Anwar berkata, tidak ada masalah untuk mana-mana bangsa menjadi pemimpin negara asalkan seseorang itu baik, bersih dan tidak mengamalkan rasuah.
Katanya, tidak timbul soal “survival” kepada Melayu jika sokongan diberikan untuk parti pemerintah itu, walaupun calon berbangsa India dipertaruhkan untuk berdepan calon Melayu dari Barisan Nasional.
“Kaum Melayu akan ‘survive’ kalau kita ada pemimpin yang baik, bersih, serta tidak korup. Bukan setakat kaum Melayu sahaja, kaum lain juga, Cina, India, Kadazan pun akan ‘survive’.
“Jadi tak perlu takut pilih calon bukan Melayu,” katanya ketika ceramah membantu kempen PH di Taman Angsamas, malam tadi.
Hadir sama pada pentas ceramah itu ialah Streram; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Pengarah Pilihan Raya Amanah, Hatta Ramli; Lee Boon Chye dan Sim Tze Tzin.
Anwar berkata, pemilihan Streram dibuat setelah melihat usaha yang dilakukan pakar bius itu yang mencabar keputusan Suruhanjaya pilihan Raya (SPR) setelah dinafikan hak bertanding pada PRU14 lalu.
“Selepas PRU14, setelah dinafikan hak, Stretam keluar duit sendiri, cari peguam bawa kes ke mahkamah, masa itu orang lain tidak ada masa nak bantu.
“Atas dasar itu kita beri peluang kepada beliau yang dinafikan hak untuk bertanding,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Sabu dalam ucapannya mengkritik propaganda sesetengah pihak yang menurutnya tidak bertanggungjawab yang sengaja memainkan isu “survival” Melayu, sehingga ada yang menuduh parti komponen PH sebagai “barua DAP”.
Katanya, tidak mungkin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya dikenali sebagai pro-Melayu dan pernah menulis buku “The Malay Dilemma” akan berbuat demikian.
“Macam itu juga Anwar Ibrahim, yang keluar masuk penjara, duduk di penjara lagi lama berbanding berada di luar penjara, takkan dia nak mempersia-siakan perjuangannya,” kata Mohamad.
Pembangunan Port Dickson dinikmati penduduk Rantau
Dalam ceramah berasingan, Anwar berkata beliau akan memastikan limpahan pembangunan yang dinikmati Port Dickson akan turut dirasai penduduk Rantau.
“Sejak saya menjadi ahli Parlimen Port Dickson, ada beberapa projek baru seperti pelancongan dan syarat mereka (pelabur) mesti memberikan latihan kerja kepada anak tempatan.
“Saya ingat pembangunan ini harus diperluaskan supaya tidak hanya tertumpu kepada satu daerah tertentu sahaja tetapi ia melingkungi sekitarnya termasuk Rantau,” katanya pada program ceramah umum di Taman Sri Ramai.
Anwar turut menolak dakwaan Streram tidak dikenali penduduk Rantau.
“Streram sudah bekerja sini banyak tahun sebelum pilihan raya, saya memang minta laporan dari dia. Kalau tidak menangpun akan buat pembangunan tapi saya harap dia menang,” katanya.
PRK Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad, Streram dan 2 calon bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin.
0 comments:
Catat Ulasan