“Sampai hati Mahathir khianati kita…”

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Dalam politik, tempoh seminggu dianggap sudah terlalu lama; pelbagai perkembangan berlaku dan sebahagian terjahannya sukar diduga. Ditambah pasaran berita angin yang cukup rancak dan gamat dengan cerita-cerita rekaan serta andaian yang sensasi.

Seorang teman lama, berusia akhir 50-an, menghantar mesej kepada saya baru-baru ini: “Sampai hati Mahathir khianati rakyat yang menyokongnya dalam PRU14 dulu. Sanggup dia musnahkan kerajaan reformasi dan bergabung dengan Umno-Pas hanya kerana tak suka Anwar?”

Rakan saya itu dahulunya penyokong tegar Pas dan pakatan pembangkang, bermula Harakah Keadilan Rakyat (1986), Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat (1990), Barisan Alternatif (1999), Pakatan Rakyat (2008).

Ketika Dr Mahathir Mohamad membentuk persefahaman baharu dengan Anwar Ibrahim untuk menumbangkan regim kleptokratik Najib Razak, sahabat saya ini mengambil masa agak lama sebelum dapat menerima kehadiran bekas perdana yang berkuasa selama 22 tahun itu.

Ternyata beliau amat terkesan dengan khabar angin ura-ura penubuhan “kerajaan pintu belakang”, yang dikatakan membabitkan Bersatu, sebahagian PKR, Pas, dan juga kalangan tertentu Umno serta wakil Sarawak, GPS. Baginya, ia satu pengkhianatan besar yang tidak boleh dimaafkan.

Saya tidak segera membalas mesejnya itu; sekadar minta dia datang ke Ampang untuk bersembang lanjut. Kesihatan saya membataskan pergerakan, diburukkan lagi iklim panas menjadikan saya lebih suka berkurung dalam rumah.

Lagipun, menyedari dia benar-benar risau dan beranggapan “apa jua masalah yang timbul dalam kerajaan atau sesama komponen PH, mencari musuh dan mengetepikan rakan sekutu sama sekali tidak boleh diterima”. Saya perlu bertemu wajah dan berbicara secara santai, sambil mencicip kopi pahit!

Biarpun ura-ura kemungkinan gabungan baharu Pakatan Nasional itu dinafikan banyak pihak dan Dr Mahathir sendiri mengaku tidak pernah membuat pelawaan membentuk kerajaan kepada pembangkang khususnya Umno-Pas, namun dalam sifir politik sumber rasmi kerap ditafsirkan dengan maksud berbeda. Malah kenyataan politik Dr Mahathir sering ditanggap pelbagai lapis.

“Mesej yang dihantar oleh Mahathir dan Anwar selalu bercanggah. Orang melihat semacam ada perasaan saling tidak percaya, syak wasangka.

Apatah lagi karenah penyokong masing-masing, hanya mengukur untung-rugi sendiri berdasarkan jawatan Mahathir atau Anwar,” kebimbangan teman saya itu sukar diredakan walaupun saya menekankan ia hanya siri berterusan pembangkang untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan.

Apatah lagi, dalam keadaan serba terbatas dan keuzuran berpanjangan ini, saya akui tidak mempunyai akses kepada sebarang sumber yang rapat dengan serambi kuasa. Saya setakat cuba menduga dan menilai dari jauh “permainan” politik ini. Membaca riak, reaksi, diam dan segala mesej tersirat.

Saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengingatkan agar berhati-hati dengan persepsi rakyat yang mungkin muak dan bosan dengan adegan politiking tidak berkesudahan ini. Mereka sudah memberikan mandat untuk PH mengemudi teraju negara dan segera memulihkannya.

Namun, elit penguasa nampaknya terus membazirkan sumber dan potensi, demi memuaskan kehendak kelompok masing-masing. Sehingga proses pembaharuan yang menjadi agenda besar seakan-akan tertangguh atau terbantut.

Semestinya pihak pembangkang yang mendapat suntikan semangat baharu daripada cetusan Muafakat Nasional — dan keputusan siri pilihan raya kecil mutakhir — akan memanipulasi apa jua kesempatan dan peluang. Daif sangatlah kalau Umno-Pas tidak mengeksploitasi ruang yang tersedia, demi memporak-perandakan kesepakatan PH, menuju impian untuk kembali meraih kuasa. Umno khususnya merasai betapa perit kehilangan kuasa yang didakap erat selama enam dasawarsa.

Kepada rakan saya tadi, saya mengulangi pandangan ramai pemimpin kanan PH: “Kami yakin Mahathir tidak sesekali akan khianati harapan rakyat. Namanya harum semerbak bila berjaya mengalahkan regim korup, dan mengambil alih negara secara aman dan licin.

Masakan Mahathir di hujung usianya sengaja mencemarkan imejnya yang begitu hebat, termasuk di peringkat antarabangsa, hanya kerana berdepan masalah kecil dalam kerajaan.”

Saya turut mengimbau sikap politik Pas, yang dikatakan beria-ia mahu mengambil kesempatan di atas “ribut dalam cawan ” proses peralihan kuasa ini.

Selepas PRU2008 yang menyaksikan BN kalah lima negeri (tidak termasuk Wilayah Persekutuan) dan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, ada percubaan untuk membentuk kerajaan perpaduan Umno-Pas di Perak dan Selangor.

Tokoh-tokoh yang menerajui Pas hari ini cenderung dengan cadangan ketika itu tetapi digagalkan oleh bantahan keras Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kelompok pemimpin progresif yang kemudian disingkirkan dan telahpun menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Menjelang PRU2018, terutama semasa kempen, Pas dengan keyakinan palsu untuk menjadi “king maker” bersikap mesra-BN dan memusuhi pakatan pembangkang. Dr Mahathir dibelasah teruk oleh Pas.

Pertandingan tiga penjuru menjadi taktik yang “memakan diri” apabila keputusan akhirnya menguntungkan PH. Pemerhati politik melihat Pas — walaupun menang besar di Kelantan dan Terengganu, serta membuat kejutan di Dun Kedah dan Pahang — sukar menerima hakikat kemenangan PH, terutama dengan pelantikan teman-teman lamanya, AMANAH, dalam Kabinet.

Mereka yang sering dilabelkan dengan gelaran jelek tiba-tiba menjadi menteri kanan sekelip mata!
Justeru, tidak hairan jika Pas nampak ghairah menyambut ura-ura penubuhan kerajaan pintu belakang. Sehingga ada rakaman audio mendedahkan kecenderungan Zahid Hamidi — Presiden Umno yang terkepung dengan pelbagai tuduhan korupsi di mahkamah — untuk mengikut jejak Pas itu.
Kebetulan Lokman Noor Adam, Ahli Majlis Tertinggi Umno sempat mendedahkan audio tersebut, dan Dr Mahathir sendiri menafikan beliau ada membuat pelawaan untuk membentuk Pakatan Nasional itu.

Senario kemudiannya nampak berubah. Asalnya PH kelihatan goyang. Berakhir dengan kerjasama dalam pakatan pembangkang Umno-Pas dicemari kesangsian sesama sendiri. Masing-masing lebih memikirkan laba dan survival politik, serta melepaskan tengkuk yang kian terjerut. GPS pula menegaskan untuk bersikap bebas dan berkecuali, daripada menyertai mana-mana gabungan di Semenanjung.

Usul percaya kepada Dr Mahathir untuk terus bertakhta sehingga habis penggal, yang dicadangkan Pas itu juga menggambarkan percubaan parti itu untuk terus “menangguk di air keruh”. Ia semata-mata bagi menggagalkan proses peralihan kuasa seperti dijanjikan dalam kempen PRU14.

Terserlah hasrat Pas bagi menafikan ruang Anwar menjadi perdana menteri. Bukan sangat Pas mahu melihat Dr Mahathir terus berkuasa tetapi lebih kepada menutup peluang Anwar. Apakah sekali lagi Pas memilih strategi yang salah?
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan