Mahkamah tolak rayuan Sanusi, tambah ganti rugi


 

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berhubung saman fitnah.

Ini selepas sidang tiga hakim terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, Mariana Yahya, dan Wong Kian Kheong membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Sementara itu, panel hakim itu menolak rayuan Sanusi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov 2021 yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Mahfuz selepas membenarkan saman fitnah Mahfuz.

Dalam penghakiman itu, Vazeer berkata tiada kesilapan oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam penemuannya mengenai liabiliti tetapi mengatakan bahawa kuantum ganti rugi yang diberikan kepada Mahfuz oleh Mahkamah Tinggi adalah rendah.

Beliau turut mengarahkan Muhammad Sanusi membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Sanusi serta Noorazmir Zakaria yang mewakili Mahfuz, mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ketika dihubungi Bernama.

Keputusan itu disampaikan melalui prosiding secara dalam talian hari ini.

Pada November 2021, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohd Arief Emran Arifin membenarkan saman fitnah Mahfuz dan mengarahkan Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz.

Mahkamah itu juga mengeluarkan perintah injunksi yang menghalang Sanusi atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz pada masa hadapan.

Pada 9 Okt 2019, Mahfuz memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat oleh Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Yusfarizal berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan