Penghibur profesional rasa terpinggir tanpa bantuan akibat pandemik

 


KOTA KINABALU: Pendapatan pemuzik profesional teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan semua pub dan premis hiburan malam tidak dibenarkan beroperasi di bawah sekatan pergerakan.

Felix Samunting yang lebih dikenali sebagai Yeatt dalam kalangan rakannya, berkata kerja sukar didapati sekarang dan venue juga tidak dibenarkan menempah kumpulan pemuzik ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Kali terakhir saya bermain saksofon di khalayak ramai ialah sebelum PKP bermula pada Mac lalu. Itu juga kali terakhir kumpulan saya dan saya membuat persembahan secara langsung di depan penonton,” katanya kepada FMT.

Kumpulan Yeatt yang bernama Rimba Band ialah sebuah daripada kumpulan pemuzik terkenal di bandar ini dengan jumlah peminatnya semakin bertambah sebelum PKP bermula.

Mereka mengadakan persembahan di sebuah pub tempatan setiap hari dan sering ditempah untuk majlis makan malam korporat atau majlis perkahwinan. Mereka malah mempunyai beberapa persembahan antarabangsa. Malangnya, semua tempahan awal itu sudah dibatalkan.

“Sekatan pergerakan menjejaskan kami dengan teruk kerana mata pencarian kami bergantung kepada persembahan secara langsung,” katanya sambil menambah setiap ahli kumpulannya biasanya boleh meraih kira-kira RM4,000 sebulan.

“Untuk menyara kehidupan kami, sesetengah daripada pemuzik kini menjual ikan, sayur atau menghantar makanan serta minuman. Yang lain menjual pakaian persembahan mereka, malah ada yang terpaksa menjual peralatan muzik mereka demi untuk terus bertahan.”

Beliau masih dapat bertahan kerana mempunyai sedikit simpanan untuk digunakan, tetapi dengan anak perempuannya yang berusia 8 tahun, beliau kehabisan wang dengan cepat sehingga perlu meminjam wang daripada keluarganya tidak lama lagi.

Ramai pemuzik, termasuk dirinya, tertanya-tanya sama ada industri hiburan masih akan menjadi sumber pendapatan berdaya maju untuk mereka memandangkan kesukaran yang dihadapi mereka sekarang.

“Keadaannya teruk bagi kami dalam seni persembahan di Sabah kerana tiada badan khusus yang menjaga kebajikan kami.

Felix Samunting (kanan) bersama kumpulannya, Rimba Band dalam salah satu persembahan terakhir sebelum PKP dilaksanakan Mac lalu.

“Ketika PKP, kumpulan kami tidak mendapat sebarang bantuan daripada sesiapa. Hanya pada Mei dan Jun lalu, kami menerima bantuan dalam bentuk makanan daripada seorang wakil rakyat yang dibantu Kupi Kupi FM, sebuah stesen radio tempatan.”

Katanya, Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) memberikan bantuan khas sebanyak RM300 sebelum ini, tetapi ia hanya untuk sebilangan kecil pemuzik.

Ramai dalam industri hiburan teruk terjejas kerana mereka tidak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan tidak mendapat bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional.

Penyanyi tempatan, Janrywine Liusin, yang juga presiden Pertubuhan Orang Seni Sabah, berterima kasih kepada
LKS yang tampil dengan satu lagi pusingan bantuan, selepas rayuan penghibur tempatan.

Beliau berkata, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk menjaga kebajikan mereka.

“Setakat ini, tiada agensi atau jabatan mempunyai pangkalan data semua orang terbabit dalam industri kami yang akan memudahkan mereka mengesan artis dan menghulurkan bantuan kepada mereka,” katanya kepada FMT.

“Itu sebabnya kami merayu kerajaan meneliti perkara ini dan mungkin menubuhkan sebuah agensi untuk menjaga kebajikan mereka yang terbabit dalam bidang seni dan seni persembahan.”

Janrywine berkata, artis menyumbang kepada ekonomi negara dengan membantu membentuk identiti negara melalui seni.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan