Umno dan
PAS masih tidak dapat memuktamadkan pengagihan kerusi untuk PRU15, walau
secara asasnya mekanisme pengagihan telah ditetapkan, menurut seorang
sumber Umno.
Sumber itu yang terlibat dalam rundingan berkata, ini
kerana masih terdapat beberapa perkara yang masih belum dipersetujui
kepimpinan parti, antaranya pengagihan kerusi di Kedah dan Terengganu,
ekoran bantahan yang diterima.
"Ada pimpinan Umno masih tak setuju sekiranya Kedah dan Terengganu diserahkan bulat-bulat kepada PAS.
"Ini
kerana mereka beranggapan bahawa parti masih mempunyai kekuatan di dua
negeri itu dan kegagalan dalam PRU14 adalah disebabkan pertembungan tiga
penjuru," katanya
Beliau
memberikan contoh bahawa terdapat sepuluh kerusi di Kedah yang akan
dimenangi BN - berbanding PAS - jika tidak disebabkan pecah undi oleh
calon Bersatu dan Amanah.
Umno dan PAS, menerusi kerjasama Muafakat Nasional, kini giat bermesyuarat bagi membuat persediaan menghadapi PRU15, yang dilaporkan boleh diadakan seawal akhir tahun ini.
Antaranya dengan pembentukan jawatankuasa
Muafakat Nasional peringkat negeri bagi menyelaraskan pergerakan di
peringkat negeri dan juga Parlimen, sekaligus mempersiapkan jentera
pilihan raya.
Selain pengagihan kerusi antara Umno dan PAS, turut menjadi perhatian adalah agihan antara Umno dengan Bersatu. Ketiga-tiga parti mempunyai tapak sokongan di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Sumber itu berkata lagi, pemimpin tertinggi kedua-dua parti yakin isu tersebut akan diselesaikan atas semangat kekeluargaan.
"Atas
semangat kekeluargaan dan menimbang kekuatan dimiliki Umno, agihan
kerusi di Terengganu dan Kedah perlu dibuat secara harmoni dan mengambil
kekuatan dan sokongan parti.
"Selain itu kita juga perlu
mengambil kira rakan kita, Bersatu memandangkan kami bersama dalam
Perikatan Nasional (PN)," katanya lagi.
Sejak termeterainya
Muafakat Nasional pada pada September tahun lalu, BN telah berjaya
menang di enam PRK, iaitu Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung
Piai Kimanis dan baru-baru ini, Chini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan