Lim Guan Eng, Phang Li Koon mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

BUTTERWORTH, 11 Ogos ― Bekas Ketua  Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan  Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah.

Lim, 60, dan Phang, 48,  masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn  Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu  dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009  (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan  denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika  sabit kesalahan. ― Bernama

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan