Kerajaan
perlu meningkatkan peruntukan sekurang-kurangnya sehingga RM2 bilion
berbanding RM210juta dalam Belanjawan 2020 sekiranya berhasrat
menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan industri
berteknologi tinggi menerusi tumpuan Industri 4.0.
Menurut Pakar Ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, bajet sedia ada
yang diperuntukan bagi tempoh 2019 hingga 2021 dilihat tidak mencukupi
bagi tempoh dua tahun mendatang oleh kerana negara mengalami krisis
produktiviti kakitangan yang rendah.
“RM210 juta itu sangat kecil dan tidak mencukupi bagi tempoh lagi dua
tahun kerana sebenarnya penerimaan IR 4.0 merupakan keputusan yang
sangat tepat pada masanya kerana kita sedang menghadapi krisis
produktiviti dimana produktiviti kakitangan kita adalah agak rendah.
“Kerajaan perlu menyediakan kos latihan yang tinggi seperti skim
khusus di dalam program IR 4.0 bagi melatih dan memberi kemahiran baharu
kepada kakitangan disamping menempatkan mereka ke jawatan baharu untuk
meningkatkan produktiviti mereka.
“Kita memerlukan belanjawan yang setara dengan jumlah belanjawan
negara. Dengan usaha untuk melakukan perubahan kearah IR 4.0, kerajaan
perlu melabur lebih daripada RM2bilion atau RM3 bilion,” katanya
Beliau berkata demikian menjawab persoalan sama ada jumlah peruntukan
sedia ada bagi menggalakkan peralihan Malaysia kepada industri 4.0
adalah mencukupi.
Sementara itu, Barjoyai turut menegaskan, sektor pembangunan dan
penyelidikan (R&D) merupakan sektor penting yang akan merancakkan
kemajuan ekonomi ke arah IR 4.0, maka perlunya untuk memberi penumpuan
kepada penyelidikan inovasi.
Jelasnya, penyelidikan asas perlu dikurangkan oleh kerana tujuan
untuk mewujudkan sesuatu teknologi dan ciptaan baru itu mungkin memakan
masa untuk dibawa ke pasaran.
“Tapi kalau kita beri tumpuan kepada penyelidikan inovasi, kita dapat
menekankan kepada pembaharuan yang boleh terus dibawa ke pasaran dengan
jayanya.
“Jadi kita boleh memacu penyelidikan inovasi dalam bidang Internet of
Things (IOT), Artificial Intelligence (AI), dan juga robotik dengan
membawa pemain dari industri dengan kerjasama sektor pendidikan
khususnya fakulti IT, untuk mewujudkan inovasi baru dalam pasaran yang
menepati keperluan industri masing-masing,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, industri 4.0 sememangnya menarik
lebih banyak kedatangan pelabur asing seperti Amerika Syarikat yang mula
beralih minat dengan Malaysia.
Namun, beliau turut tidak menolak kemungkinan kedatangan pelabur
asing itu oleh kerana perang dagang antara AS-India yang menjadi faktor
firma dari AS berminat mengukuhkan kehadiran di Malaysia.
Walau bagaimanapun jelasnya, ia tidak memberi impak buruk kerana pada
dasarnya negara tetap akan memperoleh manfaat modal dan potensi untuk
mengembangkan sumber inovasi negara.
“Kita sedar bahawa semua pelabur yang datang ke Malaysia akan membawa
potensi untuk membangunkan sumber inovasi dan juga kepakaran,
kemahiran, selain daripada modal.
“Jadi ini yang kita patut galakkan. Tak kisahlah kalau mereka datang
sebenarnya kerana nak mengatasi masalah perang dagang antara India,
sebab kalau itu matlamat mereka, tak apa. Kita masih lagi dapat limpahan
modal dan juga pembaharuan dalam kemahiran dan dalam inovasi di dalam
pasaran Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, industri perkhidmatan seperti
hospitaliti merupakan industri yang mudah dikembangkan oleh kerajaan dan
perlu diberi perhatian.
“Kerajaan perlu beri perhatian pada sektor hospitaliti yang meliputi
sektor pelancongan, kesihatan, dan akademik kerana ia merupakan industri
yang mudah dikembangkan. Disamping itu, lihat juga pada industri
berkaitan dengan ICT, kemajuan pembinaan aplikasi dan AI.
“Dalam sektor pertanian pula, kita hanya perlu membawa teknologi baru
yang sedang digunakan di negara maju ke Malaysia sebagai satu inovasi
menggalakkan atau menjadikan sektor pertanian berdaya maju,” katanya.
Sebagai rekod kerajaan menerusi Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0
telah memperuntukan RM210juta dalam Belanjawan 2019 bagi tahun 2019
sehingga 2021 untuk mengalakkan negara beralih kepada industri 4.0.
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menjalankan program
Readiness Assessment untuk membantu 500 syarikat Perusahaan Kecil dan
Sederhana (PKS) beralih kepada teknologi Industri 4.0.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan