Akta baru diwujudkan jika rakyat tidak patuhi SOP Covid-19, kata menteri


Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan mewujudkan satu akta baru jika orang ramai masih tidak mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menangani penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ia perlu dilakukan supaya kehidupan norma baru dengan mematuhi SOP dapat diterapkan dan dijadikan amalan oleh rakyat setiap hari selagi vaksin Covid-19 tidak ditemui.

“Kerajaan akan sentiasa memantau dengan usaha kita memasukan norma-norma baru dalam kehidupan masyarakat dalam mengekang penularan Covid-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

“Namun sekiranya rakyat secara umum masih tidak memahami norma baru jika perlu akan mewujudkan akta-akta tertentu. Kerajaan sentiasa akan mengkaji dan membuat perancangan (perkara itu) dan akan dibentangkan kepada rakyat”.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jalaluddin Alias (BN- Jelebu) yang mahukan kepastian sama ada kerajaan akan mewujudkan akta baru bagi mengekang penularan Covid-19 secara keseluruhan.

Ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang mahu mengetahui langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga dan langkah mengatasi kesan buruk ke atas negara dan kehidupan rakyat, Redzuan memberitahu kerajaan akan sentiasa mengadakan perbincangan bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan.

Katanya, petugas barisan hadapan sentiasa dalam keadaan siap siaga dan akan memberi hebahan kepada masyarakat dengan pantas sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 di kawasan mereka.

“Sebagai contoh, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bersidang setiap hari untuk menyemak contohnya pencapaian frontliner (petugas barisan hadapan) agar dapat mengetahui bagaimana kita perlu menambah baik untuk elakkan keresahan rakyat.

“Kita akan sentiasa semak dan mengkaji untuk memberi keyakinan kepada rakyat yang mereka ini mampu untuk bergerak dengan keadaan apa sekalipun yang kini kita tahu Covid-19 berada di sekeliling kita,” katanya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan