Kerajaan PN kini sulit berfungsi, kata bekas menteri

Keputusan pengundian bagi melantik speaker di Dewan Rakyat semalam membuktikan kerajaan yang ada sekarang sukar untuk berfungsi, kata seorang bekas menteri Umno. Menurut Ahmad Shabery Cheek, keputusan semalam memang menunjukkan Muhyiddin Yassin memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Cuma kata beliau ia menampakkan bagaimana ia keadaan itu terlalu tipis dan menjadikan kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil.

"Ujian di parlimen kelmarin (semalam) membuktikan keputusan Yang di-Pertuan Agong betul. Beliau (Muhyiddin) ada angka mencukupi membentuk kerajaan.

"Namun kemenangan tipis menunjukkan kerajaan ini tidak stabil. Lebih-lebih lagi apabila tiba sesi bajet nanti. Banyak pengundian akan berlaku," katanya.

Ahmad Shabery yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai menteri penerangan serta menteri pertanian dan industri asas tani menambah dalam keadaan sekarang semua ahli parlimen kerajaan tidak dapat pergi ke mana-mana.

Hal itu, katanya termasuklah Muhyiddin sendiri, menteri-menteri lain serta timbalan mereka. Justeru, tambah Ahmad Shabery setiap daripada mereka itu terpaksa bekerja dalam parlimen.

"Menteri Luar tak boleh ke luar (negara). Banjir pun tak boleh berada di kawasan," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Kelebihan dua undi saja
Muhyiddin semalam mengemukakan usul untuk menggantikan bekas hakim mahkamah tinggi, Mohamad Ariff Md Yusof, sebagai speaker Dewan Rakyat dengan seorang peguam dan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun.

Ia dianggap ujian pertama Muhyiddin sejak dilantik sebagai perdana menteri kesan daripada Langkah Sheraton yang diambilnya bersama sekumpulan pemimpin kanan PKR.

Sebelum ini umum membuat andaian Muhyiddin hanya mendapat sokongan tipis namun tidak dibuktikan di mana-mana premis sehinggalah undian menggantikan Mohamad Ariff semalam berlangsung.

Mohamad Ariff dan MP Teluk Intan, Nga Kor Ming
Dalam undian tersebut, kerajaan Perikatan Nasional memperoleh 111 undi, termasuk daripada Muhyiddin sendiri, manakala dibantah 109 undi daripada pembangkang.

Anggota Parlimen Batu Pahat - seorang daripada pemimpin PKR yang berpaling tadah sebelum ini - tidak mengundi kerana mempengerusikan persidangan.

Seorang lagi ahli parlimen, Dr Maximus Johnity Ongkili (PN-Kota Marudu), tidak hadir kerana bercuti sakit.

Azhar kemudian dilantik sebagai speaker dengan kelebihan dua undi.

Ahmad Shabery berkata langkah terbaik menyelesaikan keadaan itu ialah dengan mendapatkan mandat daripada rakyat.
"Sulit untuk kerajaan berfungsi. Jalan terbaik, bubar parlimen. Dapatkan mandat baru," katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid turut berpendapat pilihan raya umum (PRU) adalah langkah terbaik bagi mengembalikan kestabilan politik negara.

Jelasnya, meskipun kerajaan PN "disahkan" mempunyai majoriti semalam, namun angka yang tipis agak sukar untuk kerajaan memberi khidmat yang baik kepada rakyat.

"PRU adalah jalan terbaik untuk kerajaan mendapat kembali mandat rakyat dengan majoriti yang lebih baik bagi mengemudi negara.

"Bahkan saya yakin, dengan apa yang kerajaan lakukan kini, sokongan rakyat memihak kepada PN dan kita boleh membentuk kerajaan dengan majoriti lebih baik.

"Kerajaan yang tidak stabil akan memberi kesan kepada keharmonian rakyat, banyak dasar yang baik sukar untuk dilaksanakan dalam situasi begini,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod pengkritik mendakwa PN kini menjadi kerajaan tanpa mandat kerana semua parti yang ada dalam gabungan tersebut - kecuali Bersatu - tidak mendapat sokongan majoriti pengundi dalam PRU ke-14 lalu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan