'Menang BN pun tidak buat apa'

Panas terik menjelang tengah hari pada penamaan calon di Dewan Jubli Intan Pontian lalu masih membolehkan wartawan berpeluang menemubual Pengarah Pilihan Raya AMANAH Johor, Norazit Md Nor.

Diperkenalkan oleh wartawan Amnijagat, Pengarah Pilihan Raya Kawasan Tanjung Piai itu berkongsi cerita tentang situasi politik semasa tempatan termasuk 'ghaibnya' Adun Kukup, Datuk Md Othman Yusof 'Tok Moy' pada hari tersebut.

Norazit, 48, bagaimanapun yakin majoriti pengundi di P.165 akan memberikan kemenangan kepada calon Karmaine Sarbini sekali gus mengekalkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 yang memenangi 18 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor.

Beliau yakin desas-desus kononnya pengundi Cina akan berpaling tadah lantaran protes selain cenderung memilih wakil rakyat berasaskan kaum tidak akan menjadi kenyataan.

"Dun Kukup dimenangi oleh Umno pada PRU-14. Tiada perkara besar yang rakyat dapat. Hari ini pun (penamaan calon) dia tidak datang. Padahal, dia wakil rakyat Dun Kukup.

"Kalau pilih pembangkang, tidak dapat apa. Logiknya, begitu. Saya yakin pengundi Cina terutamanya nampak hal ini.

"Dalam tempoh setahun (kerajaan PH) pun kita sudah banyak buat perubahan. Kaum Cina nampaknya berfikiran begitu. Kita sudah buat tinjauan. PH kekal mempertahankan Tanjung Piai, InsyaAllah," ujarnya.

Meskipun beliau mengakui kemungkinan berlakunya penurunan pengundi seperti kelaziman dalam kebanyakan PRK, beliau berpendapat keengganan pemilih keluar membuang undi bergantung pada pihak mana yang menjadi kerajaan.

"Jika PH sebagai kerajaan masih memerintah, ada perkara yang belum dilaksanakan akan dapat dibuat. Terdapat sejumlah peruntukan yang telah diluluskan ketika arwah Dr Farid masih ada," jelasnya.

Ditanya tentang isu tempatan yang dihadapi masyarakat setempat, Norazit memberitahu masalah berkaitan nelayan menjadi isu ketara di wilayah paling hujung di Benua Asia itu.

"Namun, isu nelayan ini sebenarnya isu nasional yang menuntut usaha lebih bersepadu melibatkan kerajaan pusat manakala isu prasarana setakat ini sedang kita tangani.

"Menteri pun dari AMANAH. Beliau pun anak jati Tanjung Piai. InsyaAllah, kerajaan dalam proses mereformasi sektor perikanan termasuk menyelesaikan isu berkaitan hak dan kebajikan nelayan," ujarnya lagi.









Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan