Bersatu: Jangan menang sorak, parti tergadai

Oleh Mukhriz Mahathir

 KEBELAKANGAN ini beberapa pemimpin Umno di peringkat nasional dan negeri telah membuat kenyataan mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan kerjasama politik antara Umno dan PAS (Muafakat Nasional) dan BN.

Saya percaya ramai ahli Bersatu dan Umno telah membaca kenyataan-kenyataan itu, serta kenyataan balas yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) dari peringkat negeri.

Jelas daripada pendirian yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dan beberapa orang lagi bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak wujud sebenarnya.

Tiada sebarang perjanjian antara Umno, PAS dan BN bersama Bersatu untuk bergabung secara rasmi bagi menubuhkan Kerajaan PN.

Angkuh dan sombong, itulah yang boleh dirumuskan mengenai sikap pemimpin Umno terhadap Bersatu, yang tidak menggambarkan kesepakatan yang telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan PH dan penubuhan kerajaan baru yang digelar Kerajaan PN di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.

Sebaliknya semasa Kerajaan Malaysia dikuasai oleh PH, kerjasama yang terjalin antara Bersatu dengan parti-parti komponen PH, iaitu Keadilan, DAP dan Amanah bersama Parti Warisan Sabah dizahirkan dari keakraban sewaktu berganding bahu melawan Kerajaan kleptokrasi BN. Kerajaan BN itu sudah lebih 60 tahun bertapak.

Pengalaman bekerja secara rapat dalam keadaan yang sangat mencabar sebelum dan semasa kempen PRU14 melahirkan hubungan silaturrahim yang seikhlasnya erat dalam kalangan anggota PH dan Warisan ketika itu.

Oleh itu saya terpanggil untuk mengajukan beberapa soalan kepada kepimpinan Umno. Soalan-soalan ini juga saya tujukan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sekaligus memberikan peluang kepada beliau untuk menjelaskan kenapa begitu banyak janji beliau kepada Bersatu tidak menjadi kenyataan.

Janji-janji yang dimaksudkan adalah yang telah beliau kemukakan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Ahli-ahli Parlimen Bersatu sebagai asas kenapa Bersatu perlu segera tinggalkan PH dan menyertai perikatan baru dengan Umno dan PAS yang bergabung di bawah Muafakat Nasional (MN).

Soalan-soalan ini juga berlegar didalam benak pemikiran setiap ahli Bersatu, dan sekiranya tidak dijawab maka ia menyebabkan kekeliruan dan kesangsian yang amat memilukan.

Ramai ahli Bersatu ingin tahu adakah benar kerjasama politik yang wujud antara MN dan Bersatu hanya dapat bertahan sehingga Dewan Rakyat dibubar?

Tidakkah Bersatu berhak untuk berunding agihan kerusi dengan Umno dan PAS menjelang PRU15 nanti?

Memandangkan kerajaan sekarang dianggotai oleh ketiga-tiga parti politik ini, tidakkah dirasakan pelik bahawa MN akan berlawan dengan Bersatu di kerusi-kerusi yang ditandingi pada PRU15 nanti?

Semua sedia maklum bahawa ketiga-tiga parti politik ini mewakili masyarakat Melayu dan Islam.

Justeru base politik mereka adalah sama – iaitu orang Melayu khususnya di luar bandar.

Maka sudah tentu Bersatu, Umno dan PAS berhasrat untuk bertanding di kawasan-kawasan demografi tersebut. Sememangnya semua parti ini telah bertembung di kawasan-kawasan sama pada PRU14.

Oleh itu, apakah peluang Bersatu untuk menang kerusi-kerusi yang ditandingi jika ia akan berdepan dengan Umno atau PAS dalam keadaan tiada kesepakatan antara mereka?

Jika Bersatu sebenarnya tidak bersama MN, dan tidak juga bersama PH, apa logiknya Bersatu boleh menang dimana-mana kawasan sekalipun?

Adakah Bersatu berupaya mempertahankan semua kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang sekarang berada dalam tangannya?

Dalam Jemaah Menteri lantikan Perdana Menteri sekarang, memang ada wakil-wakil dari Bersatu.

Ada juga yang dilantik sebagai Menteri Kanan, dan juga Timbalan-timbalan Menteri. Apakah nasib mereka setelah bubarnya Dewan Rakyat?

Adakah mereka akan bertanding di kawasan masing-masing sambil terpaksa berlawan dengan MN?

Contohnya di Parlimen Ketereh, yang mana Ahli Parlimennya dari Umno (Annuar Musa) dilantik menteri kabinet (Menteri Wilayah Persekutuan), manakala Ketua Bahagian Bersatu (Mohd Radzi Md Jidin) yang kalah kepada Menteri Umno itu di PRU14 dilantik senator (pada zaman Dr Mahathir) dan (sekarang) menteri kanan (Menteri Pendidikan).

Siapakah yang akan dipilih sebagai calon di kerusi itu pada pilihan raya nanti? Atau adakah mereka berdua harus berentap merebut kerusi yang sama, walhal pada ketika ini kedua-duanya menganggotai Kerajaan PN?

Usahkan Menteri, bagaimana dengan nasib Muhyiddin sendiri? Adakah beliau akan masih dipilih sebagai Perdana Menteri selepas PRU15?

Semestinya ada satu bentuk perjanjian antara parti-parti yang kini menjalinkan kerjasama politik untuk menguasai Kerajaan. Kalau tiada, apa makna kerjasama politik ini?

Sekadar “marriage of convenience” bersifat sementara sahaja, untuk tempoh tiga tahun atau lebih awal jika Dewan dibubarkan?

Kerajaan PN ini terbentuk pada bulan Mac 2020. Jika Dewan dibubarkan dalam tahun ini juga, adakah Bersatu akan terpaksa berhadapan dengan “rakan” politiknya Umno dan PAS di setiap kerusi termasuk Pagoh, Tambun, Alor Gajah dan Titiwangsa?

Adakah situasi tidak menentu ini baik untuk rakyat dan negara?

Apakah yang menyebabkan Bersatu sanggup bersama dengan MN walhal keberadaan kita dengan mereka umpama hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong?

Ya, benar Presiden Bersatu adalah Perdana Menteri. Tapi perlu diingatkan bahawa Perdana Menteri sebelum ini pun dari Bersatu juga.

Kata Timbalan Presiden Umno, untuk menaikkan  Muhyiddin sebagai PM kelapan, satu krisis dalaman telah dicetuskan didalam PH oleh pihak tertentu. Siapa pihak yang dimaksudkan?

Tidakkah nasib Bersatu jauh lebih baik bersama PH?

Beberapa kenyataan oleh pemimpin-pemimpin PH menggambarkan kesediaan mereka untuk menerima Bersatu kembali. Hubungan antara kita walaupun sedikit tercalar akibat Langkah Sheraton masih boleh dipulihkan untuk kesejahteraan Negara.

Agihan kerusi boleh saja dirunding seperti dulu supaya  kita semua berkongsi kekuatan untuk menawan hati rakyat.

Sekurang-kurangnya kita dapat mempertahankan kepentingan Bersatu bersama PH, berbanding dengan ketidaktentuan, risiko dan kerugian jika bersama Umno dan PAS.

Pada hemat saya, Bersatu hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kembali bersama PH. Pengalaman tidak sampai dua bulan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional yang tidak wujud itu sangat pahit bagi Bersatu hingga ke akar umbi. Ahli Majlis dan MPKK yang dianggotai Bersatu telah digugurkan di beberapa negeri kecuali Kedah.

Cukup-cukuplah dengan menang sorak kampung tergadai. Kami tidak mahu lagi Bersatu diperkudakan dan diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.

Saya sangat yakin bahawa krisis politik, krisis kesihatan dan krisis ekonomi yang sedang melanda Negara ketika ini akan dapat ditangani dengan lebih baik oleh sebuah Kerajaan Perpaduan yang pernah dicadangkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Jika Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bersatu bersetuju dengan kenyataan saya ini, sila mengorak langkah dan kembali kepangkal jalan. Itulah sebaik-baik tindakan yang boleh Yang Berhormat-Yang Berhormat lakukan untuk mengembalikan maruah dan menjamin kelangsungan Bersatu.

Saya doakan Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada anda semua.

* Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Bersatu
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan