Islam tak ajar boikot produk bukan Muslim, kata mufti Perlis

KUALA LUMPUR, 3 Sept — Mufti Perlis menyifatkan tindakan pengguna berkempen memboikot barangan bukan Muslim sebagai kurang bijak.

Malah Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata tindakan itu juga tidak adil kepada masyarakat lain.

“Walaupun ketara sikap anti Muslim sejumlah mereka khususnya ahli-ahli politik parti tertentu, namun bukan semua bukan Muslim yang bersikap demikian,” catatnya di Facebook.

“Ada antara mereka yang baik hubungan dan penghormatan mereka kepada masyarakat Muslim. Islam tidak mengajar kita memusuhi orang yang tidak memusuhi kita.”

Baru-baru ini terdapat kempen dalam media sosial supaya memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera dan membeli produk keluaran Bumiputera.

Tambah Asri, produk Muslim sendiri sebenarnya tidak merangkumi seluruh keperluan kehidupan masa kini.

Sehubungan itu katanya adalah lebih baik berkempen membantu ekonomi sesama Muslim.

“Dalam erti kata lain, kita berusaha dengan pelbagai cara menguatkan ekonomi sesama kita,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan