Cabaran AMANAH mengangkat politik bermodal prinsip


 Oleh ADAM ADLI ABDUL HALIM

Mac 1947, Gunung Semanggol menjadi saksi kepada sebuah kebangkitan politik yang mengubah perjalanan sejarah Malaya.

Di Madrasah Maahad El-Ehya as- Sharif, sebuah persidangan Islam yang pertama telah disusun oleh ketika itu Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM.

Insan yang bertanggungjawab menguruskannya adalah Dr Burhanuddin al-Helmy, tokoh agung sejarah perjuangan kita.

Bukan soal halal haram makan di kedai Cina, nikah kahwin dengan bukan Melayu, atau pertandingan ratu kebaya yang dibincangkan, sebaliknya adalah agenda ekonomi orang Melayu beragama Islam dalam mendepani sistem penjajah.

Tajuknya sudah cukup radikal, dan memang bertujuan untuk mengajak pemikir-pemikir dan pergerakan-pergerakan Islam yang terlibat agar menjadi lebih progresif dan melawan.

Dari persidangan tersebut, lahirlah Majlis Agama Tertinggi Malaya, atau MATA. Sekali lagi, MATA juga tidak ditubuhkan untuk mengeluarkan garis panduan berpakaian wanita, apa lagi sijil halal buat produk makanan atau ubat gigi.

MATA hadir dengan agenda yang khusus – memperjuangkan politik Melayu Islam, melawan penjajah, dan seterusnya memerdekakan negara.

Tanggal 13 Mac 1948, MATA menyusun lagi sebuah persidangan – bertitik tolak daripada perbincangan ekonomi masyarakat, MATA meletakkan tajuk politik tempatan dan isu-isu antarabangsa dunia Islam sebagai wadah perbincangan.

Antara resolusi penting yang dicapai selepas tiga hari bersidang adalah ketetapan bahawa United Malays National Organisation atau Umno tidak boleh diharap.

Umno bukan parti yang memperjuangkan kemerdekaan, tidak membawa isu ekonomi masyarakat, dan tidak peduli kepada kepentingan Melayu-Islam.

Ada wakil Umno yang hadir mendengar, dan menyampaikan apa yang dipelajari dari persidangan tersebut kepada Dato Onn Jaafar, dengan penekanan terhadap betapa MATA ini adalah sebuah perkumpulan yang radikal dan revolusioner.

Dari sini jugalah muncul apa yang kita selalu dengar hari ini sebagai “ancaman bahaya dari gunung” – merujuk kepada Gunung Semanggol, pusat pergerakan MATA.

Bertolak daripada persidangan tersebut, dengan diketuai Ustaz Abu Bakar al-Baqir, lahirlah Parti Orang Muslimin Malaya atau Hizbul Muslimin, tepatnya pada 17 Mac 1948.

MATA disusun kembali strukturnya untuk mengisi kepimpinan Hizbul Muslimin, dengan MATA diserap sebagai biro hal ehwal agama.

Hizbul Muslimin bagaimana pun tidak bernafas panjang. Hanya beberapa bulan kemudiannya, British mengharamkan mereka, atas alasan kaitan dengan Parti Komunis Malaya.

Pemimpin-pemimpinnya ditahan bawah Ordinan Darurat, dan beberapa yang lain melarikan diri.

Apa sebenarnya salah HIzbul Muslimin? Salah mereka adalah mereka kekal melawan atas nama prinsip dalam berjuang, dan ini adalah ketakutan utama mana-mana penguasa.

Ini sejarah yang melatari perjuangan politik Islam dahulu, zaman sebelum merdeka, zaman penjajahan.

Menjadi sebuah parti Islam bererti menjadi parti yang progresif, dan tidak salah juga – radikal.

Cita-citanya adalah membebaskan rakyat, bukan hanya enak menunggang agama; mengeluarkan hujah, dalil, dan fatwa ikut kepentingan sendiri, membuai dan membodohkan masyarakat dengan perbincangan-perbincangan remeh untuk mereka kekal berkuasa dan terus mengumpul harta.

AMANAH lahir dari kemelut politik panjang – apabila pemimpin-pemimpin progresif dalam Pas sedia berkorban dengan meninggalkan bahtera lama bagi memastikan politik berprinsip terus jadi asas kepada perjuangan melawan kebatilan.

Lahirnya AMANAH memadamkan sengketa panjang, dan memberi harapan baharu kepada gabungan pembangkang. Pakatan tidak lagi berjalan tempang selepas dikhianati Pas.

Tidak perlu tunggu lama, pengorbanan AMANAH mulai berbuah. Menang pilihan raya umum, AMANAH diangkat menjadi sebahagian kerajaan, mengisi jawatan-jawatan penting negara.

Dari sini, bermula sebuah lagi ujian besar buat semua dalam AMANAH. Ketika prinsip diuji dengan penentangan, pengkhianatan, caci-maki, kafir-mengkafir, malah ke tahap menggunakan kekasaran, prinsip menang.

Sekarang, mampukah pula prinsip menang berdepan kuasa, wang, dan segala macam kesenangan sebagai kerajaan? Ujian ini bagaimana pun tidak lama juga usianya.

Tidak perlu diulas apa yang telah berlaku sejak Langkah Sheraton hingga hari ini – semua orang tahu bagaimana perlumbaan untuk memegang kuasa bertukar hodoh di setiap simpang.

Tidak sedikit dari kita mula menunjukkan sisi hanyir masing-masing; jijik terjelir seperti anjing lapar menunggu tulang.

Ada yang sehingga menggadaikan nama dan maruah untuk kembali menghuni kuasa – tentulah gagal, dan dipandang hina hingga ke kiamat kelak.

Maka ke mana perlu dipandu AMANAH dalam situasi hari ini? Apa AMANAH mampu terus menjadi kuasa politik yang bukan untuk diremehkan, bukan untuk diperkecilkan, bukan untuk dilupakan?

Mampukah AMANAH berdiri sekuat dahulu – berkorban untuk hal-hal yang benar, bukan sekadar menyanggup untuk kembali meneguk kuasa?

Saya percaya, tanpa sedikit pun keraguan – AMANAH mampu berjaya. Hanya sebulan yang lalu, AMANAH mendapat standing ovation dari anak muda semua bangsa segenap Malaysia, apabila wakil-wakil rakyatnya tidak takut untuk berdiri atas nama prinsip.

Nah, ini seharusnya jadi suntikan moral baharu buat AMANAH untuk meyakini langkah ke hadapan kelak.

Tidak rugi mengangkat politik yang bermodalkan prinsip. Percayalah, hanya dengan mengekalkan politik berprinsip, kuat dan teguh tanpa takut dimomokkan musuh dan kuasa, barulah AMAMAH mampu mencipta sejarah perjuangan yang membakar semangat yang lain.

Selamat bersidang AMANAH. Semoga persidangan kali ini bakal dikenang seperti persidangan Hizbul Muslimin tujuh dekad lalu.

Di atas robohan Kota Melaka, kita bina jiwa merdeka.

 Adam Adli, bekas pelajar UPSI yang pernah aktif bersama gerakan mahasiswa hampir sedekad yang lalu. Beliau kini bergerak bersama Liga Rakyat Demokratik sebagai Pengerusi bagi sidang 2020-2022.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan