Oleh Zin Mahmud
Antara banyak soalan yang sering dikemukakan kepada pakar, sama ada dalam bidang kesihatan, ekonomi, sosial dan politik adalah apa yang akan berlaku terhadap pandemik Covid-19 dan kesannya selepas ia berlalu.
Daripada tontonan terhadap media banyak negara, dapat dilihat soalan itu dikemukakan pemberita hampir setiap hari. Ia dikemukakan kepada pemimpin politik, pegawai tinggi kesihatan dan juga pakar, termasuk ahli akademik dalam pelbagai bidang.
Pemberita menjalankan peranan bagi memenuhi rasa ingin tahu orang ramai di seluruh dunia terhadap apa yang sedang dan akan berlaku.
Mereka menanti-nanti sidang akhbar dan laporan berita serta siaran dokumentari setiap hari. Maka keinginan untuk tahu inilah yang cuba diisi pemberita setiap hari di kebanyakan negara.
Umumnya mereka yang ditanya itu akan memberi jawapan lebih kurang sama setiap hari, walaupun ada kalanya wujud perkembangan kecil yang boleh dijadikan bahan berita bagi tatapan khalayak, penonton, pendengar dan pembaca.
Jawapan yang lebih kurang sama itu umumnya dan seringkali berbentuk pembentangan fakta yang diketahui pakar berkenaan. Ia diikuti pandangannya yang disulam respons kepada soalan pemberita atau penyampai.
Tetapi, akhirnya jawapan mereka semua adalah serupa, iaitu mereka tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku, ini kerana tiada kepastian.
Pun begitu, umumnya menyatakan keadaan buruk yang berlaku sekarang pasti berlalu. Inipun bukan kepastian, tetapi daripada pengalaman wabak lalu, akhirnya kuman akan hilang dengan sendiri atas sebab-sebab tertentu.
Sememangnya semua bencana ada akhirnya. Itu hukum alam. Banjir tidak selamanya ada, gempa bumi pasti akhirnya berhenti, malah peperangan antara negara tidak akan selamanya, perdamaian pastinya akan muncul semula.
Untuk menyatakan perkara ini, ia tidak memerlukan pemimpin politik, pakar kesihatan ataupun ahli akademik. Seorang warga emas yang sudah lama makan garam pasti sampai kepada kesimpulan ini.
Tetapi sehingga ini, pandemik Covid-19 berkembang di luar jangkaan. Ia bermakna apa yang dijangka pasti meleset, pengetahuan hanya dimiliki selepas perkara ini berlaku, iaitu secara retrospektif.
Lihat saja di Malaysia, pada mulanya perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan selama 2 minggu. Malah, sebelum itu tiada siapa dapat menjangkakan PKP akan atau boleh dilaksanakan di Malaysia. Kemudian ia ditambah 2 minggu lagi, ia juga tidak berakhir, ditambah lagi 2 minggu. Sifat pandemik ini tidak dapat dijangkakan.
Dari awal Covid-19 bersifat demikian. Sememangnya ia jenis koronavirus baru sebab itu dinamakan novel.
Tetapi, kecenderungan manusia, termasuk pakar adalah membandingkan koronavirus novel terdahulu seperti SARS dan MERS, tetapi namanya novel, sepatutnya ia tidak dibuat perbandingan. Ini kerana dengan perbandingan, adalah mudah untuk terselindung sesuatu fakta berbeza.
Apabila ia mula meletus di Wuhan, China, pihak berkuasa tidak memandangnya dengan amat serius. Mungkin mereka membandingkannya dengan SARS, suatu wabak yang pernah dialami negara Asia Timur, khususnya China, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.
Hanya apabila ia menjadi di luar jangkaan, barulah China ambil berat dan memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sebab itu pada awalnya Wuhan tidak dikenakan perintah berkurung dan ada penduduk kota itu keluar ke bandar lain.
Maka, jangkaan WHO juga rendah. Pada awalnya ia tidak mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik. Maka, negara anggota WHO tidak menjangkakan ia menjadi pandemik.
Manusia mempunyai kecenderungan menafikan atau “in denial” apabila menghadapi ancaman mengejut. Walaupun senario buruk sering difikirkan juga, tetapi ia tidak dibuat dengan serius kerana suasana seperti itu tidak mahu dihadapi oleh sesiapa.
Tiada siapa dapat menjangkakan dengan serius Covid-19 ini cepat sampai ke Iran, kemudian Itali, selanjutnya Sepanyol dan seluruh benua Eropah. Ia akhirnya sampai ke Amerika Syarikat, dari New York sampailah ke kapal pengangkut kapal terbang turut dijangkiti Covid-19.
Melihat secara retrospek, sememangnya jelas perjalanan dan perkembangan Covid-19 adalah sesuatu yang masuk akal dan proses itu sepatutnya dapat dijangkakan. Tetapi tidak, otak manusia memang sukar melihat ke depan bagi memberi jangkaan.
Dari awal lagi ada ahli akademik yang mengemukakan model matematik untuk menunjukkan ke mana wabak ini bergerak dan bertambah.
Malah, terdapat konsep “mendatarkan lengkungan” (flattening the curve) berdasarkan lakaran matematik, tetapi untuk menjangkakan secara tepat, terdapat banyak faktor kebarangkalian yang menjadikannya sukar membuat jangkaan. Ini menyukarkan penggubal polisi di kalangan ahli politik dan ekonomi membuat perancangan.
Pada awalnya dijangkakan pandemik berakhir April ini, kemudian dikatakan Julai.
Pada mulanya difikirkan apabila perintah kurungan berakhir, orang ramai boleh kembali kepada kehidupan normal, tetapi kemudian disedari kehidupan tidak akan menjadi normal sepenuhnya, maka disebut sebagai “new normal” (normal baharu).
Maknanya, gaya hidup orang perlu berubah; memakai topeng, mengamalkan penjarakan sosial dan tidak menghadiri perhimpunan.
Jadi, kini sudah mula dikeluarkan jangkaan wabak ini akan memakan masa 6 bulan untuk selesai sepenuhnya. Sebab itu Sukan Olimpik ditangguhkan dan keputusan menunaikan ibadah haji tidak dibuat.
Di medan ekonomi, umumnya sudah berkira kemelesetan ekonomi akan melanda dunia sepanjang tahun ini, tetapi setelah beberapa minggu berlalu, mula dikirakan kemelesetan akan melimpah ke tahun depan.
Kemudian dalam minggu lalu, ada seorang pakar kesihatan di Hong Kong menjangkakan Covid-19 berkemungkinan mengambil masa 3 tahun untuk benar-benar selesai.
Wuhan yang sudah mula dibuka memberi harapan pemulihan kepada dunia. Tetapi, kalau China saja sudah pulih dan dunia lain masih berkurung, ekonomi global tidak dapat bergerak sepenuhnya.
Dalam pada itu, banyak pelajaran ditimba daripada pandemik ini. Ternyata dunia tidak wajar terlalu bergantung kepada China.
Jepun sudah memulakan rancangan memindahkan kilang syarikat mereka keluar dari China ke negara lain.
China merasai tekanan dunia akibat pandemik ini. Faktanya ialah Covid-19 bermula di Wuhan. Juga sudah berlaku penyembunyian maklumat di peringkat awal kerana sistem pentadbiran China sebegitu rupa. Maka, Parti Komunis China (CCP) menerima tekanan dan kesan politiknya dijangka berlaku.
Dunia pasca Covid-19 tidak dapat dijangkakan. Apa yang hampir pasti ialah dunia akan berubah. Pasti terdapat perbezaan antara pra-Covid-19 dan pasca Covid-19.
Kesan wabak ini seperti apa yang pernah dilalui dunia sebelum ini. Antaranya, peristiwa 9/11 di New York, krisis kewangan Asia, tumbangnya Soviet Union, krisis Embargo Minyak dan juga Perang Dunia Kedua.
Mungkin kesan Covid-19 tidak sebesar Perang Dunia Kedua, tetapi ia cukup besar dengan melebihi peristiwa lain selepas itu.
Kini, WHO memberi amaran keras terhadap apa yang akan dihadapi dunia dan manusia jika negara tidak melaksanakan perakuannya. AS yang belum selesai menghadapi pandemik ini berkonfrontasi dengan WHO dan China.
Akhirnya, tiada jangkaan yang boleh dibuat untuk masa depan. Perkembangan berubah-ubah dari hari ke hari, dan berbeza dari negara ke negara.
Jadi, perancangan masa panjang tidak boleh dilakukan. Hanya keputusan dalam bentuk harian boleh dilakukan atau sekurang-kurangnya dalam bentuk dwimingguan. Ini kerana Covid-19 hanya boleh menunjukkan simptom dalam masa 14 hari.
0 comments:
Catat Ulasan