TH dikuasai bukan Islam? Ini jawapan Muhyiddin

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengesahkan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak dikuasai oleh bukan Islam seperti mana dakwaan beberapa pihak sebelum ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan demikian dengan merujuk kepada pemindahan aset TH kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pemindahan itu berlaku dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstruktuan TH yang menerima kritikan pembangkang semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Muhyiddin yang juga seorang menteri dalam kerajaan PH menjelaskan pelan itu menghasilkan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion, setakat 30 Jun 2020.

“Untuk makluman, kedudukan terkini aset TH pada 30 Jun 2020 seperti yang diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78.0 bilion dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion.

“Selaras dengan perlaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH, aset-aset yang kurang berdaya saing telah dipindahkan kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Oleh yang demikian, TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa, bekas menteri hal ehwal agama Islam dalam pentadbiran PH.

Beliau meminta Muhyiddin menyatakan kedudukan jumlah aset terkini TH dan sama ada benar kerajaan PH menjual banyak aset TH dan membiarkan agensi dikuasai oleh orang bukan Islam.

Kritikan mengenai pemindahan harta TH kepada SPV tersebut antara lain disuarakan Pemuda Umno mengaitkan penglibatan syarikat dinamakan sebagai Prokhas Sdn Bhd.

Ketua pergerakan itu Asyraf Wajdi Duduki mendakwa syarikat Prokhas dipimpin seorang individu bernama Chen Yin Heng dan mempersoalkan mengapa ia tidak diuruskan tokoh Islam bumiputera.

“Apakah tiada langsung tokoh-tokoh Islam Bumiputera yang berkelayakan menguruskan harta umat Islam Tabung Haji?

“Apakah jaminan aset bernilai yang selama ini dimililiki oleh umat Islam melalui institusi yang cukup dihormati dunia Tabung Haji satu persatu tidak dikhianati dan jatuh ke tangan orang lain?”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan