Belanjawan 2021: GPS jaga hati pengkhianat, Umno, Pas

 


Oleh RAYMOND LUI 

Majlis Pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengecam sekeras-kerasnya tindakan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sanggup melepaskan hak dan mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat di negeri ini bagi mendapatkan lebih banyak peruntukan pada pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Wanita PKR Sarawak, Zulhaidah Suboh berkata, hanya disebabkan ingin menawan hati dan menjaga kepentingan politik rejim yang terdiri daripada UMNO, PAS dan kumpulan pengkhianat mandat rakyat, pemimpin GPS dilihat telah bersetuju dengan peruntukan tersebut.

Justeru, katanya Majlis Pimpinan Wanita PKR Sarawak berasa kesal dengan kenyataan beberapa pimpinan kanan parti pemerintah GPS yang telah meluahkan perasaan puas hati terhadap Belanjawan 2021 dan secara angkuhnya meminta anak Sarawak untuk tidak minta lebih peruntukan bagi negeri ini.

“Laporan Jabatan Statistik Negara 2019 menunjukkan bahawa Sarawak telah mencatat kemiskinan relatif sebanyak 15% atau 1 daripada 7 keluarga adalah hidup dalam kemiskinan. Keadaan adalah lebih parah jika di kawasan luar bandar, yang mana 26% atau 1 daripada 4 keluarga merupakan hidup dalam kemiskinan.

“Selain itu, masih terdapat 30% lagi penduduk di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai bekalan air paip. Malah sejumlah 415 daripada 1,020 sekolah usang di negeri adalah paling kritikal dan membahayakan,” soalnya dalam satu kenyataan.

Zulhaidah menegaskan, selepas kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, GPS yang dahulunya Barisan Nasional Sarawak seolah-olah mula menjuarai isu-isu dan hak rakyat yang sekian lama tidak dipedulikan ketika memegang tampuk pemerintahan di Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

“Mereka berjuang menentang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah semua masalah timbul di Sarawak hanya bermula selepas PH menjadi Kerajaan Persekutuan pada 2018.

“Pada Februari 2020 ketika Langkah Sheraton dirancangkan untuk mewujudkan persubahatan antara pengkhianat, UMNO dan PAS bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, GPS telah menawarkan diri menyokong rejim ini yang telah jelas ditolak oleh rakyat Malaysia pada PRU-14.

“Rejim ini juga sering dikaitkan dengan amalan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penindasan rakyat dan memainkan isu perkauman serta agama,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, setelah para pemimpin GPS diberi jawatan dan dikongsi dengan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan, semua isu yang diperjuangkan terus senyap dan dilenyapkan, umpama semua masalah di negeri ini telah mendapat solusi.

Bagaimanapun, ujarnya lagi berdasarkan fakta Sarawak tetap mengalami masalah kemiskinan yang serius iaitu kemunduran dari segi pembangunan dan kekurangan kemudahan infrastruktur yang paling asas setelah di bawah pemerintahan GPS atau BN Sarawak selama 57 tahun.

“Dengan ini, kami mengajak seluruh rakyat Sarawak untuk mengenali wajah sebenar ahli politik GPS dan memberi penilaian yang sewajarnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti,” jelasnya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan