Hanya respon soalan media, boleh kerjasama dengan Umno, kata PH Johor

 


Pakatan Harapan Johor menjelaskan berita yang disiarkan oleh media kononnya PH mengajak Umno bekerjasama untuk membentuk kerajaan baru di Johor hanyalah respon kepada soalan dari media sahaja.

Apa yang berlaku adalah media bertanya kepada beliau, apa komen beliau terhadap kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Ahmad Maslan yang berkata Umno mempertimbangkan untuk tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Rakyat.

“YB Huda hanya jawab pertanyaan media. Bila ditanya Umno boleh ke kerjasama dengan PH. Dia kata boleh,” kata Suhaizan Kayat , Naib Pengerusi AMANAH Johor yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

Dalam pada itu, Aminolhuda menjelaskan, beliau hanya mengajak mana-mana Adun yang pernah bersama PH atau mana-mana Adun Umno yang hendak bersama PH.

“Bukan bermaksud bersama dengan Umno secara keseluruhannya,” kata beliau dalam satu kenyataan yang turut memahami sentimen PH yang anti kepada kleptokrat dan menentang rasuah.

Berita Harian didakwa membuat laporan yang mengelirukan apabila membuat tajuk “PH Johor ajak Umno bentuk kerajaan negeri” padahal ia hanya respon kepada soalan media tentang kenyataan Ahmad Maslan.

Ekoran berita itu, DAP Johor dalam kenyataannya melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan berkaitan pelawaan kerjasama PH – Umno di Johor untuk membentuk kerajaan negeri.

Menurut kenyataan DAP Johor yang dikeluarkan malam tadi, Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Johor mengamalkan pendekatan musyawarah dalam setiap perancangan dan tindakan.

“Hal ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor.

“Pada hemat kami, sebarang usaha atau strategi untuk mengembalikan mandat rakyat dan membentuk kerajaan haruslah dalam makluman dan persetujuan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor,” kata kenyataan itu.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan