Malaysia Baharu tidak harus dicemari politik kotor, kata Mujahid

Politik di era Malaysia Baharu tidak seharusnya dicemari politik kotor serta menimbulkan kebencian yang tidak membina masa depan negara, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau berkata semua pihak harus berusaha bersungguh-sungguh untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Adalah diharapkan politik video kotor (video seks) serta boleh menimbulkan kebencian melalui tayangan yang tidak langsung membina masa depan negara dihentikan segera.

“Apa yang penting bagi seluruh rakyat dalam negara ini ialah berhenti dari politik kotor yang dicemari.

“Tidak lagi harus ada budaya bangsa yang dicemari dengan unsur-unsur sedemikian kerana ia tidak langsung membawa apa jua manfaat kepada generasi yang akan datang, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH Negeri Pulau Pinang pada Ahad.

Dr Mujahid yang juga Pengerusi AMANAH Pulau Pinang juga mengingatkan kepada pihak yang telah dituduh dalam isu video seks yang hangat diperkatakan tatkala ini supaya banyak bersabar.

Katanya lagi, kepada yang menuduh melakukan perbuatan keji tersebut diingatkan supaya tidak mengheret orang lain dengan membuat tuduhan yang lain pula.

Walau bagaimana pun ujarnya, setakat ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah pun menerima aduan tersebut serta diserahkan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan.

Turut hadir dalam majlis rumah terbuka tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin, Adun Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad, Adun Bertam, Khaliq Mehtab, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim serta pimpinan komponen PH Negeri Pulau Pinang.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan