Rakyat menangis, kerajaan tepuk tangan

Oleh GHAFAR NS

Masih segar dalam ingatan akan ucapan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH), “Kerajaan ini mungkin bukan yang anda undi, tapi saya ingin anda semua tahu, kerajaan ini prihatin dengan anda.”

Adakah prihatin yang dimaksudkannya, hanya dengan bacaan doa dan ucapan yang konon-kononnya ‘dekat’ dengan rakyat sehingga memasarkan dirinya sebagai ‘abah’?

Di fasa pemulihan ekonomi ini, rakyat tidak lagi mahu merayu atau dirayu. Kami hanya perlukan kerajaan yang berusaha 100 peratus memulihkan keadaan ekonomi keseluruhannya.

Bukan dengan menghentikan moratorium. Bukan dengan mengkaji semula harga tol PLUS yang diturunkan 18% oleh PH sebelum ini. Bukan dengan melaung-laungkan jumlah insentif tetapi hakikatnya tidak sampai pun pada rakyat. Bukan dengan mengenakan denda yang tidak munasabah kepada rakyat yang kini hidup sukar.

Prihatinkah kerajaan ini apabila rakyat menangis dan mereka hanya tepuk tangan?

Sekarang, ekonomi negara, syarikat kecil mahupun individu dalam fasa pemulihan. Tapi, bagi kebanyakan yang lain ia lebih kepada satu fasa ‘survivial’ agar dapat terus hidup, agar tidak memecat atau dipecat, agar tidak tutup atau dipaksa tutup.

Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini menyarankan kerajaan menyuntik RM45 bilion lagi sebagai rangsangan ekonomi yang sangat diperlukan bagi menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan seluruh rakyat Malaysia. Ia turut disokong oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan ramai ahli Parlimen lain.

Kerajaan wajar mengambil kira cadangan daripada pembangkang yang dilihat mampu menyelamatkan pekerjaan, ekonomi keluarga, mahupun individu. Ego harus ditanggalkan dan letak di tepi demi rakyat.

Bolehkah kerajaan Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional ini lebih prihatin terhadap rakyat seperti yang

dilaung-laungkan mereka?

Tarik semula denda RM1,000 terhadap rakyat yang gagal mengenakan pelitup muka. Tarik semula atau paling tidak kurangkan jumlah denda yang tidak masuk akal tersebut. Rakyat sepatutnya dididik berwaspada bahaya Covid-19. Didik, bukan menakutkan rakyat dengan membayar denda yang tinggi.

Pilu hati melihat tangisan anak muda yang didenda RM1,000 kerana mengenakan pelitup muka di bawah dagu. Sakit hati melihat Menteri-menteri berhimpun dan bergambar tanpa penjarakan fizikal dan dengan jelas tidak memakai langsung pelitup muka.

Malah, baru-baru ini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali diketahui tidak menjalani tempoh kuarantin selepas pulang daripada Turki bersama ahli keluarganya.

Beliau sewenang-wenangnya singgah ke pelbagai majlis dan hadir ke sidang Parlimen dalam tempoh kuarantin yang sepatutnya dijalaninya seperti rakyat lain. Jika Mak Cik Gelang Pink di Perak didenda RM8,000 dan dijel sehari apabila melanggar perintah kuarantin, apakah keistimewaan Khairuddin sehingga boleh ke sana ke sini melanggar SOP Covid-19 yang ditetapkan?

Baru-baru ini, Mohd Aslam Ahmad Ramli membuat laporan polis terhadap Khairuddin berikutan ketidakadilan yang amat jelas dirasakannya. Aslam menjalani tempoh kuarantin 14 hari sehingga tidak hadir ke upacara pengebumian bapanya sendiri. Ia satu situasi yang amat tragis dan pastinya tidak terbayang kesedihannya.

Menteri Kesihatan New Zealand, Dr David Clark boleh meletak jawatan kerana melanggar perintah kawalan pergerakan ketika ia dikuatkuasakan di negara itu. Jadi, mengapa Khairuddin, Menteri beragama Islam daripada parti PAS masih merasa senang hidup lepas bebas membahayakan kesihatan dan nyawa orang lain tanpa rasa bersalah sekelumit pun?
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan