Nilai ekuiti domestik Tabung Haji meningkat RM1.12 bilion setakat September

Nilai ekuiti domestik Lembaga Tabung Haji (TH) meningkat RM1.12 bilion kepada RM7.8 bilion pada 27 Sept lepas berbanding RM6.36 bilion pada tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata pelaburan TH tertumpu pada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan dan rekod dividen yang baik dan menjana pendapatan stabil serta patuh Syariah.

“Selain ekuiti, TH sedang giat mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap termasuk sukuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanyakan tentang pendapatan TH sehingga Jun 2019, nilai saham dan harta yang telah dijual pada 2019 serta anggaran keuntungan sehingga Jun 2019.

Fuziah berkata setakat Jun tahun ini, TH telah menjual kira-kira RM1.21 bilion asset yang menjana keuntungan berjumlah RM61.6 juta.

Beliau berkata penjualan berkenaan melibatkan saham yang berjumlah RM803.9 juta dengan keuntungan sebanyak RM27.9 juta, instrument kewangan RM405.3 juta yang menjana keuntungan sebanyak RM25.3 juta serta hartanah sebanyak RM10.4 juta dengan keuntungan berjumlah RM7.9 juta.

Sementara itu, Fuziah berkata Urusharta Jamaah Sdn.Bhd (UJSB) yang ditubuhkan bagi membantu proses pemulihan aset-aset yang telah diambil alih dari TH telah menjana keuntungan selepas lebih sembilan bulan mengambil alih aset tersebut daripada TH.

Katanya keuntungan itu diperoleh walaupun tanpa melakukan sebarang penjualan aset.

“Setakat ini, iaitu lebih sembilan bulan aset ini dipindahkan, belum ada jual beli dan aset itu tetap di situ dan sedang dipulihkan daripada pendapatan rendah kepada pendapat lebih tinggi.

“TH sudah tidak bertanggungawab, namun demi kepentingan awam dan kerana orang ramai ingin tahu dan takut aset TH ini bila dipindahkan (mungkin) dijual terus, saya maklumkan ini adalah tidak benar kerana TH mempunyai hak pertama untuk menolak,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) yang bertanyakan tentang prestasi aset dan pelaburan yang diuruskan Syarikat tujuan khas (SPV) di bawah seliaan Kementerian Kewangan.

UJSB merupakan SPV yang dimiliki penuh kerajaan bagi membantu proses pemulihan aset-aset yang telah diambil alih daripada Lembaga TH pada akhir 2018 sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan TH.– BERNAMA
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan