namun kemungkinan untuk PAS membentuk kerajaan campuran dengan Umno masih belum dibincangkan lagi dengan penyokong parti tersebut.

“Kita belum beri penjelasan untuk itu lagi sebab situasi itu masih berlaku, jadi kita tidak boleh jawab,” katanya.

Selepas berseteru lebih 40 tahun kedua-dua parti mula bekerjasama selepas PRU14 untuk meraih sokongan pengundi Melayu dan ia menampakkan hasil dalam tiga PRK – di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Ketiga-tiga PRK itu dimenangi BN dengan dibantu PAS.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan